Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar BH semalam)
Barisan Bertindak Gombak buat laporan polis terhadap Anwar
KUALA LUMPUR: Barisan Bertindak Gombak yang diwakili beberapa pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) daerah itu hari ini membuat laporan polis terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa mengganggu-gugat kestabilan negara.
Laporan dibuat Ketua Setiausahanya, Mohd Mustafa Latiff di Balai Polis Batu 6, Gombak, jam 10.35 pagi ini.
Mohd Mustafa yang ditemui pemberita selepas itu berkata, mereka membuat laporan polis untuk mendesak polis dan kerajaan agar menjalankan siasatan terhadap Anwar yang didakwa mereka telah mewujudkan pelbagai prasangka negatif rakyat terhadap kepimpinan kerajaan.
“Kami membuat laporan ini supaya polis dapat menjalankan siasatan yang sewajarnya ke atas beliau. Ini kerana kepemimpinan Anwar bukan sahaja menganggu-gugat kestabilan negara tetapi juga mengelirukan pemikiran rakyat dengan beberapa kenyataannya seperti isu Ahli Parlimen BN (Barisan Nasional) yang keluar parti... sedangkan perkara itu adalah tidak benar.
“Beliau (Anwar) seharusnya disiasat mengikut Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana kenyataannya telah menimbulkan keresahan di kalangan rakyat terutamanya berhubung isu mengambil alih kerajaan,” katanya kepada pemberita di perkarangan balai polis itu di sini hari ini.
Terdahulu terdapat juga dakwaan mengenai pelabur asing yang menarik balik pelaburan di negara ini berikutan dakwaan Anwar, yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, kononnya akan mengambil alih kerajaan daripada BN.
Seramai 20 anggota Barisan Bertindak Gombak berkumpul di hadapan balai polis itu sejak jam 10 pagi ini bagi menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap tindak-tanduk Anwar sebagai pemimpin.
Mereka turut membawa kain rentang yang tertulis “Anwar Ibrahim pengacau Negara, Rakyat dan Pembohong Besar” serta “Tangkap Anwar Ibrahim”.
Sementara itu, di SEREMBAN, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan dakwaan Anwar yang mempunyai senarai nama Ahli Parlimen BN yang telah menyertai partinya sebagai muslihat semata-mata. - Bernama (Dipetik dari Berita Harian, 24 September 08)
Komen:
Semakin bercelaru nampaknya. Tak tahu mana satu yang betul - BN atau Pakatan Rakyat.
Hari ini laporan polis dibuat terhadap Anwar Ibrahim oleh NGO Gombak. Kita masih seperti dalam suasana pilianraya walaupun ia sudah lama berlalu. Sepatutnya jika Anwar telah mempunyai senarai nama anggota Parlimen yang mahu melompat, umumkan sahajalah dan berdasarkan pengumuman itu beliau bolehlah mendesak Kerajaan mengadakan sidang tergempar Parlimen dengan cukup notis.
Kalau asyik dok kata "kita sudah ada senarai" tapi tak didedahkan, ia tidak memberi apa-apa makna. Hanya cakap kosong. Main politik macam ini dok menyusahkan orang ramai sahaja. Jika kita berpegang kepada konsep demokrasi Kerajaan BN kini mewakili majoriti rakyat kerana jumlah anggota Parlimen membolehkannya membentuk kerajaan. Maka dalam hal ini Pakatan Rakyat perlu berpuas hati bahawa mereka adalah pembangkang. Dan sebagai pembangkang mereka perlu pula betanggung jawab menjadi pembangkang yang setia dan berfungsi mengikut lunas-lunas demokrasi. Tak perlulah war-warkan tentang mahu mengambil alih kuasa, kalau tak cukup syarat atau dengan menggunakan cara-cara yang tidak demokratik.
Sebaiknya kedua-dua kerajaan dan pembangkang bersatu dalam hal menstabilkan politik dan ekonomi negara. Kalau telah sesat atau terlanjur eloklah balik ke pangkal jalan. Berikanlah peluang kepada parti yang memerintah meneruskan agenda pembangunan rakyat dan pembangkang pula menjadi pihak yang bertanggungjaab sebagai kumpulan yang melaksanakan fungsi "check and balance". Jadilah golongan pembangkang seperti yang wujud di Barat seperti UK, Australia, Jepun dan mungkin juga Amerika Syarikat.
Tunjukkanlah kita juga mempunyai tahap kematangan berpolitik yang tinggi seperti di Barat. Dan akhirnya jika ada rezeki sesiapa sahaja pemimpin politik boleh menjadi Perdana Menteri jika sudah sampai masanya. Dalam kalangan pembangkang sesiapa sahaja pemimpinya boleh menjadi Perdana Menteri: Anwar Ibrahim, Abdul Hadi Awang. Dan dalam kalangan BN: Najib Tun Razak, Muhyiddin Yassin atau tengku Razaleigh Hamzah.
No comments:
Post a Comment