WELCOME TO THE BORDERLESS WORLD OF POSSIBLITIES!

How about sharing your slants and perspectives - left, right, up above or down below!?

Saturday, 5 May 2012

DASAR KEBUDAYAAN KEBANGSAAN MASIH SAMAR DAN CACA-MERBA?

Sekadar menginatkan kita tentang percubaan besar kerajaan untuk melakar dasar kebudayaan bangsa Malysia. Lapan tahun dahulu saya menulis tentang isu ini dan apakah dasar yang kita impikan itu sudah mula nampak nyata. Barangkali menteri yang bertanggungjawab hari ini ada jawapannya. Di bawah ini saya lampirkan sepenuhnya persoalan itu untuk tatapan kita semua - Bloger.

Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Bagaimana Pelaksanaanya? Oleh A.F.Yassin


Mantan Ketua Satu GAPENA, Tan Sri ISmail Hussein banyak kali bercakap tentang perlunya dasar kebudayaan kebangsaan diseragamkan, namun bagaimana hasilnya setakat ini?



Sejumlah 85 pertubuhan, termasuk 22 anggota kerabat Gapena, diwakili dalam Kongres Kebudayaan Rumpun Melayu yang diadakan selama tiga hari di Johor Bahru, mulai 10 September 2004 lalu. Kongres dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Johor dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena). Yang hadir 350 orang, jumlah yang dicatatkan dalam  resolusi kongres di akhir persidangan. Hampir 99% wakil terdiri daripada orang Melayu dan kaum Bumiputera dari Sabah dan Sarawak. Ada pula perwakilan dari Riau, Thailand dan Singapura. Brunei tidak menghantar wakil. Riau menghantar paling banyak anggota dan difahamkan terdiri daripada golongan budayawan elit pilihan.



Riau turut membawa kumpulan Orkestra Bandar Beserai seramai 28 orang anggota yang menyerikan malam perasmian dengan menghidangkan simfoni harmonis lagu-lagu tradisi Melayu, termasuk lagu “Tanjung Puteri” dan “Pak Ngah Balik”. Rombongan dipimpin Gabenor Riau, HM Rusli Zainal ME yang pada saat-saat akhir terpaksa mewakilkan pimpinan kepada Setiausaha Kerajaannya (sekwilda).



Melihat pada namanya, Kongres ini berbincang tentang kebudayaan rumpun Melayu di Alam Melayu. Tetapi sepanjang tiga hari perbincangan malah lebih terpusat kepada Dasar Kebudayaan Kebangsaan Negara Malaysia. Bak kata seorang peserta Riau, “Saya sedikit terasing kerana persoalan lebih bersifat lokal. Bagaimanapun jua, saya senang kerana paling-paling saya sempat menyelami resah-gelisah saudara-saudara kita di sini.”



Pada satu ketika seorang dua peserta Riau sempat memberikan pandangannya bagaimana sebaiknya persoalan kebudayaan kebangsaan di Malaysia “bisa ditangani.” Misalnya, Tenas Effendy, budayawan yang dianggap Riau sebagai “ensaiklopedia hidup” secara tersirat mahu nilai-nilai luhur yang terdapat dalam tamaddun Melayu disebar-luaskan, terutama di kalangan belia atau generasi muda. Katanya, “Ini caranya mengekalkan jati diri Melayu dan Kemelayuan di merata negara, Penyebarluasan ini amat mendesak dan tidak dilengah-lengahkan kerana tidak mustahil dalam era yang serba terdedah ini arus intervensi budaya luar yang buruk akan terus  merasuki Dunia Melayu Dunia Islam.”



Al-Azhar, cendekiawan Melayu Riau, juga seorang pensyarah salah sebuah universiti terbuka di Pekan Baru, mahu orang Melayu yang jati dirinya kini telah banyak terhakis “dsuntik dengan virus kemelayuan, terutama mereka dari kalangan saintis dan teknokrat.” Seperti katanya golongan ini, akibat bidang profesionnya sudah hampir “menglobal” cara berfikirnya dan bagi mereka nilai Melayu tidak lagi penting. Azhar menyalahkan politik sehingga mengakibatkan “runtuhnya ketuanan Melayu dan budayanya.” Katanya, “Dan kami di Riau pun sedang berdepan dengan cabaran untuk mengembalikan semula nilai dan ketuanan itu melalui apa yang kami sebut Destinasi Riau 2020. Jika di Malaysia ada Wawasan 2020, kita juga ada Visi 2020 seperti yang terungkap dalam Destinasi Riau itu.”



Cuma bezanya Wawasan 2020 di Malaysia menjurus kepada menjadikan Malaysia negara maju manakala Visi 2020 Riau bermatlamatkan penemuan semula nilai dan jati diri kemelayuan warganya. Sememangnya Riau itu daerah kesinambungan kesultanan Melayu yang asalnya berpusat di Melaka. Kata Azhar lagi, “Sebenarnya Riau merupakan kawasan terdepan Alam Melayu yang meliputi Sumatera Barat, Jambi dan Sumatera Selatan di wilayah kami.” Maksud kata Azhar, Riau bertanggung jawab menemukan semula tamadun Melayu itu melaui apa yang disebutnya cultural recovery.



Makna tersirat daripada hujah Azhar ialah Malaysia dan bahagian alam Melayu di sebelah timur dan utara perlu pula memainkan peranannya menemukan semula tamadun itu.Lebih-lebih lagi Malaysia yang dianggap seorang wakil dari Satun, Thailand selatan, sebagai negara induk orang Melayu seluruh dunia. Wakil Satun itu bagaimanapun berkata, “Sebagai induk bangsa Melayu saya kecewa bila Malaysia masih juga menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris secara meluas.”



Demikianlah, dalam kongres tiga hari itu, status bahasa Melayu di negara ini dijadikan sasaran utama perbincangan. Malah menurut pemerhati budaya masalah bahasa kebangsaan menjadi salah satu sebab utama kongres kebudyaan rumpun Melayu diadakan. Hal ini disokong oleh Resolusi sembilan perkara yang dikeluarkan pada akhir sidang. Misalnya, Perkara 4, Rumusan, jelas menyebut dasar-dasar kebangsaan mengenai kenegaraan, bahasa, kebudayaan, pendidikan dan ekonomi sebagai dasar-dasar utama yang mesti dipertegas pelaksanaannya dan tidak boleh dirombak sewenang-wenangnya. Perkara 5 lebih merinci, iaitu mahukan bahasa Melayu diperkasa sebagai media pengajaran ilmu di semua peringkat pendidikan dan pengajian, dan juga dalam pentadbiran, pengurusan serta komunikasi.



Resolusi sembilan perkara yang dipersetujui sebulat suara oleh Kongres meliputi semua aspek nilai dan ketuanan Melayu yang sebenarnya sudah termeterai dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Ramai kalangan peserta berpendapat andainya dasar kebudayaan itu dilaksanakan sepenuhnya sejak ia digubal pada tahun 1971, kongres rumpun Melayu ini tidak perlu diadakan. Datuk Hassan Ahmad, Pengarah Eksekutif Yayasan Karyawan, juga mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka sampai bertanya, “Setakat manakah seluruh system negara dalam semua bidang, baik pendidikan, baik dasar komunikasi negara, baik acuan pembangunan ekonomi dan social negara – bersepadu untuk  memajukan negara ini berdasarkan nilai-nilai kebudayaan kebangsaan itu?”



Suasana dewan sentiasa panas dan tegang  sepanjang perbincangan setiap sesi. Ia bertambah panas ketika Hassan berkata, “Mereka (pemimpin besar Melayu) menuduh orang Melayu yang cuba memperjuang kedudukan Bahasa Melayu sebagai fanatik dan cauvinis bahasa, padahala bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Ini dasar negara, dasar kerajaan yang termaktub dalam Perlembagaan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1967/68.”



Menurut Hassan, beberapa hari yang lepas “Saya mendengar cerita, dalam satu perjumpaan elit Melayu yang diminta oleh Perdana Menteri untuk memikirkan masalah negara dan mengemukakan cadangan kepadanya, satu kumpulan Melayu dari golongan korporat (ada daripada mereka yang pernah menjadi pegawai tinggi kerajaan menjaga hal ehwal pendidikan negara) mencadangkan supaya bahasa Melayu digantikan sahaja dengan bahasa Inggeris, segala iklan dalam bahasa Melayu di TV dan di tempat-tempat awam, dihapuskan dan digantikan sahaja dengan iklan dalam bahasa Inggeris, dan pejuang bahasa Melayu jangan dipedulikan. Mereka ini saya anggap fanatik bahasa Inggeris, kalau tidak pun bangsa Melayu sesat, atau mangsa penjajahan bahasa Inggeris.”



Maka terlihat seperti ada dua golongan yang wujud hari ini, iaitu golongan yang fanatik bahasa Inggeris yang terdiri dari kalangan elit Melayu dan golongan yang fanatik bahasa Melayu yang terdiri dari kalangan pejuang bahasa Melayu. Yang membimbangkan ialah kedua-dua golongan yang fanatik ini terdiri daripada orang Melayu sendiri. Seperti komen seorang peserta dari Singapura, “Nampaknya kamu orang Melayu di Malaysia tidak boleh bersatu dalam soal bahasa. Apa sudah jadi?” Peserta itu memberi komennya setelah mendengar ucapan alu-aluan Ketua Satu Gapena, Tan Sri Ismail Hussein di majlis perasmian Kongres di auditorium RTM Jumaat malam. Dalam ucapannya, antara lain Ismail mengakui bahawa tugas utama negara dan kaum politik adalah untuk menjaga kesejahteraan, ekonomi dan teknologi warganya kerana itu adalah asas segala-galanya.



Namun katanya, “kita tentu susah memahami apabila ada sebahagian kaum politik yang seolah-olah menganggap bahasawan dan budayawannya sebagai tokoh-tokoh yang menghalang pembangunan dan kemodenan, apalagi untuk menghinanya di depan mata umum.Penghinaan terhadap penjaga-penjaga warisan ini, tentulah merupakan satu macam pengkhianatan terhadap sejarah dan tamaddun. Demikain keyakinan kami dalam Gapena.” Suasana hangat dan resah-gelisah hampir setiap 350 anggota perwakilan seperti memberi pentunjuk bahawa bukan Gapena dan kerabat-kerabatnya sahaja yang prihatin terhadap dasar kebudayaan kebangsaan yang telah “diperlekeh”.



Kongres tiga hari itu membariskan tokoh-tokoh ternama dalam bidang pendidikan dan kebudayaan dari dalam dan luar negeri sebagai pembentang kertas kerja. Antaranya Prof. Dato’ Abu Bakar Hamid, Dr. Alias Mohammad, Dato’ Seri Abdul Rahman Maidin, Dr. Khairul Azmi Mohammad, Prof. Dato’ Dr Zainal Keling, Prof. Dr. Azizan Baharuddin, Prof. Dr Abdullah Hassan, Dato’ Dr. Hassan Ahmad dan Prof. Dato’ Dr Shamsul Amri Baharuddin. Dari Riau didatangkan Tengku Nasaruddin Effendy (Pak Tenas Effendy) dan Prof. Dr al-Azhar.



Dari Singapura ada pula Djamal Tukimin dan Abd. Rahman Daud. Singapura turut membentangkan kertas kerja melalui wakilnya Prof. Madya Shaharuddin Maaruf dari National University of Singapura. Turut kelihatan ahli politik veteran Dato’ Mohd Yusof Latiff dari Pulau Pinang, Dato’ Haji Jumaat Mohd Noor dan Dato’ Omar Hashim dari Persatuan Sejarah Malaysia, Dato’ Yazid Othman dari Persatuan Wartawan Melayu Malaysia dan Ahmad Azam Abdul Rahman, presdien Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).



Dato’ Seri Abdul Rahman Maidin, selaku pengerusi  sesi terakhir Kongres mengingatkan Kongres tentang ekuiti Melayu sejak Dasar Ekonomi Baru diwujudkan pada tahun 1970. Menurutnya, ekuiti pegangan Melayu di Malaysia “hari ini ialah 18% berbanding 30% yang dijangkakan. 16% daripadanya adalah ekuiti dalam pegangan syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan kerajaan (Government-linked companies). Jadi ekuiti Melayu dan bumiputera sebenarnya hanyalah 2%.”



Mesej tersirat Abdul Rahman ini amat jelas bahawa di samping dilanda “ribut” kemelut budayanya, orang Melayu juga sedang terkapai-kapau membangun ekonominya. Sehingga dengan demikian timbul persoalan, yang mana satu yang hendak didahulukan, meningkatkan upaya ekonomi dan membiarkan kebudayaan kebangsaan yang berteraskan budaya Melayu diperlekeh atau memperjuang pelaksanaan dasar kebudayaan secara total dan membiarkan status ekonomi orang Melayu pada tahap minimal. Ends.



A.F.Yassin

17 September 2004.






No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

FAMILY BLOGS

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
With Tan Sri Dol Ramli, Ex-Director General (RTM) at his residence, Bukit Ampang, KL..

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
Sharing a light moment with Tun salleh Abbas at his residence in Kuala Lumpur.

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983
Dato' Dr. Firdaus Abdullah chairing the session, with Dr. Sulaiman Masri (extreme right) and Haji Jajuli Abd. Rahman (second from right).