A.Samad Said (sekarang Dato' Seri) bersama Usman Awang (tengah) dan Ahmad Fadzil Yassin di kantor TEMPO, Jakarta. |
Dato' Dr. Firdaus Abdullah (kanan) and Dato' Abd. Aziz Deraman |
Bismillahirahmanirahim!
Yang Amat Berhormat Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi,
Perdana Menteri Malaysia,
Yang Berbahagia Sasterawan Negara Dato A Samad Said
Yang Berusaha Cik Roselina Johari, Pengarah Eksekutif UTUSAN
Publications & Distributors,
Dato-Dato, Datin-Datin
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.
Memperkenalkan seorang tokoh yang memang sudah terkenal
seperti Sasterawan Negara Datuk A Samad Said adalah
ibarat bercerita tentang kain cindai halus. Menurut sesetengah
cerita Melayu lama, kain cindai halus adalah sejenis kain yang
istimewa`cantik dan halus. Antara keistimewaan kain itu ialah jika
dilipat, lipatannya boleh menjadi sekecil kuku, dan jika dikembangkan
lebarnya boleh menjadi seluas alam. Demikian pulalah dengan
tokoh ternama lagi masyhur yang hendak saya perkenalkan ini. Sebut
sajalah nama A Samad Said. Dia akan dikenal dengan serta merta di
mana-mana, di desa atau di kota, di kampus-kampus menara gading
atau di kampung terpencil seperti Ulu Tembeling. Menyebut sepatah
namanya yang serta merta akan dikenal itu, adalah ibarat merujuk
kepada kain cindai yang terlipat sekecil kuku. Tetapi sepatah nama
yang ibarat kain cindai halus yang terlipat sekecil kuku itu akan
terkembang selebar alam bila kita mula berkisah dan bercerita tentang
diri dan karya A Samad Said.
Terlalu banyak yang boleh dikisahkan dan dianalisis tentang A
Samad Said. Sudah terlalu ramai khalayak yang tahu tentang diri dan
karyanya, tentang suara dan tulisannya, tentang ceramah dan deklamasinya,
tentang misainya yang kurang terurus, tentang rambutnya
yang putih beruban dan tentang janggutnya yang panjang mencecah
dada. Sesungguhnya, A Samad Said sudah menjadi satu “ikon” yang
tersendiri di negara kita ini, terkenal dan popular, menjadi idola di
kalangan yang muda-muda, menjadi kebanggaan bangsa dan dunia
sastera kita.
Sebagai seorang sasterawan yang masyhur dan terkenal bukan sahaja
di kalangan peminat sastera bahkan juga di kalangan pemimpinpemimpin
politik dan tokoh-tokoh korporat, memang sudah banyak
yang diketahui umum tentang diri dan karya A Samad Said. Oleh
kerana itu saya tidak berhasrat untuk mengulang-ulang terlalu banyak,
menceritakan kembali apa yang sudah diketahui umum tentang
A Samad Said. Mengenai sajak-sajaknya yang terkumpul dalam buku
yang akan dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri
sebentar lagi, Allahyarham Dharmawijaya telah memberi satu kata
pengantar yang cukup lengkap. Selain itu banyak juga huraian dan
analisis yang telah ditulis oleh pengkritik sastera dan oleh para sarjana
di dalam dan di luar negeri mengenai karya A Samad Said yang
memang sangat prolifik itu. Jadi tidak banyak yang baru yang dapat
saya perkatakan. Dengan yang demikian saya tidak dapat menahan
diri daripada menyentuh sedikit hal-hal yang agak peribadi -- atau
personal -- sifatnya. Sesungguhnya, A Samad Said yang dengan mesra
dan manja saya panggil Abang Samad adalah seorang, dengan izin - a
special personal friend - seorang sahabat peribadi yang istimewa yang
turut mempengaruhi kehidupan peribadi dan kerjaya saya semenjak
empat tahun yang lalu.
Kira-kira empat puluh tahun yang lalu, di tingkat dua sebuah bangunan
empat tingkat di nombor 111, Jalan Pudu Kuala Lumpur, saya
menatap wajah Abang Samad hampir setiap hari, paling kurang lima
kali seminggu. Sewaktu itu beliau adalah pengarang Berita Minggu dan
saya baharu hendak belajar menjadi wartawan dengan akhbar Berita
Harian. Meja kerja saya dan meja kerja Abang Samad bertaut dan
oleh kerana itu kami duduk berhadap-hadapan. Keadaan yang demikian
memberi saya kesempatan yang istimewa untuk bersahabat dan
sekali gus berguru dengan A Samad Said.
Maka semenjak itu jadilah dia sahabat dan guru saya. Abang Samad
telah menjadi seorang sahabat senior yang tidak pernah jemujemu
mendengar luahan resah gelisah seorang anak muda yang
rambang mata yang setiap minggu jatuh cinta, setiap minggu pula
kepatahan cinta, sekali sebulan dikecewakan pasangan dan dua bulan
sekali mengecewakan pasangan. Dan semua kisah suka duka
dikecewakan dan mengecewakan itu saya luahkan kepada Abang Samad.
Lazimnya dia mendengar dengan penuh sabar. Sekali sekala
dia memberi senyuman yang sinikal atau memberi sindiran yang
penuh senda gurau tetapi senantiasa disertai nasihat dan petunjuk.
Begitulah abang Samad sebagai seorang sahabat senior. Tetapi lebih
dari seorang sahabat, bagi saya, beliau adalah juga seorang guru dan
pakar motivator yang tidak jemu-jemu memberi nasihat dan mengobarkan
semangat.
Saya masih merasa terhutang budi kepada beliau atas bimbingan
dan tunjuk ajar yang diberikannya semenjak saya muda remaja terutama
di peringkat awal kerjaya saya sebagai seorang wartawan dan penulis
dan juga sebagai seorang aktivis GPMS di awal tahun 1960han.
Dalam hubungan ini, saya memohon maaf dan izin kepada Yang Amat
Berhormat Dato Seri , Abdullah kerana hendak mengimbas kembali
satu episod hubungan saya dengan Dato A Samad Said di awal tahun
1960an yang secara tidak langsung melibatkan Yang Amat Berhormat
sendiri. Pada masa itu, tepatnya pada tahun 1962, sebagai presiden
GPMS, Yang Amat Berhormat meminta kerjasama akhbar Berita Harian
agar menyediakan satu kolum atau ruangan khas untuk GPMS.
Saranan itu saya sampaikan kepada Abang Samad dan dengan
serta merta beliau memberi tanggapan dan reaksi yang positif Maka
mulai bulan Ogos tahun 1962 hingga bulan Jun 1966 muncullah satu
kolum atau ruangan khas di akhbar Berita Minggu yang diberi tajuk
khas oleh Abang Samad sendiri, iaitu Hati Dan Nadi Dunia Pelajar.
Saya merasa bertuah dan bernasib baik diberi penghormatan dan kepercayaan
mengisi ruangan Hati dan Nadi Dunia Pelajar itu setiap
minggu. Selama tiga tahun setengah saya menulis untuk ruangan Hati
dan Nadi Dunia Pelajar itu, saya telah mendapat tunjuk ajar dan bimbingan
yang amat berharga daripada Abang Samad. Selain daripada
memberi bimbingan di dunia penulisan itu, beliau juga tidak jemu-jemu
menasihatkan dan memberi dorongan agar saya Belajar dan Terus
Belajar sesuai dengan slogan dan semangat GPMS pada masa itu.
Hadirin dan hadirat yang dihormati,
Jika ucapan saya mengenai Sasterawan Negara Dato A Samad Said
ini kedengaran terlalu peribadi atau personal sifatnya, saya memohon
berbanyak-banyak maaf. Tetapi saya mempunyai satu tujuan lain di
sebalik semuanya itu. Cerita peribadi saya mengenai Abang Samad
ini, bukanlah sesuatu yang luar biasa. Kerana disamping saya, saya
percaya, puluhan malah ratusan penulis dan peminat sastera di serata
negara turut merasa terhutang budi kepada beliau atas bimbingan
penulisan dan dorongan semangat yang beliau beri. Puluhan penulis
muda atau penulis separuh umur akan mendakwa menjadi adik
atau anak didik beliau. Ratusan malah ribuan peminat sastera merasa
rapat dan akrab dengan beliau.
Oleh kerana itu cerita peribadi saya tentang Abang Samad, adalah satu representatif daripada pengalaman puluhan atau ratusan yang lain. Beliau telah berjasa banyak untuk
memperkasa karyawan sastera, beliau telah berjasa banyak untuk
meluaskan khalayak dan peminat sastera. Dan dengan demikian beliau
juga telah berjasa banyak untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti dunia
penulisan kita. Itulah catatan peribadi saya tentang Sasterawan
Negara Dato A Samad Said, guru dan sahabat saya yang saya bahasakan
dengan panggilan manja dan mesra Abang Samad. Tahniah dan
terima kasih Abang Samad, guru dan sahabat kami semua.
Wabillahi taufik wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
(Dipetik daripada buku Memoir A.F.Yassin 2 Menuju Pelabuhan Waktu yang dalam proses penyelenggaraan.)