Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) bersama Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak ketika melafazkan sumpah jawatan di Istana Negara. Foto Bernama.Gapena mahu jumpa Najib, Muhyiddin, bentang pandangan orang bahasa, sastera dan budaya
GABUNGAN Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagi mengemukakan pandangan persatuan yang membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada peringkat sekolah rendah dan menengah.
Setiausahanya, Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan, berkata pihaknya dalam usaha menentukan tarikh dan masa ekoran rombakan Kabinet yang menyaksikan Muhyidin mengambil alih jawatan sebagai Menteri Pelajaran daripada Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada awal bulan ini.
“Gapena akan menjelaskan pendirian menolak PPSMI pada pertemuan yang akan berlangsung itu dan berharap kerajaan membatalkannya daripada peringkat sekolah rendah dan menengah kerana isu ini sudah melarat hingga ke peringkat institut pengajian tinggi (IPT),” katanya ketika dihubungi Sastera di Kuala Lumpur, kelmarin.
Beliau berharap pertemuan terbabit akan dapat diadakan secepat mungkin dan sudah berusaha mengaturnya susulan daripada laporan polis yang dibuat sebelum ini, ekoran kegagalan kerajaan membatalkan PPSMI sebelum 2009 pada 15 Februari lalu.
“Kita serahkan kepada pejabat Peguam Negara untuk mengambil tindakan sekiranya siasatan polis mendapati ada kes dan kita akan ambil langkah satu persatu berdasarkan perbincangan jawatankuasa. Gapena juga akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Kami akan menggunakan kesempatan terbabit bagi mengemukakan pandangan bahawa PPSMI bercanggah dengan Perlembagaan Negara dan Akta Pendidikan, selain tidak selari dengan matlamat perjuangan Umno ketika gerakan terbabit dibentuk dulu,” jelasnya.
Seminggu sebelum Perhimpunan Agung Umno Mac lalu, Gapena yang diwakili Ketua Satunya, Tan Sri Prof Emeritus Ismail Hussein dan ahli jawatankuasa, Prof Datuk Dr Zainal Kling serta Datuk Tengku Alauddin Tengku Abdul Majid mengadakan pertemuan dengan Najib yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden Umno.
Setiausaha II Gapena, Prof Madya Dr Hashim Ismail yang turut hadir pada pertemuan terbabit berkata, pertemuan yang diatur oleh pihak ketiga atas permintaan Najib itu, menunjukkan isyarat positif, selain turut membincangkan soal cabaran politik dan kedaulatan bangsa.
Timbalan Presiden, Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Kamal Shukri Abdullah Sani, berkata PLM menyambut baik usaha membawa isu PPSMI ke Kabinet dan keputusan segera dan terbaik dapat dibuat untuk pendidikan negara ini dengan mengambil kira semangat yang terkandung dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
“Dengan menolak PPSMI, sebenarnya Kabinet menghormati konsep Satu Malaysia yang antara lain, rasa pemilikan bersama-sama negara ini termasuklah perlunya bersama-sama ‘memiliki’ bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, kebangsaan dan perpaduan bagi negara ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur
Beliau berkata, tamadun bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, khususnya sebagai bahasa sains dan teknologi dapat terus berkembang dengan pesat ketika Dasar Pendidikan Kebangsaan dilaksanakan sepenuhnya dan tidak musnah atau dihancurkan seperti yang sedang berlaku sekarang melalui PPSMI.
PLM bimbang apabila semua mata pelajaran berunsur sains, matematik dan teknologi yang dulunya diajar dalam bahasa Melayu seperti Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi dan mata pelajaran Teknikal, Kejuruteraan dan sebagainya di sekolah, kolej, politeknik mahupun universiti, kini diajar dalam bahasa Inggeris,
“Tidakkah ini jelas menunjukkan fungsi bahasa Melayu sudah ‘dihancurkan’. Jumlah mata pelajaran terbabit banyak dan bukannya dua seperti yang mungkin difikirkan segelintir orang. Malah, sekali gus penerbitan dan pembangunan kepustakaan Melayu juga terjejas sama ada secara beransur-ansur atau serta-merta,” tegasnya.
Ahmad Shukri yakin bahawa kemahiran berbahasa Inggeris dan penguasaannya boleh dibangunkan melalui reformasi dalam kurikulum dan pengajaran Bahasa Inggeris dengan pelbagai cara seperti penggunaan bahan interaktif pelbagai media, komputer riba, cakera padat, perisian dan bahan canggih lain.
“Mata pelajaran English for Science and Technology yang ada sekarang juga sudah sangat membantu. Usahlah dimusnahkan fungsi bahasa Melayu di negara ini. Jika kesilapan seorang doktor membunuh seorang pesakit, tetapi kesilapan pendidikan membunuh satu generasi. Di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung” ujarnya.
Timbalan Presiden, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Mohamad Saleeh Rahamad, berkata pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, diharap dapat memulihkan kembali fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik di sekolah rendah serta menengah.
“Pena menyokong usaha menolak PPSMI kerana ia bukan saja membawa natijah buruk kepada perkembangan kognitif dan keadilan pendidikan majoriti pelajar dari keluarga biasa di luar bandar mahupun di pinggir bandar, tetapi yang lebih berbahaya PPSMI sedang meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu moden,” tegasnya. Barita Harian
Komen:
Pertemuan demi pertemuan telah diadakan. Perbincangan demi perbincangan telah diadakan. dialog demi dialog telah diadakan. Menteri datang, menteri pergi. Kini kita (Gapena) akan bersemuka pula dengan Menteri pelajaran yang baru dan Timbalannya. Kedua-duanya orang Johor. Setakat ini hanya negeri ini sahaja yang masih teguh mahukan PPSMI dimansuhkan.
Namun apakan daya. Masih teralu ramai yang pesimis sama ada PPSMI berjaya dimansuhkan. Mantan Perdana Menteri yang lalu gagal menyelesaikan masalah ini. PM yang sekarang ini belum lagi bersuara: Mahu ke mana PPSMI? Mantan Menteri Pelajaran "telah cuci tangan". Masih ingatkah bagaimana mantan Menteri Pelajaran itu terpaksa membawa rombongan PPSMI yang diketuai Dato' Dr. Hassan Ahmad "berpusing-pusing dalam belukar" di Putrajaya ketika membincangkan isu PPSMI tak lama sebelum Pemilihan UMNO akhir Mac lalu.
Sekarang mantan Menteri Pelajaran itu telah memegang jawatan Menteri Dalam Negeri. Semkin kukuh sahaja kedudukannya dalam kabinet. Isu PPSMI kini terletak di pundak Menteri Pelajaran yang baru yang juga Timbalan Perdana Menteri. Dengan arkitek PPSMI mula membayangi PM yang baru beserta Kabinetnya, apakah ada kemungkinan masalah PPSMI ini dapat dirungkaikan.
Maka cerita lucu main tarik tali selama ini akan berterusan. Dan Menteri Pelajaran dan Timbalannya sekarang akan menjadi anggota "kelab terbaru" bermain tarik tali dengan rakyat!
No comments:
Post a Comment