WELCOME TO THE BORDERLESS WORLD OF POSSIBLITIES!

How about sharing your slants and perspectives - left, right, up above or down below!?
There was an error in this gadget

Monday, 30 March 2009

KHAIRY, SYED JAAFAR, PERSEPSI DAN SINGA UMNO


Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (kanan) bersama Presiden UMNO yang baru, Dato' Seri Mohd. Najib Tun Razak di PWTC, 27 Mac 09. Foto Utusan Malaysia.

KHAIRY , SYED JAAFAR ALBAR DAN SINGA UMNO

Pengulas politik meramalkan Ketua Pemuda UMNO yang baru, YB Khairy Jamaluddin tidak mempunyai banyak pilihan untuk menghadapi persepsi negatif baik dalam parti mahupun di luar parti. Khairy hanya punya satu opsyen selesa, transformasi diri seebagai seorang ketua Pemuda seperti Datuk Suhaimi Kamaruddin. Ertinya, Khairy harus kekal berada di luar kabinet dan menjadikan Pemuda golongan pendesak (pressure group) kepada UMNO, BN dan kerajaan. Khairy pun pernah menyatakan hasratnya untuk tidak menyertai kabinet, sebelum dan sesudah beliau dipilih. Tetapi jika dipelawa Presiden dan Perdana Menteri itu mungkin cerita lain.

Beliau perlu menjadi ketua yang berfungsi bertindak sebagai suatu kekuatan “check-and-balance” kepada UMNO induk, malah kepada kerajaan. Khairy dan kelompok Pemuda harus pastikan UMNO dan kerajaan BN mematuhi aspirasi dan perjuangan rakyat. Khairy dan kelompok Pemudanya harus bertindak seperti Pemuda di bawah pimpinan Syed Jaafar Albar ketika menerajui Pemuda dalam tahun-tahun 1970-an dahulu, ketika Tunku Abdul Rahman mengetuainya.

Syed Jaafar adalah kumpulan pendesak kepada UMNO induk waktu itu dengan bertindak mempastikan UMNO tidak tergelincir daripada landasan perjuangannya. Beliau bertindak tanpa pamrih (without fear or favour) mengetuai Pemuda sehingga beliau digelar ‘Singa UMNO”.
Menurut ahli veteran UMNO dari Melaka yang seangkatannya, Syed Jaafarlah yang protes habis-habisan keputusan Tunku mengeluarkan Singapura dari Malaysia.

Memperbetul persepsi songsang orang ramai terhadap Khairy kini menjadi cabaran paling getir beliau sekarang, walaupun kadang-kadang persepsi itu mungkin dicipta oleh pelbagai pihak melalui agenda tersembunyi untuk menjatuhkan nama baiknya. Khairy didapati bersalah melanggar etika parti dalam pemilihan oleh Lembaga Disiplin UMNO (ada yang kata ia adalah satu agenda tersembunyi tangan-tangan yang mahu Pak Lah dan orang-orangnya diketepikan).

Dalam keadaan demikian apakah ada ruang dan peluang untuk Khairy memutar semula persepsi itu kepada suatu yang lebih memihak kepadanya? Mungkin ruang itu wujud dalam tindakan Khairy untuk tidak mengikuti tradisi UMNO selepas Suhaimi menjadi Ketua Pemuda dahulu. Suhaimi tidak masuk kabinet tetapi berada di luar untuk menjadi kumpulan pendesak kepada UMNO. Dengan berada di luar parti Khairy dan Pemuda akan lebih kreatif mengawal, mengkritik dan mendesak supaya UMNO induk tidak tergelincir daripada tradisi landasan perjuangan. Cuma amat besar kemungkinan Khairy sendiri akan sentiasai diawasi pula oleh orang nombor duanya Datuk Razali Ibrahim kerana diyakini Razali adalah orang kepercayaan bekas Ketua Pemuda, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein, yang kini naik pangkat sebagai Naib Presiden.

Khairy sangat tahu regu serasinya bukan Razali kerana sebelum pertandingan Razali diregukan dengan Datuk Mukhriz Tun Mahathir seperti yang diharapkan Mahathir dan Najib sendiri. Andainya persepsi terhadap Khairy berpanjanan, bukan tidak mungkin pada pertandingan 2011 – 2113 nanti, Khairy akan dicabar Razali atau Mukhriz sendiri dalam pertemuan buku dengan ruas sekali lagi. Jika demikian halnya Khairy tidak mempunyai tempoh yang lama untuk merubah persepsi yang dihadapinya sekarang. Khairy tahu sangat bahawa Razali, Hishamuddin dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, semunya adalah dari Johor. Dan Presiden UMNO sekarang pula mempunyai kaitan keluarga dengan Hishamuddin (sepupu).

Khairy tidak mempunyai tempat bersandar yang ramai. Di Negeri Sembilan, hanya ada Dato’ Seri Shaziman Mansor (sepupu Khairy) dalam Majlis tertinggi untuk berteduh di dahan rendang. Di Kedah (anak jati ibu Khairy) ada Dato’ Seri Mahathir Khaled, bekas Meteri Besar, yang boleh membantunya. Mahathir Khaled dianggap orang kepercayaan Pak Lah.

Kemudian, Khairy masih juga menghadapi laluan sukar sepanjang tempoh menjadi Ketua Pemuda. Bekas Presiden UMNO, Tun Mahathir berada di laluannya. Dunia mungkin tahu sikap Mahathir terhadap Khairy. Dan kalau jadi Mahathir menyertai UMNO semula dan dilatik sebagai penasihat kepada Najib dan kabinetnya, pintu Khairy untuk majukan kerjaya politiknya dalam UMNO hampir tertutup rapat.

Mahathir terang-terang mahu semua orang Pak Lah yang menjadi calon dikalahkan. Kalau boleh yang menang Mahathir mahu mereka dipinggirkan. Tidak ada ruang dan peluang buat mereka dalam kabinet Najib. Malah nama Khairy disebut jelas supaya Najib tidak memasukkannya menjadi anggota kabinet jika berjaya menjadi ketua Pemuda. Walaupun parti pembangkang mempunyai persepsi bahawa hampir 70 % calon yang menang adalah orang Pak Lah, tetapi UMNO di bawah Najib dan Mahathir mempunyai kuasa penentu. Najib akan memilih yang tidak akan ditentang oleh Mahathir. Bukan tidak mungkin ini pula adalah satu syarat kemasukan semula Mahathir dalam UMNO. Jadi setelah sah menjadi Presiden pada 28 Mac 09 lalu, Najib mempunyai kuasa 100% memilih jemaah kabinetnya.

Dan dengan Mahathir menjadi penasihat kepada Najib dan kerajaan, kemungkinan orang Pak Lah mendapat tempat amat tipis. Bukan sahaja orang Pak Lah akan diketepikan, malah turut akan diketepikan anggota-anggota kabinet yang masih bercokol sejak era Mahathir lagi. Atas dasar ini pulalah kemungkinan Dato’ Shahrir Abd. Samad sudah dapat baca ke mana arah tuju Najib sehingga bertekad meletak jawatan daripada kabinet. Semua orang tahu Shahrir dilantik Pak Lah sesudah lama berada dalam “belantara politik UMNO” di zaman Mahathir. Shahrir salah satunya insan yang tidak disenangi Mahathir.

Khairy juga dianggap menjadi bagasi kepada UMNO. Lembaga Disiplin UMNO telah memainkan peranannya “menyingkirkan” orang yang dikatakan berkiblat kepada Pak Lah. Lihat sahaja Dato’ Seri Ali Rustam yang didapati bersalah melanggar etika UMNO. Lihat juga Khairy sendiri. Ada yang berkata keputusan yang tak sama oleh lembaga Disiplin yang diterima Ali dan Khairy untuk kesalahan yang sama adalah dirancang. Menurut pendapat umum (opinion poll), beberapa hari sebelum pertandingan Ali berada di depan berbanding Muhyiddin untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden, sedangkan Muhyiddin adalah regu Najib yang direstui Mahathir.

Maka bukan tidak mungkin Ali mesti dikorbankan. Khairy pula dibenarkan bertanding kerana pendapat umum masih menyebelahi calon popular Mukhriz, sedangkan Khairy berada jauh di belakangnya, malah di belakang Khir Toyo. Lagi pula Khairy dibenarkan bertanding kerana menghormati presiden UMNO (Pak Lah) dan Khairy masih lagi menantunya.

Orang politik, baik UMNO mahupun orang di luar UMNO melihat Khairy bermusuh dengan cita-cita besarnya, sikapnya dan tingkah lakunya dalam politik. Sedar atau tidak Khairy kena terima kenyataan ini. Sekarang Khairy berusia 33 tahun. Secara relatifnya usia sebegini tidaklah terlalu muda untuk mencari tempat dalam politik. Najib sendiri ketika menaiki tangga politiknya juga berada pada usia itu, malah pada usia 20-an telah mempunyai pengaruh besar dalam politik negeri dan pusat. Orang ramai, khusunya UMNO pasti tidak lupa bila Najib dilantik menjadi Menteri Besar Pahang.

Apapun jua, Khairy masih mempunyai masa untuk merubah 'persepsi jelek' yang dihadapinya senarang. Usaha menebalkan lagi persepsi ini akan dipertingkat oleh pihak yang enggan melihatnya naik dalam heirarki kepimpinan UMNO. Tidak kiralah pihak itu daripada parti UMNO, BN mahupun parti pembangkang. Media pula tidak menunjukkan rasa bersahabatnya kepada Khairy. Malah sebahagian besar media (cetak atau pun ekektronik) semacam telah bertekad meneruskan sikap prejudisnya kepada Khairy. Terakhir, kira-kira beberapa hari yang lalu Bernama TV yang menyiarkan secara langsung rancangan Helo Malaysia memberi sepenuh ruang kepada tiga anggta panel yang seratus peratus prejudis terhadap Khairy.

Tiga anggota panel yang dipilih Bernama TV itu ialah Tan Sri Sanusi Joned, bekas Setiausaha Agung UMNO di zaman Mahathir dan ketika UMNO diharamkan, kini tokoh UMNO yang masih setia kepada Mahathir; Datuk Runanie Ahmad, pernah menjadi Setiausaha Politik Tun Musa Hitam, bekas Ahli Parlimen, penentang Shahrir dalam pilihanraya kecil Johor Bahru satu ketika dan tidak begitu “beruntung” ketika Pak Lah menerajui kepimpinan UMNO; dan Hambali Latiff, bekas wartawan dan kini pengamal media. Malah Sanusi telah diberi peluang sekali lagi berbincang sehari sebelumnya.

Sepanjang perbincangan sejam itu tidak ada satu pandangan pun yang memberikan simpati kepada Khairy. Semuanya yang bernama Khairy tak betul belaka. Hanya cara Sanusi melontarkan idea tentang Khairy ini agak lebih berhemah (subtle) berbanding Ruhannie dan Hambali yang lantang dan berterus-terang.

Demikianlah, nasib dan kedudukan Khairy yang bermenantukan bekas presiden. Pada kedudukan orang nombor satu Pemuda Khairy berdepan dengan persepsi “panas” begini. Soalnya, dalam waktu terdekat ini mampukah Khairy menengkis tohmahan pengarang buku politikYahaya Ismail dalam buku terbarunya yang diedarkan sebelum perhimpunan tahun ini? Jika mampu dan kesnya menang , mampukah Khairy mengubah persepsi orang ramai terhadap dirinya?

Sebabnya Khairy kini berada seperti kata mat saleh dalam kedudukan “damage has been done”. Dan bagi pemerhati politik usaha Khairy ini bagaikan melaksanakan satu “tall order” yang amat menyukarkan. Tidak banyak pilihan yang ada pada Khairy. Barangkali Khairy perlu mencari iktibar daripada bekas Ketua Pemuda, Suhaimi Kamaruddin atau meneliti buku “The Paradox of Mahathirism” untuk jawapannya, iaitu mengubah persepsi orang UMNO dan orang ramai umumnya yang semakin membuku dan mengelabukan citra politiknya. Atau Khairy terpaksa berbuat sesuatu yang boleh menghidupkan semula singa UMNO Syed Jaafar dalam dirinya .

Apapun jua, tahniah kepada Khairy kerana berjaya membuat kejutan dalam pertandingan Pemuda 2008 – 2011!

Sunday, 29 March 2009

KHIR, KHAIRY DAN MUKHRIZ TUN MAHATHIR


Pertemuan tiga presiden UMNO: Pak Lah (kanan), Tun Mahathir dan Dato' Seri Najib Tun Razak. (pix : The Star Online)
Ketua Pemuda UMNO yang baru, Khairy Jamaluddin

Khir, khairy, Mukhriz Tun Mahathir


Akhbar Berita Harian pada 28 Mac 09 melaporkan Datuk Seri Seri Dr Mohamad Khir Toyo mendakwa punca beliau tewas dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda Umno adalah disebabkan isu yang dibangkitkan pembangkang terhadapnya yang memburukkan namanya. Menurutnya, antara isu yang dibangkitkan pembangkang adalah isu Badan Kebajikan dan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat Selangor (Balkis), yang satu ketika diterajui isterinya, Datin Seri Zaharah Kechik. Kata Khir,”Isu sedemikian mungkin mempengaruhi perwakilan atas pagar tetapi saya fikir itu perkara biasa dan tidak penting.”

Dalam pertandingan itu Khairy Jamaluddin menang setelah mengalahkan Khir dan Datuk Mukhriz Mahathir dengan Mukhriz berada di tempat ketiga dari segi jumlah undi. Namun yang menarik ialah kekalahan Mukhriz, calon pilihan awalnya mendapat perhatian perwakilan yang datang berduyun ke PWTC. Sepatutnya para perwakilan dan yang berduyun yang datang memberikan pehatian kepada kekalahan Khir yang dan bukannya Mukhriz. Ulasan tentang Kekalahan Khir yang kalah di belakang Khairy jarang didengar. Perwakilan mengejek Khairy kerana marah Mukhriz tidak menang.

Pelik juga. Bagaikan ada satu rancangan diatur jika Mukhriz kalah malam pertandingan itu. Untung juga Mukhriz, calon yang kalah berjiwa besar malam itu apabila menemui Khairy dan mengucapkan tahniah kepada Khairy. Khir yang tidak nampak bayang malam itu tidak dikisahkan orang. Orang UMNO sepatutnya sudah masak dengan trend dan pola pemiihan dalam UMNO dan sikap ahli-ahlinya. Sejak dahulu sememangnya begitu. Rumah siap pahat berbunyi.

Kemudian, calon yang mempunya jumlah pencalonan terbanyak belum tentu berjaya dalam pertandingan. Pernah satu ketika dalam pencalonan untuk merebut jawatan Majlis Tertinggi UMNO, ada calon yang kurang pencalonan berjaya merebut jawatan berbanding calon yang jumlah pencalonannya berlipat ganda lebih banyak. Sampai ada calon yang mengungkapkan “Bagi salah, tak bagi kalah!” Dalam maknanya itu. Dan Begitu jugalah yang terjadi dengan kes pencalonan jawatan ketua pemuda ini.

Dalam kes untuk merebut jawatan Ketua Pemuda ini, Khairy yang pencalonannya hanya tinggal nyawa-nyawa ikan itu akhirya muncul pemenang. Maka timbullah tuduhan yang bukan-bukan kerana sebelum pertandingan Khairy didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin UMNO kerana melanggar etika parti. Oleh kerana Khairy dibenakan bertanding dan menang pula maka kemenangannya dianggap kemenangan tercemar. Kasihan Ketua Pemuda yang baru ini.

Keputusan Lembaga Disiplin dan kemenangan Khairy mewujudkan persepsi yang begitu dahsyat dalam kalangan perwakilan terhadap Khairy. Majoriti perwakilan termasuk seorang tokoh luar yang masih berminat dengan UMNO , kecuali penyokong Khairy, mentafsirkan Khairy “bermain kotor.” Mereka nampaknya tidak menghayati makna daripada keputusan Lembaga Disiplin terahadap Khairy. Dan inilah sebabnya mungkin Khairy diejek setiap kali namanya disebut baik di ruang lobi mahupun di dalam dewan.
Cerita kemenangan Khairy ini tidak habis dalam dan luar dewan perhimpunan. Dalam Rancangan Helo Malaysia terbitan BERNAMA TV 28 Mac 09 semalam ejekan terhadap masih bergema apaila angota panel tiga orang berbincang tentang Pemilihan UMNO tahun ini.
Tiga panel yang berbicang atas tajuk “Transformasi VS Implementasi” itu ialah Tan Sri Sanusi Joned (bekas ahli Parlimen), Datuk Ruhannie Ahmad (bekas Ahli Parlimen) dan Hambali Latiff (pengamal media).

Sanusi, misalnya, dalam hujahnya berkata keputusan pemilihan MT UMNO cacat sedikit kerana keputusan pemilihan Ketua Pemuda. Wlaupun Sanusi berpuas hati dengan keputusan di peringkat Taimbalan Presiden dan Naib Presiden. Sanusi tidak banyak memberi komen tentang keputusan pemilihan MT. walaupun keputusan menonjolkan 50% muka baru. Ada yang menganggap masih terdapat banyak lagi “orang Pak Lah (Perdana Menteri dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi). Ini dakwaan akhbar pembangkang (Harakah Online). Akhbar ini menyebut kira-kira 17 orang daripada 25 yang terpilih MT adalah orang-orang yang dikaitkan dengan Pak Lah. Akhbar The Star, 27 Mac 09 menyebut melalui tulisan kolumnis Joceline Tan, “Not the dream team but it’ll do.”

Bagi penganalisis politik pandangan yang dibawa Sanusi, mahupun Ruhannie ini, tidaklah memeranjatkan kerana, mereka bukan sahaja mempunyai pengalaman luas dalam politik UMNO tetapi juga persepsi dan sikap dan tingkah laku politik sebagai ahli UMNO banyak difahami orang. Sanusi, misalnya adalah kawan polittik rapat Tun Mahathir dan keluar UMNO besama-sama Mahathir tahun lalu. Ruhannie pula pernah bertugas dengan Tun Musa Hitam. Entah sebab apa Sanusi dan Ruhannie masih mempunyai kaitan dengan bekas tokoh UMNO yang isifatkan seorang negarawan oleh Najib.

Soalnya sekarang ialah sepanjang empat hari berkampung di PWTC wujud persepsi bahawa agenda perhimpunan agung UMNO kali ini seperti telah dirancang dan dipengaruhi oleh satu kekuatan luar yang bersekongkol dengan orang dalaman dan yang mempunyai “musuh” yang sama. Sikap dan tingkah laku yang ditunjukkan oleh khalayak UMNO di dalam dan di luar dewan Merdeka PWTC banyak dipengaruhi oleh agenda ini.

Seorang pemerhati di lobi PWTC berkata, “Ini bukan lagi persepsi tetapi realiti keadaan. Buktinya awak sendiri boleh lihat sambutan hangat yang ditunjukkan perwakilan dalam Dewan Merdeka apabila kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada hari terakhir siding Timbalan Pesiden UMNO yang baru mengumumkan kedatangan seorang tokoh besar, yang telah keluar UMNO masuk ke dam Dewan. Lebih hebat lagi gerak tingkah tokoh ini disorot “habis” oleh TV ketika bersalaman dengan anggta MT, lama dan baru di atas pentas. Yang saya tak nampak muka ketua pemuda yang baru. Barangkali kebetulan kamera TV sempat merakamkan wajahnya pada momen-momen menarik itu.”

Wednesday, 25 March 2009

NAJIB, HISHAMUDDIN, UNDANG-UNDANG DAN PPSMI


Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein(kiri) dan Khairy Jamaluddin ketika mengundi di Sidang Pemuda UMNO di PWTC 25 Mac 09. Foto The Star Online


Dato' Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan Sidang Pemuda, Wanita dan Puteri di PWTC 24 Mac 09.

Najib, Hishamuddin, Undang-Undang dan PPSMI

Umno benar-benar memperlekehkan perjuangan GMP berhubung bahasa Melayu dan PPSMI. Timblan Presiden Dato’ Seri Najib Tun Razak ada menyentuh tentang bahasa Melayu. Beliau akan memartabatkan bahasa itu supaya tidak hilang seperti halnya bahasa Latin, bahasa Aztec dan entah apa-apa bahasa lagi. Tetapi di ekor ucapannya tentang bahasa, beliau mahu UMNO dan rakyat mahir dalam bahasa Inggeris. Dan beliau berkata. Ketika merasmikan Persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO di PWTC semalam, ““Let us not waste any more time. Stop these pointless polemics. Put an end to the ridiculous politicising of this issue.” Najib merujuk kepada debat yang berterusan sama ada Sains dan matematik patut terus diajar dalam bahasa Inggeris atau kembali diajar dalam bahasa Melayu.

Ketua Pemuda UMNO, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein pula tidak menyebut tentang bahasa Melayu atau PPSMI tetapi berkata, “Pergerakan itu akan mempertahankan keluhuran undang-undang, hak dan kedudukan orang Melayu dan Bumiputera, kesucian agama Islam dan institusi raja-raja Melayu. “

Nampaknya kedua-dua pemimpin ini mempunyai persamaan pandangan dengan bekas Presiden UMNO, Tun Mahathir tentang bahasa Melayu dan penggunaan bahasa itu dalam pengajaran Sains dan Matematik. Dengan demikian, ia bererti telah tiga pemimpin Malaysia (dua daripadanya pemimpin kanan UMNO) yang mahu meneruskan bahasa Inggeris digunakan untuk mengajar Sians dan Matemtik. Tak kiralah sama ada penggunaan bahasa Inggeris itu bertentangan atau sebaliknya debgan Perlembagaan Persekutuan.

Kadang-kadang naik pelik juga apabila Hishamuddin berkata bahawa beliau akan mempertahankan keluhuran undang-undang dalam ucapannya di Persidangan Pemuda hari ini. Nampaknya seperti “tak ada apa-apanya” apabila beliau umpama memperlekeh keluhuran undang-undang itu sendiri (Lihat Padal 252 Perlembagaan Persekutuan tentang bahasa Melayu). Begitu juga Najib dan Mahathir.

Maka apa yag diperjuangkan GMP setakat ini kembali kepada titik kosong. Pertemuan Hishamuddin dengan pemimpin-pemimpin GMP di pejabatnya beberapa hari menjelang persidangan tahunan UMNO ternyata hanyalah satu gimik politik Hishamuddin untuk meraih sokongan bagi kempen jawatan Naib Presidennya. Dato’ Dr. Hassan Ahmad, Ketua GMP dan yang lain-lain seperti Dato’ A Samad Said, telah deperlat dan digula-gulakan. Sebabnya beliau lebih arif pandangan golongan muda dalam Pemuda dan UMNO keseluhannya yang masih punya rasa simpati terahadap perjuangan GMP (baca: PPSMI).

Ucapan-ucapan ketia-tiga pemimpin ini kelihatannya selari dan selaras dengan aspirasi mereka masing-masing. Ternyata juga perubahan yang diinginkan Najib adalah perubahan yang tidak total dan transformasi yang lebih bersifat retorik.

Jadi “what next GMP?”

Tuesday, 24 March 2009

PERKASA, MAHATHIR DAN UMNO


Tun Mahathir Mohamad, bekas Presiden UMNO yang tidak lagi menjadi ahli UMNO


Dato' Seri Najib Tun Razak semasa merasmikan perhimpunan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO di PWTC 24 Mac 09, 9.00 malam. gambar The Star Online)

PERKASA, TUN MAHATHIR DAN UMNO
Persidangan Kemuncak Pribumi Negara yang disertai 66 badan bukan kerajaan (NGO) semalam berikrar mempertahankan dan memperjuangkan kepentingan dan kesinambungan Melayu dan pribumi sebagai kaum majoriti asal yang sah menurut sejarah dan Perlembagaan.

Sambil menegaskan bahawa perpaduan kaum Melayu dan pribumi menjadi teras kestabilan rakyat, persidangan sehari anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) itu meluluskan 10 pendirian. Salah satu perkara yang penting ialah “Menggesa semua pihak menghormati semangat Perlembagaan yang mendasari dan menjadi paksi kepada kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta tidak melakukan sesuatu tindakan secara langsung atau tidak langsung menjejaskan dan menggugat kedudukan bahasa Melayu sebagai alat perpaduan dan media pengajaran dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Saya bercakap dengan seorang warga emas yang mendakwa dirinya pejuang kemerdekaan dan lulusan SITC (Sultan Idris Training College) di Tanjung Malim. Usianya kini dalam lingkungan 70-an. Masih segar fikirannya dan ternyata semangat keMelayuannya masih tak terusik, terus membara. Sesekali dalam perbualan itu beliau, yang enggan namanya disebut, terharu dan kata-katanya tersekat-sekat dek hiba dan pasrah akan nasib bahasa dan bangsanya.

Majlis ketika itu sedang bersemangat mendengar Tun Mahathir memberikan ucap utamanya tentang Melayu. Namun apa yang menariknya ialah komen warga emas ini terhadap ucapan Tun Mahathir . Katanya, “Tun ini nampaknya masih mahu juga bermain politik. Sekarang beliau nak guna strategi dan taktik yang sama seperti apa yang dilakukannya ketika beliau dipecat daripada UMNO dahulu.”

Saya sedikit terperanjat dan menanyakan apa cerita. “Tak ada apa. Hanya Tun kita ini hendak mengingatkan kelemahan orang Melayu pada masa ini dan mungkin cuba menarik perhatian semua orang Melayu tanpa mengira parti politik supaya bersama-samanya semula. Mesti ada mesej yang ingin disampaikan Tun. Ada yang disasarkannya,” kata Warga emas itu.

Saya masih tertanya-tanya. Warga emas itu kemudian berkata,”Kamu belajar lagilah tentang politik orang Melayu. Nampaknya kamu masih dangkal dengan mainan pemimpin orang Melayu. Mari kita dengar Tun kita berucap.”

Saya bingung dan penasaran. Saya memikirkan kata-kata warga emas yang mendakwa dirinya pejuang bahasa dan bangsa, lama setelah persidangan Perkasa selesai. Terlintas dalam fikiran apakah mungkin warga emas itu ingin mengaitkan ucapan Tun itu dengan Melayu, dengan bahasa Melayu dan dengan bangsa Melayu? Apakah mesej tersirat yang mahu ditonjolkan warga emas itu?


Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail dengan senarai ahli yang didapti bersalah melanggar etika parti menjelang pemilihan UMNO. Foto NST.

Kemudian saya terbaca laporan AFP tentang pernyataan Dato’ Seri Najib Tun Razak tentang pemilihan UMNO pada 24 -28 Mac ini. Antara lain AFP melaporkan Najib sebagai berkata, “We want UMNO to be seen as a clean party so we realise that there is some risk attached to it (internal factions). But the biggest risk is… if UMNO is rejected by the people.”

Najib mengaku terdapat pandangan umum bahawa pemimpin UMNO kebanyakannya telah menjadi “angkuh (arrogant) dan mengamalkan kegiatan-kegiatan yang tidak sihat. Kita kena bersihkan UMNO…kalau kita tidak berubah, kita akan diubah.”
Barangkali apa yang difikirkan warga emas yang saya temui dalam majlis Perkasa siang tadi ialah masalah rasuah dan politik wang. Inilah isu yang mengakibatkan Barisan Nasional kalah teruk dalam Pilihanraya Umum tahun lalu sehingga memberikan keuntungan politik yang tidak pernah dimimpikan pihak pembangkang. Pakatan Rakyat yang dipimpin Dato’ Seri Anwar Ibrahim berjaya menguasai lima negeri dan mempunyai sepertiga jumlah kerusi di Parlimen.

Barangkali Najib melihat sikap angkuh pemimpin UMNO jarang cuba menghayati aspirasi bangsa Melayu, terutama untuk memartabatkan bahasa Melayu itu sendiri. Ada pemimpin UMNO yang terang-terangan memperlekeh pandangan akar umbi yang sejak dahulu sehingga hari ini mahukan bahasa Melayu, misalnya ditingkatkan penggunaannya, bukan diperkecilkan. Bantahan rakyat yang menantang PPSMI, misalnya, seperti yang ditunjukkan dalam demonstrasi anti-PPSMI baru-baru ini yang diterajui GMP seperti tidak dihiraukan. Padahal UMNO tahu sangat bahawa dengan melaksanakan PPSMI, ia bertentangan dengan Pasal 152 Perlembagaan Persekutuan. Mahathir, arkitek PPSMI yang kini bukan lagi anggota UMNO sendiri mahu PPSMI diteruskan. Ironisnya seperti yang dilaporkan New Straits Times (23 March 09) Mahathir “envisioned radical concepts of Malay ownership of Malaysia - Malays are the indigenous race of Malaysia, the national language is Bahasa Melayu which must be learned and conversed by other races, Malays’ tolerance and non-confrontational nature allowed them to be subjugated in their own land by the other races with the collusion of the British and an affirmative action programme later headlined as the NEP must be instituted to check Malaysian Chinese economic dominance.”

Maka fahamlah saya mengapa warga emas yang saya temui di Persidangan Perkasa itu berkata demikian. ”Kamu belajar lagilah tentang politik orang Melayu. Nampaknya kamu masih dangkal dengan mainan politik orang Melayu. Lebih baik kita dengar Tun kita berucap.”

Nyatanya Mahathir masih seperti dahulu, menjadikan politik sebagai alat mencapai sasaran. Beliau sudah masak dengan asam garam kehidupan berpolitik. Baik dahulu baik sekarang., terutama sekembalinya beliau ke pangkuan UMNO setelah dipecat pada tahun 1970-an dahulu. Lalu teringat saya sebuah buku terbitan Oxford University Press bertajuk The Paradox of Mahathirism. Buku ini didasarkan kepada sebuah tesis sarjana seorang mahasiswa dari Singapura yang mengkaji tentang pemikiran politik Tun.

Sementara itu AFP melaporkan bahawa pihak pembangkang yakin kemelut UMNO hari ini adalah disebabkan oleh keinginan parti itu membersihkan namanya. Tetpi usaha ini seperti yang dilaporkan AFP sebagai “UMNO’s anti-graft purge, mainly aimed at settling old scores, and that it only scratches the surface of the corruption that has dogged the party for decades.”

Sunday, 22 March 2009

MELAYU - UMNO - MELAYU - HELO!


Dato' Ali Rustam: Calon Timbalan Presiden UMNO yang dihalang bertanding pada saat-saat akhir.

MELAYU – UMNO – MELAYU – HELO…!

Dua hari lagi bermulalah perhimpunan agung UMNO dan perebutan jawatan dalam parti itu untuk tiga tahun akan datang. Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, selaku Presiden Parti akan melapskan jawatannya kepada Timbalan Presiden Dato’ Seri Najib Tun Razak. Rakyat yang menamakan dirinya Melayu umumnya menunggu siapa bakal keluar sebagai barisan pemimpin UMNO yang baru. Para calon yang mempunyai aspirasi telah sampai ke penghujung jalan.

Di penghujung jalan inilah berlaku peristiwa yang paling mengejutkan. Calon Timbalan Presiden Dato’ Ali Rustam dihalang bertanding. Nasib malang buat Ali kerana pada saat-saat akhir, beliau didapati bersalah melanggar etika pemilihan Parti. Maka tinggallah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Muhamad Mohd Taib menruskan pertandingan. Kedua-duanya dianggap bersih dan dilihat bersih untuk meneruskan pertandingan. Siapa akan keluar sebagai pemenang dalam perebutan dua penjuru ini bagi merebut kerusi idaman setiap yang menganggotai UMNO akan terjawab 26 Mac ini.

Pelbagai desas-desus dan khabar burung kita dengar. Yang paling baru adalah dikatakan ada pemimpin di luar UMNO yang turut terlibat menentukan percaturan politik UMNO. Ada yang kata ada calon untuk jawatan Timbalan Presiden pun berkang - kalikong dengan pemimpin di luar UMNO. Dan yang paling menariknya pemimpin di luar UMNO ini menyokong terang-terangan calon Timbalan Presiden yang satu ini, iaitu Muhyiddin.

Tak kisahlah siapa yang akan keluar sebagai Timbala Presiden. Yang pasti atau yang Insya Allah Abdullah akan meninggalkan teraju kepimpinan. Najib akan mengambil alih. Seprti ikrar Najib, beliau akan lakukan perubahan dan reformasi. Beliau mahu barisan muda dan pelapis mengambil alih pimpinan. Jika diterjemahkan lebih lanjut, kehendak Najib ini membawa erti Najib tidak mahu pemimpin lama masih bercekol di barisan pemimpin barunya. Beliau tak mahu jika masih ada orang lama memimpin parti. Mungkin Najib mahukan “a clean break”, baru dalam serba-serbinya. Kalau pun ada tengkorak dalam almari biarkan ia bersemadi dalam almari. Tak perlu diheret keluar.

Agaknyalah! Lagi pun ramai yang kata tengkorak-tengkoak dalam almari ini lebih merupakan persepsi atau cakap-cakap orang dibandingkan realitinya. Alhamdulillah, jika itu yang betul. Apapun jua, orang yang paling gembira melihat teraju kepemimpinan UMNO selepas 28 Mac nanti ialah bekas Presiden, Tun Mahathir Mohamad. Beliau kelihatanya tidak menyenangi “apa sahaja yang dikaitkan dengan Presiden yang bakal bersara, Abdullah. Sebuah dunia tahu Tun Mahathir tidak menyenangi Abdullah. Tidak usahlah kita perpanjang hubungan saling bertentangan antara kedua-dua tokoh ini. Biarlah sejarah menentukan siapa sebenarnya yang selama ini berusaha menentukan kelangsungan (survival) orang Melayu, khusunya UMNO. Oleh kerana kedua-dua pemimpin ini masih bernafas, biarkanlah ia terus-terusan berhubungan begitu.

Hanya yang tidak manisnya, apabila dua tokoh bertelagah dalam persepsi dan pandangan yang menjadi mangsa adalah ahli-ahli UMNO dan orang Melayu di akar umbi. Telah banyak cakap-cakap tentang teori konspirasi, saling mahu menjatuhkan dan saling mahu menyingkirkan dalam kalangan orang Melayu. Dan cerita teori konspirasi, jatuh-menjatuh dan singkir-menyngkirkan ini bukan pula cerita baru. Ia adalah tradisi yang telah menapak sejak Kesultanan Melayu Melaka lagi, Kesultanan Johor, malah Kesultanan yang masih wujud sekarang ini di setiap negeri beraja di Malaysia.

Cerita paling antik pernah kita baca dan dengar ialah riwayat pembesar Mendaliar dan Si Kitol pada zaman Kesultanan Melaka. Kolumnis Adam Kadir (sekarang Taun Sri), pernah menulis dalam kolumnya di majalah Dewan Masyarakat tahun 1970an dahulu cerita Mendaliar dan Si Kitol ini, sehingga mengundang reaksi pelbagai pihak. Malah belum lama ini pun kita dengar Raja dan Sultan di Malaysia dikaitkan pula dengan “kes imuniti” yang membuatkan mereka terikat melalui Perlembagaan.

Cerita UMNO 24-28 Mac ini hampir sampai ke peringkat menakjubkan apabila rata-rata ahli-ahli UMNO dikatakan telah mula dan mudah lupa dan mula mencari petunjuk di luar parti. Kita lihat sahaja pemilihan jawatan dalam UMNO kali ini. Banyak yang mencari tip atau tunjuk arah daripada bekas Presiden yang telah tidak lagi menjadi ahli UMNO. Tetapi fakir punya fakir apa pula yang hendak membuat kita takjub. Sedangkan setiap yang berhajat hendak mencuba nasib pun baik dulu baik sekarang, telah lama berjinak-jinak dengan bomoh, dukun dan pawang. Politik wang jangan sebutlah. Dah berbuih mulut orang dok kata tetapi keihatannya kegiatan ini masih berterusan juga. Buktinya, rakyat tengah sibuk memperkatakan Ali dan Khairy Jamaluddin, umpamanya.

Ada pula yang kata bukankah cerita UMNO ini akan menjadi lebih menarik jika ketua pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut melibatkan diri dalam percaturan merebut jawatan dalam pertandingan UMNO ini, seperti halnya Mahathir. Barangkali pula, perebutan jawatan dan telah ditingkat menjadi perang proksi antara dua pemimpin besar yang berada di luar UMNO ini. Mahathir dan Anwar akan mempertaruhkan kedua-dua kuda masing-masing. Agaknya siapalah kuda Mahathir dan siapa pula kuda Anwar.

Walaupun Najib menang tanpa bertanding dan Abdullah tak bertanding dan tak menang, tetapi kedua-dua pemimpin ini barang tentu menjadi rebutan dua pemimpin di luar UMNO ini.

Hanya bezanya Mahathir dijemput menjadi pemerhati dalam Perhimpunan ini manakala Anwar tidak dijemput. Yang kita tahu Anwar dan Abdullah pernah bertemu di Hulu Langat ketika merayakan Maulud Nabi baru-baru ini.

Saturday, 21 March 2009

SEBAGAI PEMERHATI ATAU TETAMU PERASMIAN SIDANG?

Dr Mahathir diundang sebagai pemerhati


PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan sudah menerima jemputan secara rasmi untuk menghadiri Perhimpunan Agung Umno pada Selasa depan tetapi belum memutuskan sama ada akan hadir atau tidak.

Beliau yang juga bekas Presiden Umno berkata, beliau diundang sebagai pemerhati.

"Ya...saya ada dijemput sebagai bukan ahli Umno. Saya dijemput sebagai pemerhati tetapi saya belum memutuskan lagi sama ada akan hadir atau tidak," katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Wisma Sahoca (Persatuan Bekas Pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid), dekat sini , semalam. (Petikan Berita Harian, 21 Mac 2009)

Komen:
Satu perkembangan menarik dalam UMNO. Orang luar parti dijemput sebagai pemerhati. Sejak sekian lama ahli-ahli UMNO pun tak ramai yang dijemput sebagai pemerhati. Oleh kerana idea dan pandangannya bernas dan bermanfaat apa kata kita bagi peluang kepada Tun Mahathir ikut serta dalam perbahasan atau menjadi salah seorang yang akan bercakap dalam Perhimpunan. Rasanya, sejak dahulu belum pernah UMNO mempelawa pemimpin-pemimpin yang bukan anggota UMNO dipelawa menghadiri Sidang, walaupun sebagai tetamu di majlis Pembukaan Perhimpunan UMNO. Mungkin saya silap kot, dan tak ingat atau masih jahil tentang sejarah UMNO ini sebab usia pun dah mulai senja dan daya berfikir pun telah kurang.

Jika bekas orang kuat UMNO itu menerima pelawaan itu, maka ia akan benar-benar akan mewujudkan satu tradisi bagi UMNO untuk mempelawa pemimpin-pemimpin di luar UMNO, hatta ketua parti-parti pembangkang seperti PAS, PKR dan DAP diundang, sekurang-kurangnya hadir dalam Majlis Perasmian Sidang. Orang ramai boleh bayangkan suatu ketika nanti, ketua pembangkang sekarang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi DAP Karpal Singh dan Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, malah “nakhoda” PAS, Datuk Nik Aziz yang bukan sahaja hadir sebagai tetamu khas dalam majlis perasmian Perhimpunan, tetapi juga diberikan status pemerhati. Di Amerika pun, tidak wujud tradisi begitu. Misalnya Ketua Demokrat menjadi pemerhati dalam Sidang tahunan Parti Republikan.

Agaknya inilah salah satu perubahan yang ingin dilakukan UMNO dalam Perhimpunan tahunannya 24 – 28 Mac ini. Rasa-rasanya Ahli Parlimen Bebas, Datuk Ibrahim Ali patut juga dijemput, terutama sejak akhir-akhir ini beliau sering seiiring dengan BN (baca: UMNO) dalam memperkatakan tentang isu-isu yang membabitkan orang Melayu dan Raja-Raja. Satu perkembangan positif? Kita ucapkan tahniah!

Agaknya inilah juga jenis perubahan seperti yang disarankan beberapa orang pemimpin tertinggi UMNO seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin sehari dua ini. Sementara pemimpin Pemuda seperti Dato’ Mukhriz Mahathir pula mahu rakyat berubah dengan kembali kepada kehendak akar umbi. (Catatan: Mukhriz menerima pencalonan terbanyak untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO dan jumlah pencalonan ini bolehlah dianggap bahawa Mukhriz “direstui” UMNO akar umbi.

Kebetulan Tun Mahathir adalah bapa Mukhriz. Mungkin kehadirian beliau nanti, jika menerima jemputan UMNO, adalah peluang terbaik Mukhriz menjayakan kemenangannya, jika keluar menduduki kerusi nombor satu Ketua Pemuda itu. Setiausaha Agung UMNO, Tengku Tan Sri Adnan berkemungkinan besar faham sangat-sangat akan hal ini. Bukankah Mahathir dan Tengku Adnan didakwa “pernah berdamping rapat satu ketika.” Tentang apa ya? Tak ingat pula saya.

TAKTIK MENGHULUR WAKTU & BERLEGAR DALAM CAWAN


Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein: Gimik Perhubungan awam atau...?

MENTERI KITA GUNA TAKTIK MENGHULUR WAKTU

Tidak pasti apa tujuan sebenar Menteri Pelajaran, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein kita memanggil pemimpin-pemimpin GMP kelmarin di pejabatnya di Putrajaya. Untuk tujuan perhubungan awam (PR Works?) atau kempen untuk menang pertandingan Naib-Presiden UMNO 26 Mac depan? Kelihatannya begitulah keadaannya ketika melihat imej-imej menteri bersama pemimpin GMP yang diketuai Datuk Dr. Hassan Ahmad kelmarin itu.

Calon Naib Presiden ini menggunakan kedua-dua tujuan itu sekaligus. Kemudian kita kita tidak nampak wajah tokoh-tokoh akademik yang turut hadir dalam pertemuan itu, iaitu Dr. Abdullah Hassan Dr. Shahrir. Ramai mengandaikan pertemuan itu dikaitkan untuk menyaingi kerja-kerja perhubungan awam (PR) yang dimanfaatkan Dato’ Seri Hadi Awang, pemimpon PAS dalam perarakan anti-PPSMI menuju Istana Negara tempoh hari.

Lihat sahaja gelagat menteri berkenaan yang begitu mesra dengan para pemimpin GMP waktu pertemuan itu. Bliz TVnya hebat. Lebih seminit waktu siaran TV digunakan, mengalahkan bliz TV untuk Perdana Menteri sendiri. Penonton TV, terutama pemimpin UMNO pun lega dan puas hati dengan kemesraan yang ditunjuk calon Naib Presiden UMNO ini yang nasibnya ditentukan 26 Mac ini. Kurang jelas adakah ini untuk ‘political mileage’ UMNO menyaingi rakyat yang berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara dahulu atau ‘political mileage’ peribadi menteri. Pasti, menteri dan calon Naib Presiden UMNO itu tahu jawabnya.

Akhirnya setelah pertemuan, pemimpin GMP dilaporkan akan meneruskan perjuangan kerana menurut mereka pertemuan itu seperti berlegar-legar dalam “cawan kopi” sahaja. Menteri kita itu nampaknya masih tak berganjak dengan pendiriannya. Tidak ada yang baru daripada pertemuan itu. Barangkali pula akan ada persidangan media daripada menteri ini menjelaskan hasil pertemuan itu. Dan beliau pun akan kembali kepada cerita lamanya, iaitu akan memberikan pertimbangan akan pandangan pemimpin GMP. Bak kata rakyat biasa pemimpin GMP “kena main” lagi.

Saya rasa cukuplah berunding dengan orang-orang yang sudah pun mempunyai keputusan dan masih mempunyai sikap “Saya lebih tahu daripda kamu (I know best).” Cakaplah apa sahaja. Rundinglah apa cara. Orang-orang begini telah mempunyai tekad untuk meneruskan PPSMI, biar apa pun akan terjadi. Dengan gelagat ahli-ahli UMNO sekarang ini, ditambah dengan sikap dan tingkah ahli perwaki;an yang lebih 2000 orang itu, apakah pemimpin-pemimpin GMP boleh mengharapkan sesuatu akan berlaku yang akan memihak kepada keinginan rakyat banyak, yang mahu mansuhkan PPSMI? Jangan harap!

Hanya ikrar daripada pejuang yang mewakili rakyat banyak perlu digembleng dengan lebih rakus lagi. Teruskan Perjuangan! Mengharapkan para perwakilan menyingkirkan calon-calon yang pro- PPSMI agak sukar kerana perwakilan akan membuat pertimbangan yang lebih memihak kepada kepentingan parti dan peribadi, bukan memihat kepada kepentingan nasional (baca: bahasa). Malah yang pro-PPSMI telah menganggap diri mereka sebenarnya tengah mempertahankan kepentingan nasional, walaupun terang-terangan dari segi Perlembagaan sikap dan tingkah mereka jauh bertentangan, malah menjdi satu kesalahan.

Ada dua cara sahaja yang ada. Pertama melobi para perwakilan untuk menolak calon-calon yang pro-PPSMI, hatta jika ia terkena kepaada batang hidung menteri yang bertanggungjawab itu sendiri. Kedua, nantikan PRU ke-13 ( 2012) untuk kita buat perhitungan seperti yang pernah disarankan Datuk A. Samad Said. Ketika itu nanti masa akan menentukan siapa sebenarnya yang lebih berkuasa. Parti yang pro-PPSMI akar umbi parti dan Rakyat banyak?

Yang nyata buat masa ini menteri pelajaran kita itu sedang menghulur-hulur waktu. Beliau ini gamaknya sedang menunggu keputusan pemilihan UMNO 26 Mac ini. Menang atau tersingkir? Jika menang maka pendiriannya terhadap PPSMI akan menjadi lebih teguh. Jika kalah beliau akan memanfaatkan teori konspirasi yang sekarang ini sedang hangat diperkatan orang berhubung keputusan Lembaga Disiplin UMNO yang bertindak terhadap calon-calon yang pada pandangan Lembaga itu didapati bersalah daripada segi etika parti.

Thursday, 19 March 2009

BEKAS PRESIDEN UMNO: "JANGAN LAYAN RAYUAN!"


Pada satu ketika Tun Mahathir kadang-kadang didamping Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri), salah seorang calon untuk jawatan Timbalan Presiden. Tun adalah bekas Presiden UMNO manakala Tan Sri masih Naib Presiden.

Jangan layan rayuan - Dr. M

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan MUHAMMAD DAYNE AZMIN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 18 Mac - Lembaga Disiplin UMNO perlu tegas dalam setiap keputusan yang dibuat dan tidak perlu melayan sebarang rayuan kerana ia hanya akan menjejaskan kredibiliti dan imej parti.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, segala keputusan yang telah dibuat oleh pihak lembaga semalam wajar dikekalkan sebagai bukti kesungguhan UMNO membanteras gejala politik wang.

Katanya, sebarang rayuan untuk membolehkan mereka yang dihukum bertanding semula tidak perlu dilayan.

''Memang orang bersalah ada hak untuk merayu tetapi semua pihak tahu yang dia ini bersalah. Sekiranya dengan tiba-tiba orang seperti ini diberi kelonggaran, ia akan menyebabkan kredibiliti UMNO dan jawatankuasa disiplin hancur sama sekali.

''Jangan ganggu keputusan ini. Jika Majlis Tertinggi (MT) kata lain, tidak ada gunanya wujud jawatankuasa disiplin,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai akan berlakunya beberapa kemungkinan ekoran keputusan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin semalam.

Antara keputusannya ialah melarang Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd. Ali Rustam daripada bertanding atau dipilih merebut jawatan Timbalan Presiden selepas pihak lembaga mendapati tiga ejennya didapati bersalah mengamalkan politik wang.

Pengerusi lembaga berkenaan, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail turut mengumumkan, Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin bersalah di bawah perkara yang sama tetapi dikenakan tindakan amaran.

Sementara itu Dr. Mahathir berkata, dalam apa jua keadaan terutama ketika dikenakan hukuman, seorang pemimpin seperti Mohd. Ali wajar mengutamakan kepentingan parti lebih daripada kepentingannya sendiri.

Ujar beliau, dengan kata lain inilah masanya Mohd. Ali menunjukkan kesetiaannya yang tidak berbelah bagi kepada parti.

''Jika dia betul-betul jujur dan setia kepada parti, inilah masanya dia tunjukkan kesetiaan kerana dengan dia disingkir, parti terselamat.

"Namun begitu jika dia fikir kepentingannya sahaja ini bermakna kualiti kepimpinan UMNO sudah merosot,'' katanya.

Begitu juga dengan pihak yang bersimpati dengan hukuman yang diterima oleh Mohd. Ali, Dr. Mahathir berkata, mereka merupakan golongan yang menyokong gejala rasuah.

''Jika mereka kata simpati, ini bermakna mereka sokong rasuah. Dalam kes ini bukan Lembaga Disiplin sahaja tahu malah semua orang tahu apa yang berlaku.

''Orang yang menyokong rasuah akan memburukkan lagi UMNO dan akan menyebabkan UMNO kalah dan secara tidak langsung mereka mengkhianati UMNO,'' ujarnya.

Dr. Mahathir berkata, sebagai ahli UMNO yang ikhlas dengan perjuangan, mereka sepatutnya akur dengan setiap keputusan yang telah dibuat oleh pihak lembaga.

''Jangan apabila tiba kena batang hidung sendiri tidak mahu sokong tetapi bila kena orang lain hendak sokong pula. Ahli UMNO kena akur dengan keputusan Lembaga Disiplin," katanya.

''Mereka perlu menolak gejala rasuah tidak kira siapa pun yang melakukannya sama ada kena pada pihaknya atau pihak orang lain,'' ujarnya. (Petikan Utusan Malaysia, 19 Mac 2009)

Komen:
Bekas Perdana Menteri, bekas Presiden UMNO dan bekas ahli UMNO, Tun Mahathir sekali lagi ke depan bercakap tentang UMNO, kali ini meminta Lembaga Disiplin UMNO bertegas mempertahankan keputusan lembaga itu menghalang Naib Presiden UMNO, Dato' Sei Ali Rustam daripada bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden 26 Mac ini. Tun Mahathir antara pemimpin luar UMNO yang paling awal mengulas tentang tindakan Lembaga Disiplin UMNO.

Baguslah. paling-paling Tun kita ini masih prihatin terhadap UMNO dan sentiasa peka tentang apa yang berlaku dalam UMNO hari ini. Cuma sayangnya Tun Mahathir tidak lagi menjadi ahli UMNO. Ada yang mendakwa Tun Mahathir berhasrat kembali ke pangkuan UMNO setelah keadaan mengizinkan. Kata sesetangah pengulas politik Tun Mahathir masuk UMNO selagi ada orang yang tidak disenangi beliau masih berada dalam UMNO. Tak payah sebutlah siapa orang yang dimaksudkan itu. Semua dunia sudah tahu.

Juga semua orang mash ingat sewaktu kempen pencalonan ke pelbagai jawatan UMNO dahulu, Tun Mahathir terus juga berkempen baik secara langsung mahupun secara tak langsung berperi-peri malah merayu kepada ahli-ahli UMNO supaya memilih calon-calon yang bersih dan tidak mengamalkan politik wang. Kalaulah ada bekas presiden dan tokoh besar UMNO memiliki semangat yang begitu dekat dengan UMNO dan pula ramai jumlahnya, maka saya rasa UMNO akan hidup seribu tahu lagi. Asal sahaja matlamat dan motif keprihatinannya seperti yang ditunjukkan Tun Mahathir tehadap UMNO tetap satu: kelangsungan hidup (survival) UMNO dalam apa cara sekali pun.

Hanya satu masalah timbul: Adakah tindakan Tun Mahathir ini lahir dari hati yang tulus dan ikhlas atau masih mempunyai motif tertentu yang hanya Tun sahaja yang tahu apa. Saya fikir ramai juga ahli dan pemimpin UMNO yang kurang senang dengan "keprihatinan" Tun dengan UMNO. Kalau benar-benar jujur mengapa tidak masuk semula, tanya mereka. Mengapa mesti tunggu sampai bila beliau fikirkan sesuai. Sesuai yang dimaksudkan beliau itu apa? Menunggu Dato' Seri Mohd Njib Tun Razak sah dan rasmi menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri?

Hari ini Tun Mahathir dilaporkan berkata lembaga Disiplin UMNO yang dipimpin Tan Sri Tengku Ahmad Ritahudeen Tengku Ismail mestilah tegas dalam keputusannya dan "jangan layan sebarang rayuan" daripada mereka yang didapati beresalah. Nampaknya Tun Mahathir begitu bersemangat dan bertegas sekali menyokong keputusan Lembaga Disiplin.

Harap-harap ketegasan dan semangat Tun Mahathir itu patut dijadikan contoh kepada para pemimpin dan ahli-ahli UMNO seluruhnya. Maksudnya pemimpin dan ahli UMNO patut mencontohi ketegasan dan semangat bekas presidennya, lebih-lebih lagi seorang tokoh yang bukan lagi ahli UMNO. Berutunglah calon-calon yang lain yang pada anggapan Tun Mahathir masih bersih. Dato Seri Hishamuddin yang akan melapskan jawatan Ketua Pemuda UMNO untuk bertanding jawatan Naib Presiden tentunya bersyukur kerana beliau masih dianggap bersih. Kalau tak bersih sudah tentu bekas Ketua Pemuda UMNO ini akan terkena penangan Lembaga Disiplin. Ya tak? Begitu juga dengan calon-calon yang akan menggantikannya untuk jawatan Ketua Pemuda, termasuk Dato' Mukhriz Mahathir yang bagi Dat'Seri Hishamuddin "yang banyak kali tak sebulu dan tak sealiran dengan dasar Pemuda." Begitu juga halnya dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ada waktu-waktunya berbeza pendapat dengan Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Dato' Seri Hishamuddin tak perlu bimbanglah tentang pencalonan untuk Naib Presiden kerana Tun mahathir akan merestui, jika menang. Bukankah Dato' Seri Hishamuddin penjulang obor utama dalam meneruskan dasar PPSMI yang dicipta Tun.

Dan dalam banyak hal, penasihat PKR dan ketua pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim tidaklah setegas Tun Mahathir ketika berada di dalam dan di luar UMNO.Namun dunia pun tahu apa terjadi kepada Dato' Seri Anwar apabila cuba "lawan taukeh" dalam UMNO satu waktu dahulu!

Wednesday, 18 March 2009

SAYANG SERIBU SAYANG BUAT ALI RUSTAM!


Pengalaman bicara: Allahyarham Tun Ghafar Baba pernah mencadangkan penggunaan wang bersyarat dalam kempen merebut jawatan dalam UMNO.


LANSKAP BARU POLITIK UMNO SELEPAS 17 MAC 09
A.F.YASSIN

Hanya tinggal seminggu lebih lagi UMNO akan memilih para pemimpin barunya. Kecuali jawatan Presiden dan Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO, semua jawatan lain dipertandingkan. Untuk jawatan Timbalan preiden, amat malang, calon Dato’ Seri Ali Rustam dilarang bertanding kerana didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin UMNO yang diketua Tan Sri Tengku Rithauddeen Tengku Ismail, melanggar etika parti.

Maka yang tinggal dua calon lain, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Mohamad Mohd Taib. Maka biasalah, dalam keadaan kritikal dan saat-saat Ali kini dianggap pemerhati politik terputus peluang. Beliau dikatakan “hanya selangkah lagi untuk menduduki tempat nombor dua “keramat” dalam UMNO itu.

Sebelum ini terdapat dua tinjauan pendapat (opinion poll) yang saling bercanggah. Tinjauan pendapat pertama menyebelahi Ali sementara yang kedua Muhyiddin jauh di depan sementara Mohamad jauh tertinggal. Namun umumnya rata-rata Ali dikatakan calon pilihan.

Saya tanyakan seorang ahli UMNO veteran dari Johor. Beliau ini, yang namanya enggan disebut, dengan yakin menjelaskan UMNO hari ini sudah parah. Katanya, “Sekarang ini nampaknya ada unsur di luar UMNO yang mahu calon-calon tertentu dihalang bertanding. Orang-orang ini akan menggunakan berbagai cara mempastikan calon-calon tertentu tidak dibenarkan bertanding, walupun terpaksa mempengaruhi Lembaga Disiplin UMNO.”

Bila ditanya siapa orang atau pemimpin di lar UMNO itu, katanya mudah,”Tak payah jauh-jauhlah. Pengalaman boleh menjawab. Semuanya boleh terjawab kalau kamu ikuti sejarah pertandingan dalam UMNO, terutama sejak berlakunya perpecahan antara Team A dan Team B tahun 1980-an dahulu.”

“Ini aku nak kata kepada kamu. Ingat tak pertandingan sebelum ini. Aku dah lupa tarikhnya.”
“Tak pasti.”
“La, macam mana ini. Kamu ini ahli UMNO tak?”
Saya tak menjawab.
“Begini. Ingat tak satu waktu dua calon dari Johor bertanding jawatan yang sama. Ingat?”
Masih membisu.
“Apalah punya dajal kamu ini. Kamu ini minat politik tak?
“Minat, terutama UMNO.”
“Nampaknya kamu ini seperti bekas pemimpin UMNO yang dah keluar UMNO tapi masih minat dan bercakap tentang UMNO. Tak apalah. Dua orang pemimpin Johor yang bertanding itu bersaing sesame negeri. Seorang mendapat pencalonan terbanyak di Johor sementara seorang lagi cukup-cukup makan saja. Keputusannya, calon yang cukup makan saja itu menang sementara calon yang satu lagi yang banyak jumlah pencaonan kecundang.”

“Kau tahu apa kata calon yang kecundang itu masa kempen sebelum hari pemiihan. Beliau terasa macam nak kalah. Waktu itu kempen baru berada di pertengahan jalan.”
“Apa katanya?”
“Tak bagi kalah. Bagi salah. Aku tak kata apa-apa ya, aku hanya sebut apa calon itu kata.”
“Siapa calon-calon itu?”
“yang itu aku tak nak ambil tahu. Kamu cari sendiri kalau kamu betul-betul minat politik UMNO.”

“Bisiklah siapa?”
“Tidak, minta maaf. Kalau kamu hendak tahu jumpa orang macam siapa itu namanya yang di Kuala Lumpur, yang selalu tulis buku poitik itu. Ha, Yahaya Ismail yang orang panggil Pak Ya. Aku ini jauh lebih tua daripada dia, tapi aku panggil dia Pak Ya juga. Ikut trend orang sekarang, katanya sambil ketawa.
“Pergi Tanya dia,”sambungnya.

Dua perkara yang membuatkan siapa sahaja yang bercakap dengan ahli veteran UMNO ini akan pening kepala. Pertama, siapa bekas pemimpin politik yang telah keluar UMNO tapi masih minat bercakap tentang UMNO? Kedua, siapa dua calon UMNO dari Johor yang suatu waktu pernah bertanding merebut jawatan yang sama seperti yang disebut Ahli veteran UMNO ini?

Akhirnya, saya kembali dengan berita hangat pagi ini. Ali kini dihalang bertanding. Maka tiggallah dua calon lain. Atas kertas Muhyiddin jauh ke depan berbanding Mohamad. Tetapi disebabkan lanskap politik UMNO yang begitu dinamik dan sentiasa macam air lalu akan berubah begitu pantas sekali menjeang perhimpunan minggu depan? Kini semua tertumpu kepada perhimpunan UMNo 24 – 28 Mac depan. Dalam tempoh seminggu ini macam-macam boleh berlaku. Nampaknya Lembaga Disiplin UMNO semakin menjadi katalis dalam “membangunkan harimau tidur.” Harimau tidur yang dmaksudkan itu ialah para perwakilan UMNO yang berada di PWTC dan yang akan mengundai siapa yang bakal menjadi pemimpin mereka untuk tiga tahun akan datang.

Apapun jua Ali masih boleh merayu mengenepikan keputusan itu. Pertama kali dalam sejarah UMNO, seorang yang didapati bersaah boleh membuat rayuan. Soalnya, seperti kata Pengerusi Lembaga ada waktu tidak untuk membuat rayuan. Soal keduanya, perwakilan tertanya-tanya mengapa umumkan keputusan Lembaga hanya seminggu sebelum pertandingan. Soa ketiganya, Ali hanya tidak dibenarkan bertanding untuk jawatan nombor dua, tetapi tidak yang lain. Soal keempat, Ali masih dibenarkan memegang jawatan dalam kerajaan. Beliau sekarang adalah Ketua Menteri Melaka. Soal kelima, betulkah calon-calon yang lain 100 peratus bersih dan tidak melanggar etika?

Monday, 16 March 2009

PERHIMPUNAN UMNO: SIAPA KETUA PEMUDA TERPILIH?


Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein yang melapaskan jawatan Ketua Pemuda untuk bertanding jawatan Naib Presiden dalam Perhimpunan UMNO 24-28 Mac ini. Foto The Star

HARAPAN CALON PEMUDA UMNO

Ketika berada di kampus UPM (Universiti Putra Malaysia) Sabtu lalu (14 Mac 09) menghadiri Seminar Kesusasteraan di Jabatan Bahasa Melayu, sempatlah berual dengan seorang professor yang telah lama bermukim dalam bidang akademik. Setiap kali bersamanya, beliau tidak ketinggalan bertanya tentang suasana politik kontemporari. Walaupun seminar hari itu adalah untuk mengenang kembali dunia akademik tokoh yang telah peri buat selama-lamanya, tetapi sembang santai tentang politik tetap menarik perhatian.

Saya tanyakan tentang perhimpunan agung UMNO 24 Mac ini, terutama harapan calon Pemudanya yang akan berentap. Saya tanyakan siapa akan muncul sebagai Ketua Pemuda Terpilh yang baru, bakal menggantikan Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein: Dato’ Mukhriz Tun Mahathir kah? Dato’ Seri Dr. Mohd Khir Toyo kah? Atau Encik Khairy Jamaluddin kah?

Jawab Profesor itu, “ Kalau saya jadi pengundi, saya tak pilih mana satu pun.” Katanya, "Sebabnya mudah saja. “Yang kita nak pilih apanya?”

Tergamam juga sebentar dibuatnya. Mahu dikatakan beliau tidak minat berpolitik, beliau mengajak berbual tentang politik setiap kali bertemu. “Kita kan nak cari calon ideal segala-galanya kan?” soalnya.
“betullah.”

“Di mana idealnya calon-calon ini. Saya tak Nampak. Yang saya Nampak setiap seorang daripada calon itu ada sahaja unsur negatif. Tak banyak unsur campurnya. Minus saja, plusnya kurang.”

“Kita cakap cara orang hululah ya. Cuba kita baca calon Mukhriz. Usia ok. Bagi saya beliau terlalu terikut-ikut rentak bapanya, bekas PM dahulu. Padahal beliau sudah keluar daripada UMNO. Tapi masih bercakap tentang UMNO. Dan tak banyak pula bercakap tentang parti-parti lain seperti PR, misalnya. Saya melihat ada unsur dendam dalam dirinya. Dan ini sudah tentu mempengaruhi undi yang diterima Mukhriz dalam kalangan Pemuda nanti. Kalau ia pun nak tolong anak, buatlah macam Lee Kuan Yew Singapura menolong anaknya sehingga jadi penggantinya di pulau republik itu.” Dahi professor itu sudah menampakkan tanda berpeluh. Beliau mula merasakan bahang panas buah fikirnya, walaupun keadaan dewan itu masih dalam sejuk dingin.

“Bagaimana dengan Khir Toyo?”
“Ini satu lagi,” jawabnya. “Persepsi orang ramai terhadapnya lebih banyak negatif daripada positifnya. Puncak persepsi yang negatif ini ialah hadiah penyapu kepada kakitangan kerajaan. Ini apa cerita? Takkanlah beliau tidak faham adat resam orang Melayu. Penyapu itu bukankah selalu dikaitkan dengan maruah. Apa? Rendah sangatkah maruah pegawai dan kakitangan awam sehingga dihadiahkan dengan penyapu. Bagi di depan umum pula?”

“Bagaimana pula dengan Khairy Jamaluddin?”
“Ini satu hal lagi. Orangnya pintar. Lulusan Oxford. Beliau membawa banyak liabliti politik apabila menjadi menantu PM. Macam-macam cerita yang kita dengarkan. Persepsi negatif ini berlarutan dan perkara inilah yang banyak memakan dirinya. Lagi pun Khairy ini tidak dapat lepas daripada bayangan mentuanya. Saya yakin dengan pepatah: Cepat naik cepat turun. Lagi pun beliau belum pernah diuji. Selama ini ok-lah. Apa kata nanti apabila mentua tidak lagi mempunyai pokok beringin yang rending. Kamu faham maksud sayakan?”

Mungkin dalam hati Profesor Mukhriz ada kelebihan kerana jumlah pencalonan yang paling tinggi dahulu itu."
"Belum tentu. Orang UMNO ini bukannya seperti membilang dua kali dua mesti empat. Pada orang UMNO dua kali dua boleh menjadi lapan atau sepuluh." Profesor itu ketawa kecil.

Perbualan santai ini jauh daripada ilmiahnya. Betul-betul cerita warong kopi, walaupun kami berbual dalam dewan seminar yang berhawa dingin, yang dikelilingi peserta golongan tenaga akademik dan mahasiswa.

“yang mana satu calon Profesor dalam kalangan tiga calon ini?”
“Seperti yang kata pada mula-mula tadi. Kalau saya jadi pemilih, ketiga-tiganya tak boleh pakai.”
“takkan tak ada satu kot yang boleh diterima Pemuda.”
“itu pilihan Pemuda. Kita kan bukan pemuda lagi. Dan belum tentu kita ini anggota UMNO.”
“Menyindir Nampak?”
“Betul! Kita berada di luar parti. Saya percaya kamu pun berada di luar parti. Tak tahulah kalau kamu ahli UMNO!” jawab Profesor. “Sekarang kita tanya diri kita sendiri: Mahu ke mana Pemuda UMNO? Kiblat mereka ke mana? Kalau masuk UMNO nak dapat projek, nak buncitkan perut sendiri, silakanlah. Tapi masalahnya perwakilan Pemuda UMNO yang mengundi nanti adakah benar-benar memilih calon yang sesuai, ideal dan mempunyai semangat Melayu, terutamanya sebagai ketua mereka untuk tiga tahun akan datang. Kamu kena tanya mereka. Yang semangat itu mana dan apanya? Apakah mereka mempunyai semangat mencari projek atau semangat orang Melayu. Janganlah jadi macam sesetengah orang kata. Nama sahaja orang Melayu tetapi jiwanya kosong. Jiwa Melayunya tak ada lagi. Yang tinggal nama sahaja Melayu. Lalu mendabik dada: Saya orang Melayu, walaupun saya tak guna bahasa Melayu.
"Cantik kan kalau kita jumpa orang Melayu macam ini.”

Kami terpaksa menghentikan perbualan kecil kami kerana masa untuk sesi Profesor itu membentangkan kertas kerjanya telah sampai. Tema seminar hari itu ialah Dharmawijaya Dalam Kenangan. Seminar akan berbincang tentang sumbangan dan ketokohan Allahyarham Dharmawijaya atau nama penuhnya Kamaruzzaman Abd. Kadir. Allahyarham terkenal dengan puisinya dan pernah bertugas ebagai guru, pegawai DBP dan tenaga akademik. Jawatan terakhir Allahyarham ialah Sarjana tamu di UPM. Beliau meninggal dunia pada tahun 2005, meninggalkan seorang balu dan tiga anak.

Wednesday, 11 March 2009

MINTALAH PAK MENTERI KITA CUBA INGATKAN PERTEMUAN TAHUN 2005 ANTARA PM DENGAN KUMPULAN PRIHATIN


Kumpulan mahasiswa turut bantah PPSMI ketika berhimpun di Masjid Negara 7 Mac 2009 yang lalu. Foto A.F.Yassin yang turut berada di Masjid Negara.

Sekadar mengingatkan Pak Menteri Pelajaran yang masih muda belia akan hasil pertemuan Kumpulan Prihatin dengan Perdana Menteri tentang PPSMI pada tahun 2005 seperti yang dicerita tokoh akademik dari Universiti Malaya, Prof Datuk Abu Bakar Hamid. Tokoh akademik ini adalah salah seorang yang hadir dalam pertemuan itu sebagai jurucakap pihak Kumpulan Prihatin. Pihak Gapena dan NGO lain pernah pula mengadakan seminar dan kongres tentang PPSMI ini sepanjang tempoh enam tahun yang lalu. Bimbang Pak Menteri kita ini"lupa-lupa ingat" kot tentang peristiwa-peristiwa ini kerana terlalu banyak "main politik" atau pegawai-pegawai kementerian beliau hanya mahu melaporkan "yang baik-baik" sahaja kepada Pak Menteri Pelajaran kita. Atau Pak menteri Pelajaran kita bukan memegang portfolio Kementerian Pelajaran ketika pertemuan itu!

Di bawah ini saya kutip reaksi Prof. Datuk Abu Bakar Hamid berkait dengan PPSMI ini sebagai mengulas e-mel daripada Dr. Awang Sariyan yang kini bertugas di Universiti Beijing, China.


Re: [kumpulan_prihatin] Re: himpunan 100 ribu rakyat anti ppsmi‏
From: kumpulan_prihatin@yahoogroups.com on behalf of Abu Bakar Abdul Hamid (abah38@yahoo.com)
Sent: Wednesday, 11 Mar, 2009 12: 35 AM
To: kumpulan_prihatin@yahoogroups.com

Assalaamu'alaikum,

Saya masih ingat tentang pertemuan dengan PM tahun 2005 itu oleh kerana saya menjadi juru cakap bagi pihak Kumpulan Prihatin dalam pertemuan itu. Kalau ingatan saya masih baik PM sememangnya mengatakan beliau bersetuju supaya kembali kepada dasar yang asal. Bagaimanapun beliau tidak berkata sudah mengarahkan Menteri Pelajaran. Katanya beliau akan mengarahkan Menteri Pelajaran berbuat demikian. Benarlah kami berbisik sesama sendiri Menteri Pelajran tidak akan melaksanakannya. Sementara itu saya sudah mengirimkan sms berikut kepada Menteri Pelajaran tetapi seperti biasa tidak mendapat apa-apa reaksi:

' YB Dato' Seri sudah beberapa kali mmenanyakan mengapa sesudah 6 tahun baru isu ini dibangkitkan. Faktanya ialah kami telah menentangnya sejak mula dilaksanakan lagi. Saya percaya kesan YB Dato' Seri akibat terlalu bergantung kepaqda media kerajaan.' Abu Bakar bin Abd Hamid

Salinan sms ini saya sampaikan, antara lain, kepada Dato' Hassan Ahmad.

Abu Bakar A Hamid

--- On Sat, 3/7/09, Sariyan Awang wrote:

From: Sariyan Awang
Subject: [kumpulan_prihatin] Re: himpunan 100 ribu rakyat anti ppsmi
To: "ahmadfadzil yassin"
Cc: kumpulan_prihatin@yahoogroups.com, cesmacs@yahoogroups.com
Date: Saturday, March 7, 2009, 9:35 PM



Sdr di Sungai Buluh,

Salam sejahtera. Saya mengikuti perhimpunan dan perarakan itu melalui internet dan berasa sayu dan hiba kerana tidak dapat bersama, walaupun jiwa dan roh saya bersama sdr semua di sana. Saya baru minggu sudah sampai semula di Beijing kerana ladang baru saja dibuka. Rasa terkilan itu terubat sedikit kerana sewaktu di tanah air baru-baru ini saya sempat hadir dalam pelancaran di Sogo.

Dari awal saya gembira apabila urus setia GMP menetapkan tiada simbol politik dilibatkan dalam perhimpunan dan perarakan kerana perjuangan kita merentas golongan, parti, profesion, usia, bangsa dll. Sayang sekali jika benar berlaku seperti yg sdr katakan. Rakan-rakan kita daripada parti politik patut memahami strategi rakyat ini tanpa menonjolkan ciri kepartian meskipun memang mereka amat komited.

Tentang percanggahan pendapat antara PM (yang akan segera bersara) dengan Menteri Pelajaran, saya teringat kata-kata PM pada 10 Mei 2005 dalam pertemuan Kumpulan Prihatin dengan beliau. Katanya (antara lain, sesudah kami membentangkan musibah pelaksanaan PPSMI): Saya dah arahkan Hisahmudin.. .

Entahlah apa arahan PM kepada Menteri Pelajaran. Secara berjenaka saya menyebut kepada teman-teman yang hadir sama (termasuk TS Ainudin, Datuk Zainal Abidin Wahid, Datuk Hasan Ahmad, Datuk Baha Zain, Prof. Shaharir dll), entah-entah PM menggunakan ayat penyata bukan ayat perintah kpd Hishamudin makanya tidak tampak berbekas arahan PM itu, dan Hishamudin terus lantang berani membayangkan akan meneruskan PPSMI.

Tentang cerita Hishamudin seolah-olah baru bangun dari tidur sesudah 6 tahun kita menunjukkan penentangan dalam pelbagai bentuk, termasuk menemuinya di pejabatnya (ketika itu di Jalan Dato' Onn ketika ia masih Menteri Belia dan Sukan dalam regim Mahathir), saya akan membuat ulasan dalam media yang meminta saya berbuat demikian (segera akan disiapkan, insya-Allah) .

SALAM PERJUANGAN!

AS - Beijing




--------------------------------------------------------------------------------
From: ahmadfadzil yassin
To: awang sariyan
Cc: fadzil yassin
Sent: Saturday, March 7, 2009 11:53:36 PM
Subject: himpunan 100 ribu rakyat anti ppsmi

Sdr
sedikit mengejutkan apabila melihat pelbagai sepanduk ditampilkan dalam perhimpunan anti PPSMI hari ini. Walaupun matlamat himpunan tercapai, iaitu kita berjaya menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong. Namun setelah meilhat sepanduk-sepanduk yang dipamerkan, ia sedikit menggusarkan saya. Beberapa orang pejuang lama dan sudah veteran yang saya temui sebelum perarakan bermula di mesjid negara berbisik, "Himpunan bahasa kita ini bagaikan telah dihijack oleh parti-parti politik tertentu. Dan bukan lagi sepenuhnya dirancang NGO." Jika benarlah kata-kata mreka ini maka apa yang diulas oleh Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein hari ini bahawa ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dan "Mengapa sekarang tidak enam tahun dulu" mungkin akan membawa impak juga kepada orang ramai. Saya tak mahu komenlah tapi perjalanan yang sepatutnya 100 peratus diselenggarakan oleh NGO nampaknya sedikit tercemar.Kita perlukan sokongan mereka tetapi alangkahbaiknya jika mereka datang sebagai tidak mewakili parti, tetapi sebagai individu pejuang bahasa.

Tetapi ini hanyalah yang dapat saya fikirkan apabila berada bersama-sama mereka berark dari mesjid negara ke istana negara. Dalam perarakan itu saya turut terkena asap daripada gas pemedih mata dan memdihkan juga sehingga terhoyong hayang mencari air. Mujur juga ada pancutan dekat dengan Public Bank berhampiran Kg Atap. Dan ada orang berikan garam untuk dihisap. Seorang peserta terbaring di atas jalan d atas jejambat Jalan Mahameru berdekatan Bulatan Merdeka, mungkin terkena asap atau keletihan yang sangat.

Salam dari Kuala Lumpur.
afyassin
http://www.afyassin .com

Monday, 9 March 2009

SUARA AKAR UMBI TENTANG PPSMI: "DENGARLAH RAYUANKU!"

Isu PPSMI ke perhimpunan

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my

KOTA BHARU 8 Mac - Isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan dibincangkan dalam usul pendidikan ketika Perhimpunan Agung UMNO pada 24 sehingga 28 Mac ini.

Menurut Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, PPSMI sebelum ini sering dibincangkan di Kabinet dan peringkat Majlis Tertinggi parti.

Sehubungan itu, katanya, semua pandangan mengenainya telah dikumpulkan oleh parti dan akan dibincangkan dalam perhimpunan berkenaan.

''Kita tidak mahu orang kata UMNO tidak memperjuangkan bahasa Melayu, sedangkan sejak dari dahulu kita sentiasa mempertahankannya,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau, pada perhimpunan itu juga para perwakilan dijangka membincangkan mengenai isu raja-raja Melayu yang pada masa ini dipertikaikan oleh pihak pembangkang.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul memberitahu, sebanyak tiga usul akan dibahaskan pada perhimpunan tersebut iaitu ucapan presiden, ekonomi dan pendidikan serta agama.

Kata Muhyiddin, draf akhir usul tersebut telah siap dan akan diserahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan sebelum dibincangkan dalam mesyuarat terakhir Majlis Tertinggi.

Katanya, ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menjadi tumpuan kerana ia merupakan amanat terakhir sebelum beliau menyerahkan kuasa kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita sedar UMNO berada dalam keadaan mencabar dan usaha penambahbaikan serta meningkatkan semula imej di khalayak orang Melayu sedang diusahakan.

''Jadi perhimpunan agung ini akan menjadi medan untuk perwakilan mencurahkan idea dan pendapat,'' katanya.

Tambahnya, perhimpunan tersebut juga akan menjadi medan untuk meningkatkan semula imej Barisan Nasional yang kini berada dalam keadaan kritikal terutama parti-parti komponen lain yang hilang keyakinan daripada kaum Cina dan India.

Sementara itu, Naib Presiden, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dalam kenyataannya berkata, UMNO akan tetap mempertahankan kedudukan bahasa Melayu.

Sehubungan itu beliau yakin, isu PPSMI akan disentuh oleh perwakilan pada perhimpunan agung UMNO hujung bulan ini.

Beliau berkata, isu PPSMI sedang ditangani oleh pihak kerajaan dan tidak perlu mana-mana pihak mengadakan demonstrasi jalanan.

"Isu ini nampaknya cuba dieksploitasi oleh pihak pembangkang dan ia patut dihentikan segera," tegasnya. (petikan utusan malaysia 9 mac 09)

Komen:
Baguslah. Tapi janganlah nanti UMNO menggunakan whip-nya pula untuk menentukan siapa yang patut bercakap dan siapa yang tak boleh. Lebih penting jangan manipulasi angka dan petunjuk dan juga hasil kajian. Yang lebih penting suara akar umbi perlu diambil kira dan dipertimbangkan masak-masak. Sebabnya telah banyak kedengaran suara rakyat yang semakin "menyampah" cara pemimpin UMNO, terutama menteri pelajarannya bercakap tentang PPSMI. Sikap degil dan angkuh seperti bermaharajalela dalam kepalanya.

Bayangkan apabila menteri itu bercakap dan bertanya setiap kali muncul di TV: "Kenapa baru sekarang isu PPSMI ini dipersoalkan? Kenapa tidak enam tahun dahulu?" Betulkah. Atau menteri itu sedang mimpi di siang hari.

Sejak enam tahun lalu isu ini telah mula dipertikaikan terutama oleh pejuang bahasa, pendidik serta cendekiawan. Ungku Aziz sudah memberikan pendapatnya betapa sains dan matematik perlu diajar dalam bahasa ibunda. Seminar dan kongres sudah diadakan. Memorandum dihantar. Keputusan dibuat. Tapi semua hasil itu sama ada ditolak ke tepi, dibakulsampahkan atau disimpan dalam laci menteri dan pegawai kanan kementerian. Lalu mereka pun cuci tangan seolah-olah tidak ada isu yang ditimbulkan. Pendek kata "Semua berjalan lancar dan baik."

Sasterawan Negara,Datuk A. Samad Said ada resipi menangani isu ini. Seperti katanya, "Kita tunggu pilihanraya umum 2012." Maksudnya Kalau kerajaan masih berdegil dan menterinya masih bersikap angkuh,kita tentukan undi kita nanti. Bukan setaat lima negeri terlepas malah seluruh negara akan melihat perubahan yang drastik.

Kalaulah menteri ini atau menteri yang lain berkata bahawa pihak pembangkang memperalatkan orang ramai, apa salah ke? Paling-paling parti ini prihatin, tidak kiralah jika ada udang di sebalik batu dalam sokongan mereka. Apa pula yang parti kerajaan lakukan? Terus nak manipulasi angka dan hasil kajian? Bak kata orang putih asyik "nak cook answer" sahaja.

Perlembagaan Persekutuan Fasal 152 tentang bahasa Melayu telah diperkutak-katik oleh parti yang memerintah kerajaan pusat sendiri melalui kerja-kerja perhubungan awamnya (public relations at work). Pandangan umum dicipta untuk konsumsi orang ramai, memanipulasi dan mencelarukan pendapat; mahu meyakinkan rakyat bahawa PPSMI adaah untuk kepentinagan masa depan anak bangsa.

Setelah bercakap dan mendapatkan pandangan banyak orang dalam perhimpunan mansuh PPSMI 7 Mac lalu di masjid negara, kebanyakannya memberikan pandangan bahawa mereka datang berkumpul bukan kerana mereka anggota PKR atau PAS, tetapi mereka datang secara individu, mewakili diri sendiri yang benar-benar prihatin dengan nasib bahasa Melayu dan sistem pendidikan negara. Kata mereka, " Kami tak menentang bahasa Inggeris, Tapi ajarilah bahasa Inggeris dan tigkatkan penggunaannya dalam mata pelajaran yang sesuai, seperti mata pelajaran bahasa Inggeris itu sendiri atau Kesusasteraan Inggeris. Perkasa bahasa Inggeris dan janganlah peralatkan mata pelajaran sains dan matematik."

"Kami faham tujuan menggunakan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kedua-dua mata pelajaran ini dianggap mata pelajaran wajib dan perlu diikuti oleh semua pelajar. Jadi lebih luas jangkauan sasarannya. Namu begitu apalah sains dan matematik boleh lakukan dengan hanya simbol dan angka."

Kadang-kadang naik pelik juga. Apabila isu PPSMI ini mula timbul beberapa blan lalu, TV banyak menyiarkan pandangan mereka yang kurang senang dengan pelaksanaannya. Ada suara cendekiawan dan bijak pandai yang meminta kerajaan timbangkan semula. Ada suara tokoh-tokoh penting seperti Prof. diraja Ungku Aziz, Datuk Dr. Hassan Ahmad, Datuk Dr. Zainal Kling, Dr.Abdullah Hassan, Prof. datuk Shahril Mat Zain, Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dan Tan Sri Ismail Hussein. Mereka memberikan pandangan secara rasional dan wajar. Mereka juga prihatin dengan masa depan anak bangsa dalam pendidikan. Ada juga suara orang ramai yang memberikan pandangan pro dan kontra. tetapi sejak akhir-akhir ini suara rasional itu hilang digantikan dengan suara-suara sepihak. Semuanya menyokong dasar PPSMI manakala suara dan pertimbangan rasional dan wajar tiba-tiba sahaja lenyap, tidak disiarkan lagi. Apa cerita? Orang ramai telah mula mengalih tontonan. Begitu juga dengan media cetak yang telah mula menyiarkan pandangan, SMS dan surat-surat yang semuanya menyokong PPSMI.

Pemimpin perlu sedar orang ramai tidak lagi mudah diperdaya. Di Amerika Syarikat suara media perdana tidak lagi menjadi penentu dalam mencipta pandangan umum. Lebih berkuasa dan berkesan ialah suara media siber. Ini diakui oleh salah seorang calon presiden Amerika, Barack Obama yang menggunakan medium ini untuk berkomunikasi kepada orang ramai. Dan ia amat ampuh. Tokoh-tokoh paling berkuasa di Washington tidak lagi mampu membendung tsunami maklumat dalam kempen pemilihan presidn Amerika yang lalu.

Yang penting matlamat sampai. Dan dalam hal ini kelihatannya lebuhraya maklumat melalui korider raya siber adalah senjata paling berkesan dan paling mudah diperalat dan dimanfaatkan. Dan inilah yang perlu diperhatikan oleh semua, tidak terkecuali oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Usah perkecil kekuatan jaringan ini. Hasilnya telah dirasakan dalam Pihanraya umum baru-baru ini.

Sunday, 8 March 2009

SELESAIKAN ISU PPSMI DENGAN SEGERA, DESAK PAK LAH.


Turut berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara ialah Dato' Seri HadiAwang, SN Dato' A. Samad Said dan Nasharuddin Mat Isa. Foto A.F.Yassin.
PM jamin ambil kira desakan rakyat

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu Kementerian Pelajaran mengambil keputusan segera berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bagi mengelakkan isu lebih besar tercetus.

Perdana Menteri berkata, kerajaan menyedari ada desakan kuat daripada rakyat, khususnya orang Melayu supaya isu PPSMI diselesaikan segera.



"Isu PPSMI ini sudah menjadi isu yang besar dan sensitif. Kerajaan mengakui desakan rakyat dan mengambil perhatian terhadapnya.

"Saya berharap Kementerian Pelajaran mengambil keputusan segera kerana jika tidak, tekanan dan tindakan NGO (badan bukan kerajaan) akan berterusan dan menjadi lebih besar lagi," katanya pada sidang media selepas melancarkan novel fantasi Dragonfire Hammer karya penulis muda berusia 14 tahun, Adam Umemoto, di sini semalam.

Petang semalam, perhimpunan membantah pelaksanaan PPSMI di ibu kota yang disertai ribuan penyokong, bertukar kecoh apabila kumpulan berkenaan berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum bantahan, walaupun Polis Kuala Lumpur sebelum ini hanya membenarkan mereka berkumpul di Masjid Negara. (Berita Minggu, 8 Mac 09)

Komen:
Apabila Perdana Menteri memberikan komentarnya berhubung ribuan yang berarak menyokong pemansuhan PPSMI (pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik di sekolah dalam bahasa Inggeris)maka yakinlah bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Bagaikan telah wujud perbalahan pendapat antara perdana menteri dan menteri pelajaran. Saya tak yakin perdana menteri bukan setakat melepaskan batuk di tangga. Dan saya yakin menteri pelajaran memiliki komimen total terhadap dasar PPSMInya.

Mesej tersiratnya daripada percanggahan pendapat ini ialah perdana menteri dan menteri pelajaran sedang menghala arah tuju masing-masing berhubung dengan agenda PPSMI. Perdana menteri ahu masalah PPSMI diselesaikan secepat mungkin manakala menteri pelajaran masih lagi mahu "slow and steady". Masih punya banyak waktu dan kalau pun diputuskan sekarang ia akan dilaksanakan tahun depan. Ertinya masih banyak waktu untuk meredakan perjuangan anti-PPSMI ini kerana biasanya "orang Melayu mudah lupa."


Keranda 152 diarak semula setelah 42 tahun diarak di pekarangan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1967. Foto oleh A.F.Yassin

Lazimnya jarang sekali kita dengar seorang menteri tidak sekata dengan perdana menteri, iaitu bosnya. Tapi kelihatannya seperti ada pengecualian dalam hal PPSMI ini. Dan jika direnungkan secara mendalam maka akan terserlah apa yang disebut keazaman politik yang berbeza antara perdana menteri dengan menteri pelajaran.

Hal ini tidaklah pelik sangat. Kita tahu perdana menteri akan melepaskan jawatannya sebagai pemimpin UMNO dan Barisan Nasional akhir bulan ini. Beliau akan diganti timbalannya, iaitu Dato' Seri Najib Tun Razak. Menteri Pelajaran tentunya telah mencongak-congak masa depan kerjayanya dalam politik. Menteri pelajaran itu akan bergantung banyak kepada bos barunya selepas Mac 2009. Barangkali menteri pelajaran ini akan mengambil iktibar daripada pengalaman masa lalu dalam kepimpinan UMNO. Masihkah kita ingat akan kerja politik dua tokoh pemimpin UMNO dan hubungan antara kedua-duanya, iaitu Tun Razak dan Tun Hussein. Orang politik tahu benar hubungan antara kedua-duanya sehingga melahirkan timbalan perdana menteri sekarang dan menteri pelajaran sekarang.


Sebahagian peserta yang berarak dari mesjid negara ke Istana Negara pukul 2.30 petang 7 Mac 09. Foto ditakam A.F.Yassin berhampiran bangunan Koperasi Polis Kuala Lumpur, menuju Jalan Syed Putra.

Maka tidak keterlaluan jika dikatakan menteri pelajaran sekarang akan bergantung harap kepada bos barunya nanti dan tidak lagi kepada bosnya yang sekarang. Cerah masa depan kot! . Bukankah daripada hubungan kekeluargaan kedua-dua tokoh ini adalah rapat. Mereka sepupu. Masakan hubungan sepupu tidak dapat salng mendukungi.

Atas dasar inilah mungkin manteri pelajaran kelihatannya boleh berkepak sekarang dan mempunyai cara berfikir yang berbeza tentang PPSMI ini. Barangkali dalam fikirannya menteri pelajaran ini berfikir siapalah "Pak Lah selepas 31 Mac 09." Sementelah pula pernah terdengar desas-desus beberapa ketika yang belum lama, perdana menteri telah memberi lampu hijau untuk menyambung kontrak seorang ketua pengarah sebuah agensi kerajaan yang bertugas dalam sebuah organisasi bahasa dan sastera yang terletak di bawah kementerian pelajaran, tiba-tiba sampai sekarang (setelah setahun kemudian)"lampu hijau" perdana menteri tidak diterjemahkan ke dalam bentuk pelaksanaan. Ertinya sambungan kontrak ketua pengarah itu tidak diuruskan. Orang baru pula yang dilantik. Demikianlah orang mengaitkan hubungan antara perdana menteri dan menteri pelajaran ini.

Maka dalam hal PPSMI ini setiap orang yang mencintai bahasa Melayu, yang menjunjungi keluhuran Perlembagaan (Fasal 152) perlulah berbuat sesuatu supaya seperti kata perdana menteri agar ia tidak terus berlanjutan. Paling mudah pelobi pejuang bahasa perlu bertindak mendekati atau memujuk para perwakilan UMNO ke persidangan tahunannya akhir Mac ini, terutama yang akan menjadi pembicara (pemidato)menghuraikan kehendak rakyat akar umbi. Bercakaplah tentang baik buruknya dasar PPSMI ini yang dianggap sesetengah persatuan mahasiswa sebagai "dasar karut."

Pastikan calon yang menyokong PPSMI tidak dipilih dalam pemilihan Ahli Majlis tertinggi atau sebarang jawatan. Berusahalah untuk mencipta pendapat umum dalam kalangan orang UMNO sehingga tokoh-tokoh yang tidak memilik semangat juang Melayu dan kebangsaan dipinggirkan. Masih ada masa untuk berbuat demikian. Ramai yang faham bahawa isu PPSMI ini telah banyak diputarbelitkan demi politik mereka sendiri.

Salah satu yang uar-uarkan oleh menteri pelajaran ialah seperti katanya, "Mengapa baru sekarang hendak dibincangkan isu ini setelah enam tahu dilaksanakan?" Padahal, tokoh bahasa, pendidik dan dan cendekiawan telah mengadakan pelbagai pendekatan seperti persidangan seminar dan mesyuarat yang tentunya dihadiri pegawai-pegawai dari kementerian pelajaran untuk mengkaji dan menganalisis baik buruknya dasar PPSMI ini. Ada yang mendakwa segala fakta yang diberikan kementerian itu hari ini adalah tidak tepat. Fakta menjurus kepada keputusan untuk mewajarkan penerusan dasar PPSMI.

Perhimpunan yang diadakan semalam jelas menunjukkan kehendak majoriti, arah tuju dan tuntutan orang ramai. Ratusan pertubuhan NGO, tidak terkecuali parti-parti politik mahukan kerajaan, khususnya kementerian pelajaran melaksanakan tuntutan empat perkara mereka, iaitu 1. Daulatkan bahasa Kebangsaan; 2. Selamatkan bahasa ibunda; 3. Tingkatkan pengajaran bahasa Inggeris di sekolah; dan 4. Mansuhkan PPSMI.

Akar umbi dalam UMNO mempunyai tugas berat sekarang. Para perwakilan ke sidang UMNO hujung Mac ini mempunyai tugas kritikal. Pastikan calon-calon yang masih berdegil untuk tidak mendengar keluhan akar umbi dipinggirkan (tersingkir). Masih ramai lagi calon yang mempunyai semangat juang untuk mendaulatkan bahasa dan sekurang-kurangnya patuh kepada Perlembagaan Persekutuan dengan tidak melanggarnya. dan oleh kerana para perwakilan bukan lagi seperti "lembu dicucuk hidung" maka ramai yang percaya sesuatu kejutan mungkin juga akan berlaku akhir Mac ini di PWTC.

Thursday, 5 March 2009

FASAL 152: USMAN AWANG MENCIPTA "MALAM DI BALAI BUDAYA"


Keranda 152, sempena Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan menganai Bahasa.

Puisi ini dicipta Allahyarham Usman Awang pada 3 Mac 1967 ketika Parlimen membahaskan Rang Undang-Undang Bahasa berkaitan dengan Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan. Pada masa itu Tun Syed Nasir ialah Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka. Dalam perhimpunan yang diadakan di Balai Budaya itu Syed Nasir hanya mampu bercakap dalam beberapa patah perkataan sahaja. Suaranya tak keluar, kerongkongnya tersekat, beberapa titis air matanya mengalir.

Katanya, "Saya menangis, bukan kerana takut, tetapi air mata ini lahir dari keharuan hati sanubari saya mengenangkan nasib bangsa saya. Saya tak boleh buat dan bercakap apa-apa sekarang ini. Saya terikat. Bila suatu hari nanti saya tidak terikat lagi, saya akan hamburkan kepada rakyat. Sekarang ada usaha yang hendak menghancurkan saya, menghina saya..." Suara Syed Nasir tenggelam dalam tepuka dan jetitan yang menyatakan sokongan, menyatakan rakyat berdiri di belakang Syed Nasir...

Demikian antara lain catatan Usman Awang, setahun sesudah beliau mencipta puisi Malam Di Balai Budaya seperti yang saya sematkan di bawah ini.

MALAM DI BALAI BUDAYA
Oleh Usman Awang


Penyair Usman Awang

Malam itu di Balai Budaya
Api dan Airmata


Malam itu di Balai Budaya
Seorang guru tua berbicara
“Berarak ke parlimen, aku di muka.”

Malam itu di Balai Budaya
Seorang peguam muda berkata
“Bakar perlembagaan 152.”

Malam itu di Balai Budaya
Seorang pemuda berteriak
“Ayuh, mari kita berarak.”

Malam itu di Balai Budaya
Para pelajar berikrar
“Dada kami sedia dibakar.”

Malam itulah juga
Parlimen jadi pertanda
Memenggal leher BAHASA.

3 Mac 1967.


Puisi Malam Itu Di Bi Balai Budaya

Setahun setalah puisi ini dicipta Usman melihat Rang Undang-Undang yang diluluskan itu, keadaan "telah membuktikan kepada kita pelaksanaan bahasa Melayu baik sebagai bahasa rasmi baik sebagai bahasa kebangsaan jauh lebih mundur dari saat-saat sebelumnya."

Hari ini, 5 April 2009, kita akan melihat keadaan semain suram. Ramalan Usman Awang lebih 40 tahun dahulu itu semakin menjadi nyata. Seperti katanya ketika itu, "Tahun demi tahun sejarah yang bakal dilalui oleh kita dan bahasa Melayu akan merakamkan kebenaran yang sebenarnya. Dan apa yang paling penting pada setiap pencinta dan pejuang bahasa, mereka tidak seharusnya menyerah kepada keadaan dan tunduk pada sebarang tekanan. Perjuangan ini belum selsai. Belum selesai..."

Hakikatnya demikianlah bahasa kebangsaan kita hari ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

FAMILY BLOGS

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
With Tan Sri Dol Ramli, Ex-Director General (RTM) at his residence, Bukit Ampang, KL..

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
Sharing a light moment with Tun salleh Abbas at his residence in Kuala Lumpur.

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983
Dato' Dr. Firdaus Abdullah chairing the session, with Dr. Sulaiman Masri (extreme right) and Haji Jajuli Abd. Rahman (second from right).