Mesyuarat Raja-Raja Melayu di Kuala Terengganu, 17 Oktober 2008 yang laluTerima adat tempatan
Oleh ROHANI IBRAHIM
PETALING JAYA 19 Nov. – Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menegaskan betapa pentingnya komuniti imigran di sesebuah negara menghormati dan menerima adat, sejarah serta sistem pemerintahan yang diamalkan di negara mereka berhijrah dan menetap sepanjang masa.
Baginda bertitah, mereka sepatutnya mempunyai garis sempadan dalam mempersoalkan sesuatu perkara yang membabitkan antara hak seseorang individu untuk memilih cara hidup pilihannya di negara mereka berhijrah atau keperluan untuk mewujudkan sebuah masyarakat bersatu padu.
Titah baginda, dalam membuat pilihan itu, masyarakat imigran yang datang daripada pelbagai budaya dan adat perlu berpegang kepada pepatah ‘di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.’
“Anggapan bahawa beban tanggungjawab hanya terletak di bahu negara penerima mungkin tidak tepat,” titah baginda ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Isu Kepelbagaian Mengenai Diaspora di Kalangan Negara Komanwel di Universiti Monash Kampus Sunway, Bandar Sunway di sini hari ini.
Raja Nazrin bertitah, Malaysia merupakan contoh terbaik bagaimana diaspora atau penghijrahan besar-besaran orang Cina, India dan kaum-kaum lain yang membawa kepada sebuah bangsa yang makmur dan majmuk.
“Hari ini semua mereka menjadi sebahagian daripada landskap negara ini dan pada masa yang sama, warga Malaysia turut berhijrah ke serata dunia untuk meneroka pelbagai bidang,” titah baginda.
Baginda menjelaskan, proses integrasi di antara golongan imigran di negara yang mereka berhijrah berlaku dari semasa ke semasa dan melibatkan banyak generasi.
Bagaimanapun menurut baginda, secara umum, kemahuan dan keperluan imigran di mana-mana negara adalah sama iaitu makanan, wang, pendidikan untuk anak-anak dan kehidupan yang lebih bermakna, selain rumah dan perlindungan pada hari tua.
“Namun, generasi imigran yang seterusnya akan mengimpikan identiti dan semangat kekitaan yang lebih mendalam. Mereka juga mahu diserapkan dalam komuniti yang lebih besar dan tidak dilayan sebagai orang asing,” titah baginda.
Dalam hal ini, Raja Nazrin bertitah, usaha sesetengah kerajaan negara Komanwel untuk memperkenalkan polisi yang pelbagai dalam perkhidmatan awam adalah pendekatan yang tepat dan responsif.
“Dalam sebuah negara yang mempunyai budaya majmuk, masyarakat daripada pelbagai budaya perlu dibenarkan hidup bebas tanpa dipaksa melakukan perkara yang mereka tidak mahu,” titah baginda.
Menurut baginda, kehidupan yang demokrasi bermakna seseorang itu boleh memilih untuk lebih menyesuaikan diri dalam masyarakat, diserap atau diterima dalam masyarakat atau tidak menunjukkan sebarang minat.
“Pada masa yang sama, keperluan untuk mewujudkan masyarakat yang berkongsi nilai dan kepentingan tetap menjadi keutamaan,” titah baginda. (Utusan Online 20 Nov 2008)
Komen:
Masalahnya hanya orang Melayu sahaja yang ada peribahasa "Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung". Tak pasti sama ada wujud peribahasa yang sama makna dalam kalangan komuniti imigran. Kemudian tradisi dan adat komuniti imigran jauh berbeza. Jika nak jadikan Amerika Syarikat sebgai perbandingan maka komuniti imigran di negara ini terpaksalah melakukan apa yang, misalnya, Presiden-terpilih Barack Obama lakukan. Iaitu mengasimilasikan dirinya menjadi warganegara Amerika sepenuhnya, menerima budaya, cara hidup dan bahasa nenek moyang mereka yang tradisinya Anglo-Saxon.
Setidak-tidaknya komuniti Imigran di Malaysia terpaksa menerima slogan satu bangsa = Malaysia, satu negara = Malaysia dan satu bahasa = bahasa Melaysia, iaitu bahasa Melayu. Ini barulah satu perbandingan yang adil.
No comments:
Post a Comment