WELCOME TO THE BORDERLESS WORLD OF POSSIBLITIES!

How about sharing your slants and perspectives - left, right, up above or down below!?

Monday, 30 March 2009

KHAIRY, SYED JAAFAR, PERSEPSI DAN SINGA UMNO


Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (kanan) bersama Presiden UMNO yang baru, Dato' Seri Mohd. Najib Tun Razak di PWTC, 27 Mac 09. Foto Utusan Malaysia.

KHAIRY , SYED JAAFAR ALBAR DAN SINGA UMNO

Pengulas politik meramalkan Ketua Pemuda UMNO yang baru, YB Khairy Jamaluddin tidak mempunyai banyak pilihan untuk menghadapi persepsi negatif baik dalam parti mahupun di luar parti. Khairy hanya punya satu opsyen selesa, transformasi diri seebagai seorang ketua Pemuda seperti Datuk Suhaimi Kamaruddin. Ertinya, Khairy harus kekal berada di luar kabinet dan menjadikan Pemuda golongan pendesak (pressure group) kepada UMNO, BN dan kerajaan. Khairy pun pernah menyatakan hasratnya untuk tidak menyertai kabinet, sebelum dan sesudah beliau dipilih. Tetapi jika dipelawa Presiden dan Perdana Menteri itu mungkin cerita lain.

Beliau perlu menjadi ketua yang berfungsi bertindak sebagai suatu kekuatan “check-and-balance” kepada UMNO induk, malah kepada kerajaan. Khairy dan kelompok Pemuda harus pastikan UMNO dan kerajaan BN mematuhi aspirasi dan perjuangan rakyat. Khairy dan kelompok Pemudanya harus bertindak seperti Pemuda di bawah pimpinan Syed Jaafar Albar ketika menerajui Pemuda dalam tahun-tahun 1970-an dahulu, ketika Tunku Abdul Rahman mengetuainya.

Syed Jaafar adalah kumpulan pendesak kepada UMNO induk waktu itu dengan bertindak mempastikan UMNO tidak tergelincir daripada landasan perjuangannya. Beliau bertindak tanpa pamrih (without fear or favour) mengetuai Pemuda sehingga beliau digelar ‘Singa UMNO”.
Menurut ahli veteran UMNO dari Melaka yang seangkatannya, Syed Jaafarlah yang protes habis-habisan keputusan Tunku mengeluarkan Singapura dari Malaysia.

Memperbetul persepsi songsang orang ramai terhadap Khairy kini menjadi cabaran paling getir beliau sekarang, walaupun kadang-kadang persepsi itu mungkin dicipta oleh pelbagai pihak melalui agenda tersembunyi untuk menjatuhkan nama baiknya. Khairy didapati bersalah melanggar etika parti dalam pemilihan oleh Lembaga Disiplin UMNO (ada yang kata ia adalah satu agenda tersembunyi tangan-tangan yang mahu Pak Lah dan orang-orangnya diketepikan).

Dalam keadaan demikian apakah ada ruang dan peluang untuk Khairy memutar semula persepsi itu kepada suatu yang lebih memihak kepadanya? Mungkin ruang itu wujud dalam tindakan Khairy untuk tidak mengikuti tradisi UMNO selepas Suhaimi menjadi Ketua Pemuda dahulu. Suhaimi tidak masuk kabinet tetapi berada di luar untuk menjadi kumpulan pendesak kepada UMNO. Dengan berada di luar parti Khairy dan Pemuda akan lebih kreatif mengawal, mengkritik dan mendesak supaya UMNO induk tidak tergelincir daripada tradisi landasan perjuangan. Cuma amat besar kemungkinan Khairy sendiri akan sentiasai diawasi pula oleh orang nombor duanya Datuk Razali Ibrahim kerana diyakini Razali adalah orang kepercayaan bekas Ketua Pemuda, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein, yang kini naik pangkat sebagai Naib Presiden.

Khairy sangat tahu regu serasinya bukan Razali kerana sebelum pertandingan Razali diregukan dengan Datuk Mukhriz Tun Mahathir seperti yang diharapkan Mahathir dan Najib sendiri. Andainya persepsi terhadap Khairy berpanjanan, bukan tidak mungkin pada pertandingan 2011 – 2113 nanti, Khairy akan dicabar Razali atau Mukhriz sendiri dalam pertemuan buku dengan ruas sekali lagi. Jika demikian halnya Khairy tidak mempunyai tempoh yang lama untuk merubah persepsi yang dihadapinya sekarang. Khairy tahu sangat bahawa Razali, Hishamuddin dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, semunya adalah dari Johor. Dan Presiden UMNO sekarang pula mempunyai kaitan keluarga dengan Hishamuddin (sepupu).

Khairy tidak mempunyai tempat bersandar yang ramai. Di Negeri Sembilan, hanya ada Dato’ Seri Shaziman Mansor (sepupu Khairy) dalam Majlis tertinggi untuk berteduh di dahan rendang. Di Kedah (anak jati ibu Khairy) ada Dato’ Seri Mahathir Khaled, bekas Meteri Besar, yang boleh membantunya. Mahathir Khaled dianggap orang kepercayaan Pak Lah.

Kemudian, Khairy masih juga menghadapi laluan sukar sepanjang tempoh menjadi Ketua Pemuda. Bekas Presiden UMNO, Tun Mahathir berada di laluannya. Dunia mungkin tahu sikap Mahathir terhadap Khairy. Dan kalau jadi Mahathir menyertai UMNO semula dan dilatik sebagai penasihat kepada Najib dan kabinetnya, pintu Khairy untuk majukan kerjaya politiknya dalam UMNO hampir tertutup rapat.

Mahathir terang-terang mahu semua orang Pak Lah yang menjadi calon dikalahkan. Kalau boleh yang menang Mahathir mahu mereka dipinggirkan. Tidak ada ruang dan peluang buat mereka dalam kabinet Najib. Malah nama Khairy disebut jelas supaya Najib tidak memasukkannya menjadi anggota kabinet jika berjaya menjadi ketua Pemuda. Walaupun parti pembangkang mempunyai persepsi bahawa hampir 70 % calon yang menang adalah orang Pak Lah, tetapi UMNO di bawah Najib dan Mahathir mempunyai kuasa penentu. Najib akan memilih yang tidak akan ditentang oleh Mahathir. Bukan tidak mungkin ini pula adalah satu syarat kemasukan semula Mahathir dalam UMNO. Jadi setelah sah menjadi Presiden pada 28 Mac 09 lalu, Najib mempunyai kuasa 100% memilih jemaah kabinetnya.

Dan dengan Mahathir menjadi penasihat kepada Najib dan kerajaan, kemungkinan orang Pak Lah mendapat tempat amat tipis. Bukan sahaja orang Pak Lah akan diketepikan, malah turut akan diketepikan anggota-anggota kabinet yang masih bercokol sejak era Mahathir lagi. Atas dasar ini pulalah kemungkinan Dato’ Shahrir Abd. Samad sudah dapat baca ke mana arah tuju Najib sehingga bertekad meletak jawatan daripada kabinet. Semua orang tahu Shahrir dilantik Pak Lah sesudah lama berada dalam “belantara politik UMNO” di zaman Mahathir. Shahrir salah satunya insan yang tidak disenangi Mahathir.

Khairy juga dianggap menjadi bagasi kepada UMNO. Lembaga Disiplin UMNO telah memainkan peranannya “menyingkirkan” orang yang dikatakan berkiblat kepada Pak Lah. Lihat sahaja Dato’ Seri Ali Rustam yang didapati bersalah melanggar etika UMNO. Lihat juga Khairy sendiri. Ada yang berkata keputusan yang tak sama oleh lembaga Disiplin yang diterima Ali dan Khairy untuk kesalahan yang sama adalah dirancang. Menurut pendapat umum (opinion poll), beberapa hari sebelum pertandingan Ali berada di depan berbanding Muhyiddin untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden, sedangkan Muhyiddin adalah regu Najib yang direstui Mahathir.

Maka bukan tidak mungkin Ali mesti dikorbankan. Khairy pula dibenarkan bertanding kerana pendapat umum masih menyebelahi calon popular Mukhriz, sedangkan Khairy berada jauh di belakangnya, malah di belakang Khir Toyo. Lagi pula Khairy dibenarkan bertanding kerana menghormati presiden UMNO (Pak Lah) dan Khairy masih lagi menantunya.

Orang politik, baik UMNO mahupun orang di luar UMNO melihat Khairy bermusuh dengan cita-cita besarnya, sikapnya dan tingkah lakunya dalam politik. Sedar atau tidak Khairy kena terima kenyataan ini. Sekarang Khairy berusia 33 tahun. Secara relatifnya usia sebegini tidaklah terlalu muda untuk mencari tempat dalam politik. Najib sendiri ketika menaiki tangga politiknya juga berada pada usia itu, malah pada usia 20-an telah mempunyai pengaruh besar dalam politik negeri dan pusat. Orang ramai, khusunya UMNO pasti tidak lupa bila Najib dilantik menjadi Menteri Besar Pahang.

Apapun jua, Khairy masih mempunyai masa untuk merubah 'persepsi jelek' yang dihadapinya senarang. Usaha menebalkan lagi persepsi ini akan dipertingkat oleh pihak yang enggan melihatnya naik dalam heirarki kepimpinan UMNO. Tidak kiralah pihak itu daripada parti UMNO, BN mahupun parti pembangkang. Media pula tidak menunjukkan rasa bersahabatnya kepada Khairy. Malah sebahagian besar media (cetak atau pun ekektronik) semacam telah bertekad meneruskan sikap prejudisnya kepada Khairy. Terakhir, kira-kira beberapa hari yang lalu Bernama TV yang menyiarkan secara langsung rancangan Helo Malaysia memberi sepenuh ruang kepada tiga anggta panel yang seratus peratus prejudis terhadap Khairy.

Tiga anggota panel yang dipilih Bernama TV itu ialah Tan Sri Sanusi Joned, bekas Setiausaha Agung UMNO di zaman Mahathir dan ketika UMNO diharamkan, kini tokoh UMNO yang masih setia kepada Mahathir; Datuk Runanie Ahmad, pernah menjadi Setiausaha Politik Tun Musa Hitam, bekas Ahli Parlimen, penentang Shahrir dalam pilihanraya kecil Johor Bahru satu ketika dan tidak begitu “beruntung” ketika Pak Lah menerajui kepimpinan UMNO; dan Hambali Latiff, bekas wartawan dan kini pengamal media. Malah Sanusi telah diberi peluang sekali lagi berbincang sehari sebelumnya.

Sepanjang perbincangan sejam itu tidak ada satu pandangan pun yang memberikan simpati kepada Khairy. Semuanya yang bernama Khairy tak betul belaka. Hanya cara Sanusi melontarkan idea tentang Khairy ini agak lebih berhemah (subtle) berbanding Ruhannie dan Hambali yang lantang dan berterus-terang.

Demikianlah, nasib dan kedudukan Khairy yang bermenantukan bekas presiden. Pada kedudukan orang nombor satu Pemuda Khairy berdepan dengan persepsi “panas” begini. Soalnya, dalam waktu terdekat ini mampukah Khairy menengkis tohmahan pengarang buku politikYahaya Ismail dalam buku terbarunya yang diedarkan sebelum perhimpunan tahun ini? Jika mampu dan kesnya menang , mampukah Khairy mengubah persepsi orang ramai terhadap dirinya?

Sebabnya Khairy kini berada seperti kata mat saleh dalam kedudukan “damage has been done”. Dan bagi pemerhati politik usaha Khairy ini bagaikan melaksanakan satu “tall order” yang amat menyukarkan. Tidak banyak pilihan yang ada pada Khairy. Barangkali Khairy perlu mencari iktibar daripada bekas Ketua Pemuda, Suhaimi Kamaruddin atau meneliti buku “The Paradox of Mahathirism” untuk jawapannya, iaitu mengubah persepsi orang UMNO dan orang ramai umumnya yang semakin membuku dan mengelabukan citra politiknya. Atau Khairy terpaksa berbuat sesuatu yang boleh menghidupkan semula singa UMNO Syed Jaafar dalam dirinya .

Apapun jua, tahniah kepada Khairy kerana berjaya membuat kejutan dalam pertandingan Pemuda 2008 – 2011!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

FAMILY BLOGS

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
With Tan Sri Dol Ramli, Ex-Director General (RTM) at his residence, Bukit Ampang, KL..

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
Sharing a light moment with Tun salleh Abbas at his residence in Kuala Lumpur.

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983
Dato' Dr. Firdaus Abdullah chairing the session, with Dr. Sulaiman Masri (extreme right) and Haji Jajuli Abd. Rahman (second from right).