Presiden UMNO Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi (kiri) dan timbalannya Dato' Seri Mohd. Najib Tun Razak: "Ada unsur luar merestui Najib menggantikan Abdullah sebagai Presiden UMNO?
PM bidas Mahathir
KOTA KINABALU 18 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini membidas bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahahir Mohamad yang menurutnya berlagak seolah-olah pengarah pilihan (pemilihan) parti yang menentukan “siapa yang perlu berada dalam parti UMNO dan siapa yang perlu dikeluarkan”.
Perdana Menteri berkata, UMNO tidak pernah memerlukan arahan daripada pemimpin yang tidak berada dalam parti itu.
“Siapakah Tun yang dah keluar parti UMNO itu nak cuba membuat arahan kepada orang UMNO apa yang patut dilakukan?
“Dia berlagak seolah-olah menjadi pengarah kepada pilihan parti, menentukan orang itu memegang jawatan itu... orang ini pula memegang jawatan ini, siapa yang perlu ada dalam parti, siapa yang perlu dikeluarkan. Apa hak dia buat begitu?,” katanya pada persidangan akhbar di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, di sini malam ini.
Abdullah mengulas kenyataan Mahathir yang mahu perwakilan UMNO “mengusir orang-orang Abdullah” dalam pemilihan parti itu Mac depan.
“Sebenarnya beliau mahu menimbulkan pergolakan, kemarahan dan kebencian. Apakah salah sangat orang-orang yang bekerja dengan saya. Apakah kalau mereka itu tidak bercakap atau tidak riuh-rendah maka itu mesti dianggap sebagai orang yang tidak baik...orang yang tidak pernah membuat baik untuk UMNO dan kerajaan.
“Siapa dia yang membuat penentuan seperti itu. Ini akan menimbulkan kebencian sesama ahli UMNO, mengajar ahli UMNO bergaduh sesama sendiri,” katanya.
Abdullah berkata, beliau mengambil keputusan untuk tidak bertanding jawatan Presiden UMNO bagi mengelakkan perbalahan sesama anggota parti.
Keratan akhbar hari ini, 19 okt 08 tetntang UMNO. Pak Lah dan Mahathir.
“Oleh sebab adanya pertandingan sebagaimana yang biasa berlaku terutama di peringkat atasan berpecah belah. Kita patut belajar daripada apa berlaku dulu.
“Cakap macam ini akan menimbulkan kemarahan kepada mereka yang dianggap tidak boleh terima, mesti diketepikan. Saya menganggap apa yang Tun telah lakukan sebenarnya menimbulkan perkelahian di dalam UMNO,” kata Abdullah.
Menurut Perdana Menteri, gesaan Mahathir itu tidak akan mendatangkan kebaikan.
“Inikah “reform” yang diharapkan...Kita ada kebebasan, tiap-tiap ahli UMNO ada kebebasan untuk bertanding.
“Saya dengar kata Ali Rustam (Ketua Menteri Melaka) yang nak bertanding timbalan presiden dicuba orang tertentu memaksa dia untuk tarik balik...Mengapa suruh Ali tarik balik? Apa tak eloknya Ali?.
“Tak boleh diberi saja kebebasan untuk bertanding... tentu ada orang yang mahu sokong mahupun yang tak sokong. Jadi biarlah dia bertanding dan biarlah orang UMNO menentukannya,” katanya.
Dalam hal ini, anggota UMNO tidak perlu orang daripada luar untuk memberi arahan.
“Adalah lebih baik Tun tak cakap langsung pada hari ini,” katanya.
Sementara itu, Abdullah juga kecewa apabila Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, tidak mengendahkan keputusan peralihan kuasa yang dipersetujui antara beliau dan Najib pada Mac tahun depan.
“Sebenarnya dialah (Muhyiddin) yang menimbulkan isu mempercepatkan peralihan kuasa dilakukan dengan membuat kenyataan-kenyataan di luar, di Singapura.
“Semua orang dah bersetuju. Mereka sendiri tak kata tak bersetuju. Datuk Seri Mohd. Najib dengan saya dah ada persetujuan yang direstui dan dipersetujui oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO,” katanya.
Abdullah berkata, beliau telah menerangkan sebab beliau memerlukan masa yang dipersetujui antara beliau dan Najib, antaranya, terdapat perkara berkaitan dengan reform yang beliau hendak laksanakan dan dibawa ke persidangan Dewan Rakyat.
“Apakah dia takut reform? Apakah dia tidak mahu reform? Apakah ini sebagai satu langkah untuk menggagalkan usaha-usaha sedangkan reform itu dikehendaki oleh rakyat.
“Saya dimarah oleh rakyat kerana tidak memenuhi janji. Sebab itu ada dalam manifesto 2004 apabila saya bertanding, apabila kita memenangi pilihan raya pada 2004 dengan sokongan yang kuat.
“Mengapa pula dia mencadangkan seperti itu? Ertinya nak menggagalkanlah.
Nak menggagalkan saya atau menghalang saya mengambil tindakan-tindakan yang saya telah usahakan.
“The point is that there is an agreement. Dah setuju. Mengapa mengungkit lagi?
Tak sabar agaknya nak jadi Timbalan Presiden. Itupun kalau ada cukup orang nanti nak menyokong dia,” katanya. (Mingguan Malaysia Online, 19 Oktober 2008.)
– Bernama
Komen:
Sudah dijangka. Lambat laun pemimpin UMNO akan bercakap. Nampaknya, yang mula bercakap ini Presiden UMNO sendiri. Ada yang melihatnya sebagai ada unsur luar yang mahu mencampuri "urusan dalam UMNO. Dan kelhatannya unsur luar ini seperti menerima jemputan orang dalam UMNO sendiri. Suara unsur luar dan dalam ini begitu senada."
Persepsi masyarakat UMNO umumnya seperti menunjukkan "unsur luar UMNO" mahukan perubahan, mahukan "ayam sabung"nya dibantu habis-habisan. Tidak pasti apakah "ayam ssbungnya itu dirancang atau wujud secara kebetulan.
Menariknya, unsur luar dan ayam sabungnya itu bersuara senada di luar negara. Saya tanyakan seorang veteran politik UMNO mengenai perkara ini. Beliau senyum sahaja. Katanya, "Kita tengoklah gelagat UMNO hari ini. Sebenarnya ahli akar umbi tak ada banyak masalah. Mereka cuma nak lihat kebajikan mereka dijaga. Yang menjadi masalah ialah pemimpin yang bukan akar umbi. Mereka bukan sahaja memperalatkan akar umbi, tetapi juga diperalatkan oleh unsur luar. Cuma bercakap atas nama akar umbi. Mereka inilah yang meracuni fikiran akar umbi. Mereka mempunyai impian besar. Agenda sama tapi tujuan berlainan."
Dr. Mahathir slammed, as reported by the Star Online, 19 Okt. 08
Ditanya lebih lanjut veteran ini berkata,"Kamu lihat sahaja arah alir pencalonan pelbagai jawatan dalam UMNO hari ini. Jelaskan?"
"Saya kadang-kadang terfikir mana ada lagi yang lurus dalam proses pemilihan. Sudah menjadi semakin bercelaru dengan intrik kepartian. Kuasa dan pengaruh saling berbaur. Main belakang tak usah dicakap lagilah. Masalahnya Majlis Tertinggi UMNO yang sepatutnya paling berkuasa menentukan hala tuju parti tidak banyak berfungsi , terutama untuk menyingkirkan unsur luar ini. Baru hari ini saya dengar pemimpin parti bersuara. Mungkin sudah terlambat. Saya pernah kata dulu, orang kita tak tegas, dan terlalu lambat bertindak. Pada saya terlalu memberikan kebebasan pun tak baik juga. Orang akan memperalatkannya. Kita lihat macam ampangan dah nak pecah. Kalau tak bendung cepat parti akan kebanjiran. Inilah situasi UMNO hari ini, membiarkan unsur luar "dictate" parti, seperti yang didakwa presiden."
Kadang-kadang terfikir pula apakah ada elemen dalam kalangan sesetangah pemimpin kanan yang "tidak sabar memanjat tangga heirarki UMNO." atau ada elemen luar yang kononnya "mahu memperbetul perjalanan UMNO tetapi sebenarnya ada agenda yang belum selesai, terutama ketika berada di dalam parti satu ketika dahulu. Tidak kiralah sama ia agenda peribadi atau parti.
Jadi soalnya sekarang ialah "siapa memperalatkan siapa" dalam UMNO hari ini. Dan juga apakah ada unsur "dendam" yang perlu diambil kira. Dalam hal ini komen Dato' Seri Dr. Rais Yatim tentang pencalonan ke pelbagai jawatan dalam UMNO beberapa hari yang lalu, supaya ahli-ahli memberi laluan juga kepada calon-calon yang ingin bertanding menartik untuk dilihat dalam pelbagai persepsi.
Akhirnya ahli veteran UMNO berkata, "Benda ini dah lama dah. Sejak presiden UMNO yang sekarang ini memimpin parti terbesar itu pada tahun 2003 dahulu. Dan awak baca bibir saya: Bukankah ada bekas ahli UMNO yang hendak masuk parti semula dengan bersyarat."
Nyatanya, ada orang sedang main politik 120 persen!
Paling menarik jika kita dapat mendengar apa pula komen dua kolumnis majalah Dewan Masyarakat mengenai perkara ini, iaitu Tan Sri Adam Kadir dan Dato' Mohd Noor Yusoff (M. Noor Azam). Atau komen kolumnis yang juga mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dato' Dr. Hassan Ahmad. Juga komen daripada tokoh budaya dan ahli politik veteran UMNO yang lain seperti Tan Sri Abd. Aziz Tapa.