WELCOME TO THE BORDERLESS WORLD OF POSSIBLITIES!

How about sharing your slants and perspectives - left, right, up above or down below!?

Wednesday, 15 September 2010

ANTARA MENTALITI ORANG UMNO DAN ORANG MELAYU

Kenapa memusuhi Perkasa
Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my
PERTUBUHAN Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang ditubuhkan dengan hasrat mempertahankan hak-hak orang Melayu dan bumiputera di dalam Perlembagaan terus dipandang serong.
Entah mengapa sejak selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, apa sahaja yang berkaitan dengan orang Melayu akan dilihat rasis. Ertinya, seorang Melayu tidak kira siapapun tidak lagi boleh bercakap soal hak dan kedudukan mereka sebagai orang Melayu.
Kalau mereka bercakap soal itu, maka mereka dianggap rasis dan perlu dijauhi, itulah yang dialami oleh Perkasa sekarang.
Apa yang anehnya sebelum ini apabila wujudnya pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili kepentingan sesuatu kaum seperti Hindraf , Siqui dan Dong Zhong tidak pula dilihat sebagai rasis.
Malahan tidak ada satu pun parti politik sama ada di dalam kerajaan mahupun pembangkang membuat kenyataan meminta pertubuhan-pertubuhan berkenaan dijauhi.
Namun yang peliknya apabila menyentuh soal Perkasa, semua parti-parti tersebut hatta UMNO sekalipun mahu menjauhinya. Semuanya kerana bimbang dituduh rasis memandangkan ia ada kaitan dengan orang Melayu.
Sebenarnya ia tidak menguntungkan orang Melayu, malahan ia akan menyemarakkan lagi semangat puak-puak tertentu untuk terus menyentuh apa yang sudah termaktub di dalam Perlembagaan.
Mereka boleh berbuat demikian kerana yakin apa yang diperjuangkan oleh Perkasa tidak akan dibela oleh mana-mana parti politik Melayu sama ada UMNO mahupun Pas.
Keadaan itu berlaku kerana Perkasa dilihat sama taraf dengan Hindraf, Perkasa dianggap rasis dan Perkasa dituduh puak pelampau.
Tetapi adakah tuduhan yang sama pernah dilemparkan kepada Siqui, Dong Zhong dan Hindraf. Perkasa tidak pernah membuat tuntutan seperti mana ketiga-tiga pertubuhan berkenaan.
Tidak pernah pula sepanjang kewujudannya, Perkasa berarak ke Kedutaan Britain bagi menuntut kerajaan negara itu membayar pampasan kepada orang Melayu terhadap apa yang berlaku ketika zaman penjajahan dahulu, tetapi ia pernah dilakukan oleh Hindraf bagi kaum India, yang jelas bersifat perkauman.
Ketika itu, tidak ada parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) atau pembangkang menyanggah Hindraf, Siqui atau Dong Zhong.
Malahan penulis masih ingat sebelum pilihan raya umum lalu ketika menemuramah seorang pemimpin kanan MIC, beliau meminta penulis jangan siarkan kenyataannya mengkritik Hindraf, katanya takut orang India marah.
Begitu juga MCA dan Gerakan, apakah pernah mereka membawa usul supaya BN menjauhi Siqui dan Dong Zhong? Tetapi kenapa apabila menyentuh soal Perkasa, pendirian mereka berbeza?
Apakah kerana Perkasa memperjuangkan hak Melayu dan bumiputera maka ia dilihat salah dan terlalu perkauman?
Kita jangan lupa apabila parti-parti komponen BN terutamanya Gerakan, MCA dan MIC memperoleh keputusan buruk dalam pilihan raya umum, mereka menyalahkan UMNO. Mereka kata UMNO terlalu dominan, ertinya sebuah parti Melayu disalahkan.
Sekarang mereka mencari alasan lebih awal dengan meminta supaya Perkasa yang jelas memperjuangkan hak dan keistimewaan orang Melayu di dalam Perlembagaan dijauhi. Nampaknya misi mereka berjaya.
Persoalannya, apakah ini akan menguntungkan kerajaan atau lebih tepat orang Melayu? Apakah dengan menjauhi Perkasa, ia boleh memberi jaminan bahawa komponen-komponen BN itu akan mencapai kejayaan dalam pilihan raya nanti?
Sekarang ini pun, awal-awal lagi Parti Gerakan di Pulau Pinang sudah meramalkan DAP akan terus memerintah Pulau Pinang selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, ertinya mereka sudah mengalah lebih awal. Apakah ramalan itu dibuat kerana Perkasa begitu kukuh di Pulau Pinang?
Kalau awal-awal lagi sudah mengaku kalah, tidak perlulah pucuk pimpinan BN memberi kerusi kepada Gerakan untuk bertanding, lebih baik serahkan kepada UMNO atau parti lain yang ingin berjuang habis-habisan.
Apa yang ingin disampaikan ialah jika sesebuah parti itu kalah di dalam pilihan raya, ia bukan kerana orang lain tetapi disebabkan kelemahan kepimpinan parti itu sendiri.
Jadi, janganlah cuba menjadikan Perkasa sebagai kambing hitam. Bukanlah suatu rahsia lagi bagaimana MCA, Gerakan atau MIC malahan UMNO (di sesetengah negeri) belum mampu mengembalikan keyakinan rakyat sepenuhnya.
Oleh itu, apabila Perkasa cuba dijauhi ia sebenarnya tidak menguntungkan sesiapa sebaliknya yang akan mengalami kerugian besar ialah orang Melayu.
Perkasa bukannya parti politik, Perkasa seperti mana kata Pengerusinya, Datuk Ibrahim Ali dalam satu kenyataan kepada penulis, pertubuhan itu hanya mempertahankan hak yang termaktub dalam Perlembagaan.
''Kita menentang usaha mewujudkan Perlembagaan baru, Dasar Ekonomi Baru (DEB) digugat dan mempertahankan kontrak sosial, itu yang kita buat, kita tidak menentang mana-mana kaum, tetapi kenapa kami harus menjadi mangsa?,'' kata Ibrahim.
Justeru, jika Perkasa cuba dijauhi dan dimusuhi, maka orang Melayu akan berpecah lagi. Setelah sebelum ini, orang Melayu sudah berpecah ke dalam UMNO, Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan atas pagar, kini wujud pula puak yang menyokong Perkasa.
Kesudahannya siapa yang lemah? Sudah tentu orang Melayu. Sebab itulah, sementara kita menentang sebarang perjuangan mempertahankan hak sesuatu kaum secara keterlaluan seperti dilakukan oleh Hindraf dalam masa yang sama, kita juga perlu mengelak daripada terperangkap dalam politik licik mana-mana pihak yang mahu melemahkan kuasa politik Melayu secara tersirat.
Adalah lebih baik jika Perkasa tidak dimusuhi sebaliknya diajak berbincang mengenai apa yang mereka perjuangkan. Orang Melayu tidak mendapat apa-apa faedah jika Perkasa mewujudkan sebuah lagi pakatan politik, sebaliknya hanya akan menyebabkan kuasa politik Melayu semakin berkurangan kerana perpecahan yang berlaku.
Jika ini terjadi, maka sudah pasti semakin banyak pihak yang akan 'naik tocang' dan membuat tuntutan yang bukan-bukan sehinggakan Perlembagaan negara pun mahu ditulis semula.
Ingatlah pesanan Tun Dr.Mahathir Mohamad ketika mengulas mengenai isu Perkasa. Antara lain beliau berkata, ''Oleh kerana kita (BN dan UMNO) memerlukan sokongan daripada seberapa ramai orang, tidak perlulah kita bermusuh dengan orang. Ia langsung tidak memberi sebarang faedah dan keuntungan.''(Petikan Utusan Malaysia, 14 September 2010).

Komen: Selagi pemimpin UMNO mempunyai mentaliti dan budaya UMNO selagi itulah apa sahaja yang disuarakan oleh Melayu 'sebenar' ibarat mencurah air di daun keladi. Tak payahlah pergi jauh-jauh hendak membandingkan mentaliti anggota komponen Barisan Nasional yang bukan Melayu yang mempunyai hubungan erat dalam kalangan kaum masing-masing. Sesama UMNO pun masih bercakaran, baik dalam kalangan anggotanya, lebih-lebih lagi dalam kalangan pemimpinnya.

Lihat sahaja apa yang berlaku dengan sesetngah pemimpin UMNO. Setelah pertandingan UMNO yang lalu, hingga sekarang ini belum nampak sebarang usaha perpaduan secara menyeluruh dilakukan. Ini kerana ada beberapa kerat pemimpin yang tidak senang melihat puak lain naik dan ingin sahaja mahu menjatuhkannya. Contohnya sehingga hari ini belum ada tanda-tanda UMNO mahu berbaik-baik dengan salah satu sayap parti itu, atau pemimpin-pemimpin yang pernah mencabarnya. Lebih jelas apakah ada sebarang usaha untuk memperbaiki hubungan antara UMNO dengan Pergerakan pemuda UMNO? Lebih tepat lagi adakah sebarang usaha untuk menyatukan semula Ketua Pemuda UMNO yang memenangi jawatan itu dalam pemilihan pergerakan pemuda itu terdahulu dengan dua lagi pencabarnya yang kalah.

Kata hendak membudayakan demokrasi dalam UMNO dengan menerima kehendak majoriti, tapi apa yang berlaku tidak menunjukkan cara berfikir begitu. Juga apa sudah jadi dengan hubungan antara dua bekas perdana menteri, antara dua bekas pemimpin yang mendapat gelaran Tun. Apakah tiak ada kelompok yang mahu melihat dua pemimpin ini berdamai dan bersatu untuk kelangsungan hidup Melayu (UMNO, terutamanya). Jangan hanya dok cakap kita perlukan sokongan setiap orang Melayu tetapi apabila bab ini kenapa tidak disentuh? Kenapa jadi begitu rakyat Melayu pun tak faham.

Sepatah kata seorang ahli veteran UMNO, kalau masalah sekecil begini yang terlalu peribadi sifatnya pun tak dapat diselesaikan bagaimana hendak menyatukan orang UMNO sendiri, hatta orang Melayu itu sendiri.Betullah seperti kata Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba dua bulan sebelum menghembuskan nafas terakhirnya (dalam satu wawancara khas dengan penulis): "Bagi saya Yang penting adalah orang Melayu bukan UMNO."

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

FAMILY BLOGS

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
With Tan Sri Dol Ramli, Ex-Director General (RTM) at his residence, Bukit Ampang, KL..

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
Sharing a light moment with Tun salleh Abbas at his residence in Kuala Lumpur.

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983
Dato' Dr. Firdaus Abdullah chairing the session, with Dr. Sulaiman Masri (extreme right) and Haji Jajuli Abd. Rahman (second from right).