WELCOME TO THE BORDERLESS WORLD OF POSSIBLITIES!

How about sharing your slants and perspectives - left, right, up above or down below!?

Friday, 16 May 2008

PITA POLITIK (21): UMNO DI USIA BERSARA?

Setelah lebih empat tahun, kita melihat kedudukan UMNO sebagai parti politik terbesar di Malaysia semakin tergugat. Pilihanraya Umum baru lalu UMNO bersama-sama rakan sebarisan kalah teruk. Malah ia tidak mampu mempertahankan dua pertiga kerusi di Parlimen, kali kedua selepas Pilihanraya Umum 1969.

Kini Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi seperti telah diberi "kata dua" oleh UMNO sendiri untuk menyerahkan kuasa kepada tokoh lain dalam UMNO. Tokoh yang memberi "kata dua' ini ialah bekas PM, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ada pula tokoh yang mahu jawatan Presiden UMNO dipertandingkan. Maka kita pun dengar nama besar seperti Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan supaya UMNO tidak perlu lagi mengikut kuota pencalonan dalam pemilihan UMNO akhir tahun ini nanti.

Di luar BN dan UMNO ada pula Pakatan Rakyat yang dipimpin penasihat Parti Keadilan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang berusaha memujuk beberapa ahli Parlimen, terutama dari Sabah untuk keluar UMNO dan memasuki Pakatan. Jika ini dapat diusahakan Pakatan akan dapat menumbangkan kerajaan yang sedia ada dan berjaya membentuk kerajaan Pakatan Rakyat. Cuma yang akan menjadi masalah nanti ialah kemungkinan cita-cita Pakatan ini tidak akan kesampaian sekiranya kerajaan BN sekarang yang kekurangan majoriti di Parlimen, jika wujud nanti akan menggunakan peruntukan dalam Perlembagaan bagi menyekat penubuhan kerajaan baru oleh Pakatan. Kerajaan boleh dibubarkan jika parti yang memerintah kehilangan majoriti.

Bagaimanapun kita tunggulah apa yang akan berlaku menjelang 16 September 2008, tarikh yang dikatakan peralihan kuasa akan berlaku. Harapan Anwar dan orang yang mahu Pak Lah berundur meletakkan 16 September sebagai tarikh sakral, sekadar meminjam perkataan Prof. Madya Datuk Zainal Borhan.

Ikutilah artikel UMNO Di Usia Persaraan di bawah ini yang ditulis pada 1 Disember 2003:


UMNO Di Usia Bersara??
Oleh A.F.Yassin

Kain rentang dipasang di beberapa tempat di Pasir Mas, Kelantan oleh penyokong Dato’Ibrahim Ali. Mesej yang ingin disampaikan melalui kain rentang itu ialah Ibrahim tidak patut digugurkan sebagai ketua penaja bahagian UMNO Pasir Mas. Ibrahim salah seorang daripada empat ketua bahagian UMNO di Kelantan yang digugurkan, memberi laluan kepada muka baru. Ketua penaja bahagian UMNO Pasir Mas ialah Abdul Rahim Rahman dari Rahim & Co.

Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Dato’ pasti mempnyai rasionale untuk menggugurkan Ibrahim dan kawan-kawan. Katanya, “Semua peringkat perlu melihat perubahan itu secara positif dengan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha serta persiapan parti untuk menghadapi pilihan raya.” Ertinya UMNO Kelantan membuat perubahan sedikit drastik berbanding negeri-negeri lain ketika melantik ketua penaja di semua bahagian. Perubahan ini mensasarkan satu matlamat penting: Menawan semula Kelantan.

Pemerhati politik yakin perubahan yang berlaku di Kelantan itu merupakan permulaan daripada beberapa siri perubahan yang berlaku dalam tubuh badan UMNO dari masa ke masa. Diperkirakan perubahan itu selari dengan peralihan pucuk pimpinan, iaitu jawatan presiden parti dari Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Dato’Seri Abdullah Ahmad Badawi. Mahathir pada 30 Oktober lalu menyerahkan tampuk kuasa kerajaan kepada Abdullah, sekaligus dengan tampuk kuasa parti yang memerintah. Walapupun hanya sebagai pemangku presiden dalam parti, namun Abdullah memiliki kuasa yang penuh untuk mengemudi perjalanan parti menurut “acuan dan gaya”nya tersendiri.

Dalam kota fikir Abdullah tidak ada agenda yang lebih mendesak daripada membersihkan UMNO daripada segala bentuk kelemahan dan “penyelewengan”. Tidak terkecuali politik wang yang dua tahun lalu dibincangkan secara meluas oleh pemimpin UMNO. Abdullah dianggap “Mr nice guy”. Dan sebagai pemimpin yang dianggap bersih, sudah menjadi satu tanggungjawab untuk “membersihkan” parti daripada politik wang.

Abdullah barangkali masih ingat perbincangan hangat yang diadakan menjelang Perhimpunan Agung UMNO Jun 2001 yang lalu. Ketika itu genaplah usia UMNO 55 tahun. Kalaulah UMNO seorang insan yang bekerja dengan kerajaan maka ia bermakna telah masuk usia bersara dan secara automatik menganggotai warga berusia emas (Senior Citizen's Club). Biasanya, pada usia begitu, badan sudah mula sakit-sakitan. Tanda-tanda penyakit muncul dan dikesan. Ada yang mula menghidap penyakit barah, sakit buah pinggang, sakit darah tinggi dan kencing manis. Seolah-olah penyakit itu datang bersama usia pencen. Yang mujur dapat bertahan hingga ke usia 70an dan 80an. Itupun kerana yang bertahan itu mengamalkan makan sihat dan olahraga. Kalau tidak sakit sengal, dan segala macam penyakit telah pun berjinak-jinak dengan badan pesakit.

Demikian pulalah halnya dengan UMNO ketika itu yang masuk usia 55 tahun. Ada penyakit yang telah berakar umbi sehingga menjadi barah yang kronik. Penyakit barah itu ialah amalan politik wang, dan dipercayai penyakit itu paling dominan semakin usia UMNO meningkat. Keputusan Lembaga Disiplin parti yang dipengerusikan Tan Sri Tengku Ahmad Rithahudeen pada tahun itu membuat keputusan memecat beberapa ketua bahagian UMNO dan mengambil tindakan disiplin terhadap ramai yang lain. Keputusan Lembaga ini seperti mengakui wujudnya penyakit barah dalam UMNO.

Keputusan Lembaga Disiplin juga menimbulkan perbincangan hangat sepanjang perhimpunan Jun 2001 itu. Malah sewaktu taklimat tertutp Selasa lalu oleh Presiden Parti, Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad kepada kira-kira 800 anggota perwakilan isu politik wang dan pemecatan beberapa ketua bahagian menjadi tema penting taklimat. Para pemerhati politik, khususnya parti UMNO, tidak sukar meneka apa yang ditaklimatkan presiden parti. Taklimat itu barangkali adalah lanjutan daripada rayuannya kepada perwakilan pada mesyuarat perwakilan tahun lalu agar "ahli parti menjauhkan diri daripada politik wang."

Bukan tidak mungkin presiden berkata bahawa gejala "kotor" ini harus dipertanggungjawabkan "kepada semua anggota perwakilan yang, terutama mereka yang memilih orang-orang yang dipertanggung jawabkkan memimpin UMNO. Yang memilih ahli Majlis tertinggi adalah anggota perwakilan. Jadi jika ada ahli Majlis Tertinggi dituduh main politik wang maka yang perlu dipersalahkan ialah anggota perwakilan kerana mereka yang memilih. Begitu juga halnya dengan suasana dalam mesyuarat bahagian. Yang memilih ketua bahagian dan ahli-ahli jawatankuasanya ialah ahli-ahli UMNO peringkat bahagian. Jadi mahu disalahkan siapa jika ada ketua bahagian didapati bersalah mengamalkan politik wang untuk menang.

Para pemerhati politik masih ingat desakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Hishamuddin Tun Hussein supaya UMNO turut mendakwa ahli yang menerima wang daripada mereka yang telah didapti bersalah mengamalkan politik wang. Desakan Hisahamuddin ini menarik kerana implikasinya jika UMNO melaksanakannya. Contohnya ada beberapa bahagian yang ketuanya telah dilucutkan jawatan kerana bersalah mengamalkan politik wang. UMNO boleh mendapatkan kerjasama ketua bahagian yang dipecat supaya menamakan anggota-anggota yang telah menerima sogokan daripadanya.

Seorang pemerhati politik berkata, "Masalah akan jadi tambah mudah jika yang dipecat dapat menunjuk orang-orang yang menerima wang daripadanya. Tetapi ia memerlukan keberanian dari pihak yang dipecat. Dan yang lebih penting jika yang dipecat masih sayangkan UMNO." Soalnya ialah siapakah yang sanggup mendedahkan nama-nama orang yang menerima wang sogokan.

Kemudian tindakan Keputusan Lembaga Disiplin juga membuat keputusan yang berbeza-beza menimbulkan keresahan di kalangan ahli. Sebabnya Lembaga Disiplin tidak membuat penjelasan terperinci kenapa keputusan harus berbeza. Naib Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak pernah mencadangkan agar Lembaga Disiplin memberikan penjelasan untuk tidak menimbulkan sebarang salah sangka.

Umumnya reaksi daripada pelbagai kalangan dan tingkat heirarki UMNO menunjukkan wujudnya suasana yang kurang "aman" dalam UMNO. Malah bagi yang kononya menjadi "mangsa" tindakan Lembaga Disiplin, ada yang berura-ura membawa kesnya ke mahkamah, dan ada pula yang menuduh Lembaga tidak adil dan membuat keputusan yang bagi mereka amat "aneh".

Inilah skenario politik UMNO pada perhimpunan ke 55 dua tahun lalu. Satu skenario yang saling tak tumpah seperti seorang insan berpenyakit yang menyambut uisa pesaraannya. Maka menjadi satu agenda penting bagi Abdullah sebagai pemangku presiden mencari jalan bagaimana UMNO dapat memanfaatkan usia emasnya untuk menjadi “lebih gagah, lebih relevan dan lebih matang” meneruskan agenda politik, sesuai dengan tuntutan masa. Dan apapun penyakit yang dihidapi, jika ada, sepatutnya disembuhkan, walaupun ia dikehendaki menelan pil pahit.

Taklimat Mahathir kepada anggota perwakilan menjelang perhimpunan dua tahun lalu itu disifatkan sebagai titik kesedaran kepada semua wakil betapa bahayanya jika penyakit politik wang tidak dibendung. Namun ada pula yang mempersoalkan apakah taklimat itu mujarab kerana tindakan Lembaga Disiplin parti menimbulkan pelbagai reaksi. Contohnya, bukan tidak mungkin ada keinginan di kalangan ketua bahagian yang dipecat itu akan membawa masalahnya ke mahkamah. Mereka ada pengaruh di kalangan akar umbi dan pemecatan mereka secara tidak langsung boleh menggugat perpaduan parti.

Beberapa peristiwa buruk berlaku selepas itu. Di Baling, Menteri Besar Kedah terpaksa campur tangan apabila ada cawangan-cawangan di bahagian itu enggan bekerjasama dengan pengganti ketua bahagian yang dipecat. Di Muar kes pemecatan menjadi tambah unik. Setelah ketua bahagiannya dipecat, calon yang kalah dalam pemilihan sebelumnya diangkat menjadi ketua bahagian. Tetapi calon ini juga turut menjadi mangsa pemecatan. Maka diangkat pula timbalannya menjasi ketua. Maka timbul persoalan. Apakah tidak mungkin nanti ada orang mendakwa timbalan ketua ini juga mengamalkan politik wang sehingga Lembaga Disiplin bertindak ke atasnya pula. Maka cerita dakwaan dan pemecatan ini akan berterusan, tanpa diketahui kesudahannya.

Dalam hal ini pertanyaan seorang pemerhati poilitik dari Johor agak menarik. "Mana ada negara dalam dunia ini yang orang politiknya tidak mengamalkan politik wang. Ia sudah menjadi tradisi, sudah mendarah daging. Di Amerika hanya yang kaya dapat berkuasa kerana mereka gunakan wang untuk mencari kuasa. Lagipun takkanlah nak jadi pemimpin cukup dengan gusi dan lidah sahaja." Dalam pemilihan UMNO yang terakhir, ada seorang calon naib presiden terpaksa akur dengan wujudnya amalan buruk ini. Calon berkenaan tidak berdaya menentang kekuatan tradisi itu sehingga calon ini dilaporkan berkata, "Bagi salah, tak bagi kalah." Akhirnya calon berkenaan kecundang, walaupun beliau dianggap calon favourite menjelang pemilihan.

Secara tersirat pertanyaan pemerhati politik itu menunjukkan bahawa UMNO tidak dapat mengelak daripada ahli-ahlinya mengamalkan politik wang. Sebabnya, membersihkan parti daripada amalan ini bermakna pemimpin parti akan berdepan dengan susana gawat yang lebih kronik. Apakah tidak mungkin nanti UMNO kehilangan banyak ahli dan pengaruh? Apakah tidak mungkin nanti apa yang berlaku kepada penyokong bekas Timbalan Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berlaku pula kepada semua ketua bahagian dan ahli majlis tertinggi yang dipecat kerana kesalahan demikian? Tidak mustahil inilah yang ditunggu oleh parti lawan UMNO untuk "menangguk di air keruh".

Malah ketika Presiden PAS, Dato’ Fadzil Nor bersama dua pemimpin lain bertemu dengan Menteri Luar Australia, Alexander Downer, sejurus selepas perhimpunan Agung UMNO tahun 2001 dahulu, ada di kalangan ahli UMNO yang mengaitkannya dengan suasana dalam UMNO sekarang ini. Jika UMNO lemah kerana faktor dalaman maka PAS menjadi semakin kuat dan berusaha menampilkan diri sebagai parti Melayu terkuat untuk menggantikan UMNO.

"Kalau pun UMNO tidak lagi berpengaruh sebagai parti Melayu tunggal yang terkuat, ia bukan disebabkan oleh kekuatan parti lawan, tetapi disebabkan kelemahan UMNO akibat perpecahan di kalangan ahli-ahlinya sendiri," kata seorang veteran UMNO. "Semua anggota UMNO bertanggungjawab memelihara perpaduan parti. Ia bukan hanya tugas seorang presiden parti. Dan dalam kes amalan politik wang siapakah ahli-ahli UMNO yang benar-benar mahu bertanggungjawab membenterasnya. Siapakah yang sanggup bertanya diri sendiri secara jujur apa tujuan dia masuk UMNO?" Menurutnya, jika ada ahli UMNO yang jujur menjawab pertanyaan itu maka UMNO akan terus hidup seribu tahun lagi. Dan usia 57 tahun hanya akan dianggap sebagai tempoh mukadimmah dalam pembentukan dan kelangsungan hidup UMNO.

Inilah diperkirakan menjadi agenda utama Abdullah dalam parti. Dalam usia 60 hari beliau memegang tampuk pemerintahan, beliau telah memperlihatkan kematangannya mentadbir. Karenah birokrasi mahu dikurangkannya. Unsur rasuah mahu dibanteras dalam jabatan kerajaan. Ramai percaya, Abdullah akan melibatkan pantadbiran parti dalam usaha pembersihan. Abdullah yakin bahawa apa sahaja namanya, baik rasuah di pejabat kerajaan dan politik wang di kalangan orang parti kesannya amat “memukul” jika tidak dibendung.

Walaupun Abdullah belum menampakkan usaha dan tindakannya dalam parti, namun keberaniannya membuat perubahan di Kelantan, terutamanya adalah tanda awal bahawa UMNO tidak akan terkecuali. Dengan slogan “berkerja bersama-sama saya, bukan bekerja untuk saya” untuk menjayakan Malaysia yang stabil, kuat dan makmur, Abdullah juga akan menyerapkan slogan itu ke dalam parti yang pada hari ini belum “merasakan dirinya tergugat oleh parti lawan.” Ibrahim dan tiga ketua bahagian lain yang digugurkan di Kelantan sepatutnya menyahut seruan Abdullah untuk bekerja bersama-sama. Kata seorang pemimpin UMNO Johor, “Jika Ibrahim mahu lihat Kelantan kembali ke pangkuan Barisan Nasional, dia perlu belajar untuk mendisiplinkan diri dan mengikut kehendak majoriti dalam parti. Paling penting harap-harap Ibrahim dapat terus setia dengan UMNO. Dan sama-sama kita banteras politik wang dalam parti. Dan untuk politik wang, saya harap semua pemimpin UMNO di semua peringkat akan disiplinkan diri. Bantulah Pak Lah!” Mudah dikata, sukar dikota.

A.F.Yassin
1 Disember 2003

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

FAMILY BLOGS

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
With Tan Sri Dol Ramli, Ex-Director General (RTM) at his residence, Bukit Ampang, KL..

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
Sharing a light moment with Tun salleh Abbas at his residence in Kuala Lumpur.

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983
Dato' Dr. Firdaus Abdullah chairing the session, with Dr. Sulaiman Masri (extreme right) and Haji Jajuli Abd. Rahman (second from right).