WELCOME TO THE BORDERLESS WORLD OF POSSIBLITIES!

How about sharing your slants and perspectives - left, right, up above or down below!?

Monday 28 February 2011

LAGI TENTANG HINDRAF DAN INTERLOK KARYA BONG DOLLAH

Perdana Menteri Dato' Seri Mohd. Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. (Gambar 24 Februari 2011).


109 termasuk 8 pemimpin ditahan

Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS
pengarang@utusan.com.my

Anggota polis menahan S. Jayathas pada perhimpunan Hindraf di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 27 Feb. - Tindakan pantas polis bertindak menahan individu yang cuba berhimpun selain penutupan jalan raya berjaya mengagalkan perhimpunan dan perarakan tanpa permit anjuran pertubuhan haram Hindraf, di sekitar ibu negara hari ini.

Dalam perhimpunan haram itu, 109 termasuk lapan pemimpin kanan Hindraf ditahan mengikut Seksyen 45(1) Akta Pertubuhan 1966 kerana dipercayai menganjurkan perhimpunan haram itu. Bagaimanapun seramai 101 daripada mereka dibebaskan selepas diambil keterangan.

Difahamkan, antara pemimpin yang ditahan itu ialah P. Uthayakumar dan S. Jayathas. Turut ditahan, dua wartawan media alternatif dan lapan wanita yang berusia 18 hingga 66 tahun.

Penahanan itu dilakukan selepas pihak penganjur terus berdegil meneruskan rancangan mereka walaupun sejak dua hari berturut-turut media melaporkan keputusan polis tidak mengeluarkan sebarang permit.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah, polis melakukan tangkapan secara berperingkat di beberapa jalan di ibu negara sebagai langkah pencegahan berlakunya perhimpunan dan perarakan 300 penyokong Hindraf itu.

Katanya, kumpulan itu dilihat mula berkumpul sejak pukul 7 pagi di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) namun gagal sebelum berarak ke Kuil Kootumalai Pillayar di Puduraya kira-kira pukul 10.30 pagi dan kemudian ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur sejam kemudian.

"Kumpulan haram yang cuba menimbulkan kekecohan itu di kawasan kuil terbabit berjaya dikawal dengan kehadiran anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang bersedia di pintu masuk IPK Kuala Lumpur.

"Dua wartawan ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam manakala yang lain ditahan mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis," katanya pada sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur di sini hari ini.

Zulkifli memberitahu, pihak polis turut mendapat kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kaum India yang membantah dan menasihati masyarakat India agar tidak terlibat dalam perhimpunan haram itu sehingga jumlah yang terlibat tidak ramai.

"Saya tak boleh kata bila polis akan bebaskan mereka. Tetapi saya ingin tegaskan, polis boleh tahan mereka sekurang-kurangnya 24 jam.

"Tindakan menahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan bergantung kepada hasil siasatan dan keterangan yang diambil.

"Walaupun tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku bagaimanapun saya amat kecewa dengan tindakan penyokong Hindraf yang enggan berjumpa dan berbincang dengan pihak polis sejak dua hari lalu bagaimanapun bertindak meneruskan perhimpunan haram.

"Kawalan keselamatan dan tindakan awal selain anggota yang mencukupi berjaya mematahkan rancangan kumpulan haram itu kira-kira pukul 12.30 tengah hari," katanya.

Sementara itu, Penasihat Parti Hak Asasi Manusia, M. Ganessan berkata, perhimpunan itu bertujuan mendesak polis supaya membebaskan pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mengeluarkan novel Interlok daripada kurikulum sekolah serta menuntut hak sama rata untuk kaum India. Petikan Utusan Malysia, 28 Feb 2011.

Komen:
Alernatif bagi menyelsaikan masalah Hindraf dan karya Bong Abdullah Hussein Interlok ialah Kementerian Pelajaran serius menimbangkan senmula penggunaannya sebagai buku wajib di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia. Buat apa peningkan kepala kalau masalah karya sastera ini sudah sampai ke peringkat menimbulkan ketegangan di kalangan kaum di negara ini.

Kita tidak usah fikirkan siapa yang betul, siapa yang salah. Fkirkan suasana harmoni antara kaum. Walaupun Hindraf diharamkan tetapi punca masalahnya berakar. Lebih baik pihak berkuasa menyelesaikan masalah akar itu. Kalau salah satu masalah akar itu ada kaitannya dengan novel Interlok karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussein maka masalah akar itu perlu diselesaikan. Elakkanlah daripadada isu menjadi semakin bertambah celaru. Elakkanlah isu menjadi duri dalam dging dalam perpaduan suku kaum di negara ini. Kalau perlu novel Interlok diganti sahaja sebagai cara menyelsaikan masalah. Adalah dirasakan banyak lagi novel Bong DOllah yang bagus dan baik. Lantiklah anggota penel yang baru bagi memilih pengganti Interlok. Menteri Pendidikan tidak perlu malu alah.

Tuesday 15 February 2011

KUMPULAN PAGE MAHU PPSMI DIKEKALKAN DI SEKOLAH-SEKOLAH TERTENTU

13 Februari 2011
Dato’/Tuan/Puan/Sdr.
Kerabat Badan Bukan Kerajaan
(yang telah bersama-sama mengadakan sidang media membantah PPSMI pada 12 September 2008 lalu di Yayasan Penataran Ilmu )
Assalamualaikum,
SURAT TERBUKA KEPADA Y.A.B. PERDANA MENTERI, Y.A.B. MENTERI PENDIDIKAN, Y.B.MENTERI PENGAJIAN TINGGI “BANTAHAN PPSMI DAN PETISYEN KUMPULAN PAGE”.
Sebagaimana yang termaklum daripada laporan dan ulasan akhbar (termasuk oleh Prof. Teo Kok Seong, Berita Harian Rabu, 2 Februari 2011 halaman 16) Kumpulan Page pimpinan Datin Azimah (“geng” Damansara tu..) dah beri petisyen kepada DS Najib meminta diwujudkan English Medium" khas di sekolah tertentu bagi PPSMI di sekolah tertentu..di bandar....) Rasanya kita perlu membantah segera dengan memo/surat terbuka buat PM, TPM selaku Menteri Pendidikan dan Dato’ Khalid Nordin (Menteri Pengajian Tinggi).

Maaf saya sedikit terlewat kerana kesibukan dengan tugas rasmi. Hujah yang PLM draf ini bolehlah Persatuan/Kesatuan Dato’/Tuan/Sdr. gunakan sepenuhnya atau disesuaikan asalkan mesejnya tetap sama iaitu kita membantah petisyen Kumpulan Page dan yang seangkatan dengannya. Nantinya bolehlah difikirkan untuk dihantar bersama-sama atau secara berasingan atau lain-lain. Jika tiada maklum balas segera PLM menganggap semua 48 Badan yang bersama-sama tempoh hari bersetuju dengan surat terbuka ini.

DRAF

1. PLM dan semua kerabat Badan-badan Bukan Kerajaan (BBK/NGO) membantah keras sebarang cadangan untuk mengembalikan PPSMI dalam apa juga bentuk sama ada sepenuhnya atau sebahagian sahaja di mana-mana institusi pendidikan kerajaan dan bantuan kerajaan di negara ini. Kita juga berpegang kepada janji Menteri Pendidikan bagi memansuhkan sepenuhnya PPSMI dan sehinggalah di peringkat pengajian tinggi sama seperti keadaan sebelum tahun 2003 dahulu.

2. Segala hujah telah diberikan dalam pelbagai bentuk sama ada melalui seminar, persidangan, kongres, meja bulat, dialog, kertas kerja, risalah, memorandum, buku dan lain-lain sejak ura-uranya lagi seawal tahun 1993/1996 lagi sehinggalah pada tahun 2009 yang berakhir dengan perarakan menghantar memorandum membantah PPSMI kepada Istana Negara pada 7 Mac 2009. Justeru hujah mantan Menteri Pendidikan sebelum ini bahawa hanya dibantah selepas 6 tahun PPSMI dilaksanakan adalah AMAT tidak benar..ataukah bantahan secara diplomasi, akademik, dan intelektual TIDAK dianggap membantah? Sidang media yang diadakan pada 2009 dahulu yang disertai oleh 48 Badan Bukan Kerajaan Melayu yang mewakili lebih daripada 30,000 orang ahli dan juga peserta yang turut mengiringi memorandum yang dihantar ke Istana Negara pada 7 Mac 2008 yang berjumlah kira-kira 100,000 orang sudah lebih daripada mencukupi untuk menyatakan tidak bersetujunya sebahagian besar rakyat terhadap PPSMI berbanding penyokong kumpulan Page yang tidak seberapa yang dapat dikatakan sebagai tidak/kurang patriotik terhadap bahasa dan negara ini.

Patriotik antaranya bermakna cinta akan negara ini dan ini termasuklah mencintai bahasa Melayu/ (bahasa rasmi, bahasa kebangsaan) yang dibuktikan dengan amalan dan bukan retorik atau cakap-cakap kosong sahaja. Amalanlah menjadi bukti sama ada kita benar-benar mencintai bahasa negara ini atau tidak (ucapan Dr. Mahathir Mohammad semasa perasmian Gerakan Cintailah Bahasa Kita, Kuala Lumpur, 11 Disember 1987). Buktinya mudah sahaja dengan soalan ini: Siapakah yang lebih patriotik tentang hal ini antara rakyat yang mahukan bahasa negara sendiri yang telah terbukti mampu dan berjaya memandaikan rakyatnya atau rakyat yang tidak mahu bahasa negara sendiri memandaikan rakyatnya walaupun telah terbukti mampu dan berjaya memainkan peranan itu selama tidak kurang daripada 20 atau 30 tahun (1970/1983 hingga 2002) ?.

Oleh yang demikian ulangan semua hujah tersebut tidak akan dibuat di sini. Memadailah YAB Dato Seri/YAB Tan Sri/YB Dato’ merujuk semua bahan yang dinyatakan (malah banyak juga yang telahpun diberikan terdahulu termasuk kepada para menteri dan pimpinan UMNO. Antaranya ialah:

1. Manifesto Bahasa - Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa, diedit oleh Asraf, 1996, Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), 385 muka surat.
2. Siri Bicara Bahasa Bil.1-20, 2001 hingga 2004, PLM dan DBP, 437 muka surat.
3. Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu 1-IV, 1952-2002, Abdullah Hassan, 2007,874 muka surat.
4. Kemerdekaan dan Perhambaan, Zainal Kling, GAPENA, 2008, 285 muka surat.
5. Keranda 152 - Bahasa Kita Air Mata dan Maruah Kita, PLM, 2002, 108 muka surat.
6. Suara Pejuang Bahasa, PLM, 2005, 282 muka surat.
7. Bahasa Melayu Apa Sudah Jadi, Kamal Shukri, 2007, 231 muka surat.
8. Mengapa Kami Bantah Penggunaan Bahasa Inggeris bagi Mengajarkan Sains dan Matematik, Persatuan Penterjemah Malaysia, 2007, 155 muka surat.

Jumlah muka surat = 2,757 muka surat. Jumlah 2,757 muka surat atau halaman tersebut sudah lebih daripada mencukupi untuk memahamkan tentang kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama pendidikan di negara ini. Sekali lagi diulang bahawa PLM/kami tidak pernah membantah sebarang pengajaran bahasa Inggeris khususnya kepada sesiapa sahaja di negara ini tetapi kami membantah keras usaha memandaikan rakyat negara ini dengan bahasa Inggeris sedangkan bahasa Melayu dapat dan telahpun berperanan dengan jayanya dan terbukti bagi maksud tersebut dalam tempoh yang agak panjang ( selama 32 tahun, dari tahun 1970 hingga tahun 2002 ).

3. Sesungguhnya bahasa Inggeris yang diagung-agungkan oleh Kumpulan Page dan yang seangkatan dengannya itupun asalnya bahasa yang "dihina" pada zamannya. Jika tidak diperjuangkan secara bersungguh-sungguh pastinya bahasa Inggeris itu tidak akan maju seperti sekarang kerana bahasa Latin merupakan bahasa "bangsawan" dan bahasa "ilmu/global" pada ketika itu. Sehubungan dengan itu sebagai warganegara yang setia kepada negara ini, sepatutnya kita bersama-sama memperjuangkan bahasa negara sendiri sebagai bahasa ilmu, bersama-sama membantu usaha-usaha pembangunan dan pengisian bahasa Melayu tersebut sebagaimana bangsa Inggeris memperjuang bahasa Inggeris dan bukannya bahasa Latin.

Mengapa pula kita perlu “bermati-matian” memperjuang bahasa negara lain untuk memandaikan rakyat kita yang mudah memahami bahasa Melayu? Tidakkah kita dan kumpulan Page sedar bahawa pada hakikatnya semua tamadun/kemajuan besar di dunia ini dibangunkan oleh bahasa sendiri dan bukan oleh bahasa orang lain? (China, Arab, Sepanyol, Perancis, Jerman, Jepun, Korea dan lain-lain).

4. Justeru bahasa Melayu sebagai jati diri negara ini yang telah berakar sejak abad ketujuh Masihi lagi dan terancang dengan baik dengan wujudnya Dewan Bahasa dan Pustaka, perlu terus diangkat sebagai bahasa ilmu bagi semua bidang pengajian tanpa kecuali di semua institusi pendidikan sebagaimana yang telahpun terbukti semasa pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan sejak 1970 di peringkat sekolah dan lengkap di universiti pada tahun 1983 sehinggalah ke tahun 2002. Dalam masa kira-kira 20 tahun tiada cacat-celanya (walaupun diakui bahawa ruang penambahbaikan tetap ada) bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama dan bahasa ilmu sekalipun di peringkat universiti.

5. Dengan anggaran purata kira-kira 3000 orang pelajar lepasan SPM setahun dapat dihantar keluar negara, tidak kurang daripada 60,000 orang pelajar tetap berjaya menuntut di luar negara sekalipun mengikuti pengajian dalam sistem kebangsaan di negara ini. Jumlah tersebut tidak termasuk mereka yang menuntut di peringkat sarjana dan kedoktoran dan lulusan universiti dalam negeri yang kesemuanya berjumlah tidak kurang lima juta orang. Malah penubuhan UKM pada mulanya dahulu pun turut ditentang termasuk oleh orang Melayu dan pemimpin Melayu sendiri tetapi akhirnya terbukti kejayaannya sehingga kini dan pernah menduduki senarai 187 teratas universiti terbaik mengatasi semua universiti-universiti lain yang lebih awal di negara ini.

Jika segelintir pemimpin yang sedar pada ketika itu dan pejuang bahasa tidak bersungguh-sungguh mempertahankan bahasa Melayu dan UKM, kemungkinan UKM tidak wujud lagi dan bahasa Melayu menjadi bahasa kelas kedua di negaranya sendiri. Bahasa Melayu bukan penghalang kualiti dan telah terbukti juga Fakulti Pergigian Universiti Malaya yang menggunakan bahasa Melayu pernah diiktiraf oleh badan berwibawa di United Kingdom.



6. Usaha mewujudkan satu kelas khas untuk PPSMI bagi melayani segelintir pihak yang hanya mementingkan diri berbanding aspirasi negara dan kemajuan serta perkembangan bahasa negara sendiri juga sebenarnya merupakan usaha untuk mewujudkan "dualisme" dalam bahasa penghantar pendidikan yang seterusnya akan mewujudkan jurang dan suasana yang tidak sihat bagi perkembangan pendidikan di negara ini, perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan kecenderungan adalah tinggi untuk berlakunya pemisahan antara dua darjat atau kasta dalam pendidikan dan dalam jangka panjang jurang status sosioekonomi akan terus melebar. Pengwujudan semula “english medium” akan merenggangkan dan melebarkan jurang yang telah sedia rapat dalam sistem pendidikan kebangsaan yang sedia ada.

Nilai kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama pendidikan akan hanya wujud sebagai “nilai teori” saja sedangkan “nilai praktisnya” tidak sama. Kita mungkin merdeka secara fizikal tetapi rupanya masih ada minda dan jiwa yang terus terbelenggu dengan nostalgia nilai rasa kolonial yang tinggi atau terperangkap dengan "empirialisme linguistik".

7. Seterusnya minda yang sudah terjajah bahawa bahasa Inggeris adalah segala-galanya, adalah yang terbaik akan terus berakar-umbi sampai bila-bila dan dibimbangi berkecenderungan menjadi parasit dan hambatan bagi segala usaha pembangunan dan pengisian bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di negara ini. Sekali lagi PLM memohon pihak yang masih menganggap bahasa Inggeris adalah segala-galanya, bahasa Inggerislah bahasa kemajuan dunia untuk merenung sekejap nasib rakyat negara-negara di Afrika dan kepulauan Pasifik bekas jajahan Inggeris khususnya dan juga Perancis yang telah beratus tahun mengamalkan PPSMI dan PPSMP(Perancis), sejauh manakah majunya mereka dan lihatlah juga jiran dekat kita, Filipina sebagai perbandingan.

8. Insaflah bahawa sebahagian besar kejayaan kita selama ini, tidak dapat dinafikan adalah antara sumbangan terbesar Dasar Pendidikan Kebangsaan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama yang berjaya "memandaikan" rakyatnya dan difahami mereka di seluruh negara sama ada di pedalaman mahupun di bandar raya. Sebenarnya bahasa Melayulah yang telah merentas semua sempadan bangsa, etnik, geografi dan status sosioekonomi.


Sekian untuk makluman YAB Tan Sri. Semoga kita bersama-sama menghayati hakikat sebenar kewujudan bahasa Melayu dan kemampuannya yang perlu terus diperkasa dan dimartabatkan dalam erti kata yang sebenarnya sebagai bahasa penghantar utama ilmu di negara ini di semua institusi pendidikan termasuk di universiti. Kembalikanlah peranan bahasa Melayu dari sekolah hingga Tingkatan 6, Matrikulasi dan universiti seperti pada tahun-tahun 1970/1983 - 2002. Pesan orang tua-tua, sesat di hujung jalan, kembali ke pangkal jalan dan tidak hilang bisa ular yang menyusur akar.


Kami yang benar lagi ikhlas,


PRESIDEN
PERSATUAN LINGUISTIK MALAYSIA

Komen:
Sudah dijangkakan hal begini akan berlaku menjelang pemansuhan PPSMI. Golongan yang mahukan PPSMI diteruskan adalah golongan yang menganggap dirinya golongan terpelajar super elit yang masih mempunyai mentaliti penjajah. Apalah yang hendak dihairankan. Yang penting Kementerian Pelajaran tidak akan melayan sebarang kehendak golongan ini, yang hanya mahu budaya ala mat saleh mereka dikekal dan diperkasakan. Maklum bagi mereka bahasa Inggeris adalah segala-galanya, walaupun dalam matematik dan sains misalnya mereka banyak bermain dengan simbol dan angka. Bagaikan mereka ini tidak mengenal simbol dan angka itu dalam bahasa Melayu.

Apakah anda masih ingat cerita Nakhoda Tanggang? Terlalu banyak manusia tanggang dalam masyarakat kita hari ini, terutama dalam kalangan orang Melayu sendiri.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

FAMILY BLOGS

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
With Tan Sri Dol Ramli, Ex-Director General (RTM) at his residence, Bukit Ampang, KL..

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
Sharing a light moment with Tun salleh Abbas at his residence in Kuala Lumpur.

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983
Dato' Dr. Firdaus Abdullah chairing the session, with Dr. Sulaiman Masri (extreme right) and Haji Jajuli Abd. Rahman (second from right).