WELCOME TO THE BORDERLESS WORLD OF POSSIBLITIES!

How about sharing your slants and perspectives - left, right, up above or down below!?

Tuesday 11 November 2008

PITA POLITIK (89): MENUNGGU PERDANA MENTERI BUKAN MELAYU DI MALAYSIA!


Menteri Luar, Dato' Seri Dr. Rais Yatim: "Singapura lebih realistik."
Bukan Cina tak boleh jadi PM Singapura realistik – Rais

Oleh ZULKIFLI JALIL

PUTRAJAYA 10 Nov. – Pendirian kepimpinan Singapura yang menegaskan republik itu belum bersedia memilih Perdana Menteri bukan Cina dalam tempoh terdekat menunjukkan penduduk negara itu sebenarnya bersikap realistik terhadap politik majoriti dan perkauman.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, berdasarkan pendirian itu, seluruh rakyat Malaysia juga seharusnya menerima hakikat bahawa majoriti yang memegang tauliah politik di negara ini ialah orang Melayu.

Menurut Rais, sejak tertubuhnya UMNO yang menjadi tulang belakang politik Malaysia pada 1946, orang Melayu merupakan kaum yang mempunyai kuasa politik terbesar.

‘‘Perdana Menteri Singapura (Lee Hsien Loong) sendiri mengakui belum sampai masanya orang Melayu (di Singapura) menjadi Perdana Menteri. Di Malaysia, inilah juga hakikat yang perlu dilihat.

‘‘Saya berani katakan bukan Melayu pun belum sampai masanya menjadi Perdana Menteri di Malaysia dan ia tidak akan menjadi kenyataan sebab majoriti tenaga politik di sini ialah Melayu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Calon Naib Presiden UMNO itu ditanya pandangannya mengenai kenyataan Hsien Loong bahawa Singapura yang mempunyai penduduk berbilang kaum berjumlah lebih 3.5 juta orang belum bersedia memilih Perdana Menteri bukan Cina dalam tempoh terdekat.

Hsien Loong membuat kenyataan tersebut kelmarin semasa dialog dengan anggota masyarakat Melayu di republik itu sebagai menjawab soalan sama ada pemilihan Barack Obama sebagai Presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat (AS) bermakna anggota kaum minoriti di Singapura turut berpeluang menjadi Perdana Menteri.

Rais yang merupakan pakar Perlembagaan Persekutuan berkata, hakikat bahawa orang Melayu adalah pemegang kuasa politik Malaysia tidak boleh dilenyapkan begitu sahaja.

Kata beliau: ‘‘Pihak-pihak lain mesti akur dengan apa yang telah diehsankan oleh kontrak sosial.

‘‘Kita sudah ehsankan hak-hak mereka (kaum-kaum lain), maka tidak harus ada pihak yang seolah-olah bersikap buta tuli tentang perkara-perkara sensitif yang harus dilenyapkan hanya semata-mata kerena mereka menjangkakan UMNO telah lemah ketika ini.”

Kemenangan Obama di AS mencetuskan analisis politik di kalangan pihak tertentu di negara ini sehingga ada suara pemimpin bukan Melayu yang mahukan bukan Melayu diberi peluang menjadi Perdana Menteri.

Khamis lalu, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, sudah sampai masanya bagi rakyat Malaysia membebaskan diri mereka daripada belenggu isu perkauman.

Dengan mengambil Obama sebagai contoh, Tee Keat berkata: ‘‘Sedihnya di Malaysia, kita masih berbalah dalam soal remeh berhubung pelantikan seorang wanita Cina sebagai Pemangku Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).”

Tindakan kerajaan negeri Selangor yang diterajui Pakatan Rakyat melantik Low Siew Moi sebagai Pemangku Pengurus Besar PKNS dipersoalkan banyak pihak kerana dikatakan tidak memenuhi aspirasi penubuhan PKNS bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi bumiputera.

syarat bukan melayu jadi perdana menteri
permintaan kaum bukan Melayu untuk memegang jawatan tertinggi dalam Kerajaan Persekutuan Malaysia bukan isu baru.

Beberapa tahun lalu, kaum itu juga pernah meminta dipertimbangkan supaya jawatan Timbalan Perdana Menteri Kedua diwujudkan untuk diisi oleh pemimpin bukan Melayu. Tetapi permintaan itu akhirnya ditolak.

Kini dengan kemunculan Barack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat yang pertama dipilih daripada keturunan bukan kulit putih, tiba-tiba ia menjadi inspirasi kepada pemimpin bukan Melayu untuk membangkitkan semula isu jawatan tertinggi negara.

Tetapi sekarang bukan meminta kerusi nombor dua, sebaliknya jawatan Perdana Menteri.

Sebelum permintaan itu dibuat, kita minta pemimpin dan penyokong idea itu memikirkan hakikat dan latar belakang pembinaan negara bangsa Malaysia dengan negara lain.

Malaysia adalah sebuah negara yang unik dan sukar untuk dicari persamaannya di dunia.

Memang ada negara membangun mahupun negara maju telah mempunyai Presiden atau Perdana Menteri daripada kaum minoriti dan bukan penduduk asal negara itu.

Hal ini boleh berlaku apabila pemimpin bukan pribumi negara itu dapat mengasimilasi dengan menerap budaya, bahasa dan adat resam penduduk majoriti. Tetapi, bagaimana sikap pemimpin dan kaum bukan bumiputera di negara kita apabila usaha untuk mewujudkan dasar satu bahasa dan usaha mengagih kek ekonomi negara dengan saksama.

Kita percaya, orang Melayu tidak ada masalah untuk menerima kaum Cina misalnya, sebagai perdana menteri. Tetapi ia ada syarat.

Syaratnya kaum bukan Melayu itu perlu bersedia sepenuhnya untuk menerima dan mempertahankan dasar-dasar yang termaktub dalam Perlembagaan dan menjadi bangsa Malaysia sejati seperti yang ditunjukkan oleh kaum Cina di Indonesia dan Thailand.

Seperkara lagi, selagi masalah penyusunan masyarakat negara ini belum tercapai, agak sukar hasrat membuka ruang untuk melantik Perdana Menteri daripada bukan Melayu boleh menjadi kenyataan.

Malaysia perlu mencari pemimpin bukan Melayu yang ikhlas memperjuangkan ataupun sekurang-kurangnya mengekalkan apa yang termaktub dalam Perlembagaan negara. Maknanya, beliau perlu memahami jiwa orang Melayu dahulu.

Orang Melayu perlu diberikan keyakinan bahawa perkara yang menyentuh masa depan kaum bumiputera tidak boleh diganggu gugat.

Selagi keyakinan itu tiada, jangan letakkan harapan tinggi bahawa orang Melayu akan merelakan masa depan mereka diterajui oleh kaum lain.

Hal ini bukan sahaja dirasai oleh Malaysia tetapi juga Singapura. Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong sudah menyatakan kelmarin bahawa republik itu belum bersedia untuk memilih Perdana Menteri bukan Cina dalam tempoh terdekat.

Di sana, bukan sahaja peluang untuk melihat orang Melayu dipilih menjadi Perdana Menteri jauh panggang daripada api, malah untuk muncul sebagai wakil rakyat pun wujud banyak halangannya. (Utusan Malaysia Online, 11 November 08)

Komen:

Di Amerika Syarikat yang dianggap sebuah negara pelbagai peluang (the land of opportunities) proses asimilasi dianggap pra-syarat untuk membolehkan warganegaranya menjawat apa sahaja jawatan awam, tidak terkecuali jawatan presiden. Dan ini dijamin oleh Perlembagaannya.

Di Malaysia jangankan hendak melaksanakan proses asimilasi dalam kalangan rakyatnya yang berbagai kaum begitu sukar dilakukan proses akomodasi juga tidak begitu berjaya. Setiap kaum terlalu tebal dengan semangat perkauman masing-masing. Apa sahaja aspek kehidupan semuanya dilandaskan kepada kaum.

Dalam Perlembagaan, misalnya ada pasal tentang penggunaan bahasa kebangsaan untuk tujuan perpaduan. Tetapi siapa peduli dan siapa yang benar-benar ikhlas untuk patuh kepada pasal itu. Apatah lagi dalam hal-hal yang melibatkan politik, budaya dan pendidikan.

Selagi aspek-aspek politik dan sosial-budaya ini masih berlandaskan kaum, selagi aspek-aspek ini tidak diberi perhatian, maka tidak usah mengharaplah rakyat Malaysia akan mampu mencontohi rakyat Amerika Syarikat. Jangankan hendak melaksanakan proses asimilasi malah hendak melaksanakan proses akomodasi pun begitu sukar.

Singapura telah bersuara seperti yang dijelaskan Perdana Menterinya, bahawa tidak mungkin suku kaum bukan Cina boleh memegang jawatan perdana menteri. Malah hendak menjadi wakil rakyat pun susah. Indonesia yang rakyatnya hampir homogen dan proses asimilasi dalam kalangan rakyat lebih dominan, itu pun amat sukar mencontohi Amerika Syarikat. Apakah Malaysia boleh!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

FAMILY BLOGS

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
With Tan Sri Dol Ramli, Ex-Director General (RTM) at his residence, Bukit Ampang, KL..

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
Sharing a light moment with Tun salleh Abbas at his residence in Kuala Lumpur.

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983
Dato' Dr. Firdaus Abdullah chairing the session, with Dr. Sulaiman Masri (extreme right) and Haji Jajuli Abd. Rahman (second from right).