WELCOME TO THE BORDERLESS WORLD OF POSSIBLITIES!

How about sharing your slants and perspectives - left, right, up above or down below!?

Friday 30 July 2010

ANTARA PERKASA DENGAN API DALAM SERKAM PERKAUMAN!


Kongres Rumpun Melayu di Johor Bahru pada 10 - 13 September 2004 anjuran Kerajaan Negeri Johor, Gapena dan beberapa NGO yang lain. Oleh kerana kedudukan orang Melayu tidak begitu terancam maka penganjuran kongres hanya sekadar kegiatan biasa,tidak seperti kegiatan anjuran Perkasa hari ini. Bagaikan Perkasa hari ini memiliki azam politik dalam kalangan NGO Melayu. Gambar A.F.Yassin
Memahami kedudukan Perkasa
SETELAH "perang mulut" antara presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan Timbalan Menteri Pelajaran Dr. Wee Ka Siong mula reda, badan sukarela bukan kerajaan (NGO) Melayu itu telah mendapat kecaman pula dalam sidang Dewan Negara Selasa yang lalu. Kecaman itu disuarakan oleh Senator Datuk Daljit Singh dari MIC.

Daljit Singh menuduh "Presiden Perkasa sentiasa membangkitkan isu-isu yang sangat sensitif dan menyakitkan hati masyarakat lain di Dewan Rakyat".

Saya mendapat kesan bahawa kecaman (tuduhan) senator itu adalah satu kenyataan yang terlalu umum sifatnya dan sengaja dibuat untuk memberi gambaran seakan-akan kerja Perkasa hanya membangkitkan isu-isu yang sensitif dan menyakitkan hati orang bukan Melayu.

Sebagaimana sesetengah pihak yang senantiasa ghairah mengecam Perkasa, Daljit seakan-akan beranggapan apa sahaja yang dibuat atau disebut Perkasa adalah untuk menyakitkan orang bukan Melayu.

Beliau seakan-akan beranggapan bahawa tugas Perkasa hanyalah untuk melakukan provokasi dan ternyata Daljit tidak memahami hakikat bahawa kemunculan Perkasa yang sebenarnya adalah satu reaksi (bukan untuk melakukan provokasi) terhadap rasa keterpinggiran dan kebimbangan bangsa Melayu akibat kedudukan politik dan sosio-ekonomi mereka semenjak akhir-akhir ini semakin tercabar.

Sesungguhnya berikutan keputusan pilihan raya umum ke-12 yang lalu orang Melayu merasa bimbang dengan 'kelesuan' UMNO yang selama ini merupakan satu tenaga politik utama yang membela dan memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu dari segala segi.

Di samping itu, sebahagian besar bangsa Melayu juga merasa keliru dan 'terpinga-pinga' bila Pas dan PKR bersekongkol dengan DAP yang selama ini tidak henti-hentinya melakukan provokasi terhadap bangsa Melayu, malah ada antara pemimpinnya yang tidak segan silu menghina kedaulatan raja-raja Melayu.

Rasa keterpinggiran dan kebimbangan tersebut diungkapkan dengan tepat oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri dalam Perhimpunan dan Sidang Kemuncak Pribumi Perkasa pada Mac 2009 di Kompleks Sukan TNB, Bangsar, Kuala Lumpur.

Sokongan yang diberikan terhadap pelbagai inisiatif Perkasa, kata Tun Mahathir, adalah kerana orang Melayu dan bumiputera lain berasa "dalam keadaan cemas, keadaan yang berbahaya, keadaan terancam."

Seterusnya Tun Mahathir menegaskan: "Kenapa tidak? Kita kini diserang berkali-kali oleh berbagai pihak. Ramai daripada orang lain berkata Melayu adalah kaum pendatang. Melayu dituduh mengamalkan apartheid ala kulit putih Afrika Selatan. Melayu tidak adil, suka menidakkan hak kaum-kaum lain. Melayu sudah cukup kaya dan tidak perlu Dasar Ekonomi Baru lagi. Semua peluang perniagaan dan pelajaran diberi hanya kepada orang Melayu.

"Berhadapan dengan tuduhan dan tohmahan sedemikian, Melayu sekarang tidak boleh mempertahankan diri, bahkan tidak boleh bercakap berkenaan dengan bangsa mereka tanpa dituduh sebagai racist.

"Mereka harus terima sahaja semua tuduhan/tohmahan ini dan berdiam diri atau bersetuju sahaja. Sebenarnya orang Melayu sekarang berada dalam ketakutan, tidak mempunyai pemimpin yang sanggup pertahankan mereka.

Sebaliknya pemimpin mereka mengerohkan lagi keadaan dengan memohon maaf walau pun kesalahan dilakukan oleh orang lain," tegas Tun Mahathir lagi.

Saya rujuk kembali ucapan Tun Mahathir tersebut sewaktu cuba hendak memahami 'pemikiran' Senator Daljit Singh yang membuat tuduhan terhadap Perkasa yang dikatakannya "menyakitkan hati masyarakat lain."

Kesimpulan saya ialah Daljit dan orang yang sefikiran dengannya, tidak tahu (dan tidak mahu tahu) betapa sakitnya hati orang Melayu bila diperlakukan seperti yang dihuraikan oleh Tun Mahathir itu.

Saya syak bahawa Daljit bercakap secara am dengan tujuan menjejaskan kredibilitti Perkasa dan Ibrahim Ali. Kerana itu, semasa dia berucap, saya mencelah dan meminta beliau memberi contoh-contoh yang spesifik.

Jawapan yang diberikannya dalam Dewan Negara itu ialah seperti berikut. Dengan menggunakan bahasa rojak mencampur adukkan bahasa kebangsaan dengan bahasa Inggeris, Daljit berkata: "Saya telah memberi satu daripada isu itu seperti kewarganegaraan kaum lain.

Ada banyak yang kita boleh bercakap dan selalu dikata-katakan, I am sure you read all the papers and I come to the Dewan Rakyat myself, I heard it myself in their issues." Demikian tercatat dalam penyata rasmi persidangan (hansard) Dewan Negara.

Tersirat di belakang semuanya itu ialah kewibawaan dan kredibiliti Perkasa akan terus mendapat serangan daripada pelbagai pihak yang hendak menggodam Melayu.

Oleh kerana itulah bangsa Melayu mesti memahami kedudukan Perkasa dalam perspektif 'sayang betul' agar bangsa Melayu tidak menjadi mangsa taktik - 'pecah-pecah dan perintah' pihak-pihak tertentu." Dipetik dari Utusan Malaysia, 30 Julai 2010

Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah ialah Pakar Rujuk di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.


Dua bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dato' Aziz Deraman (kiri) dan Datuk Dr. Senator Firdaus Abdullah: Aziz kini salah seorang orang kuat Gapena, semntara Firdaus mantan Pengersi Persatuan Penulis Nasional (Pena).Gambar A.F.Yassin

Komen: Tak perlu komen sebenarnya kerana apa yang ditulis Senator yang juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka itu ada kewajarannya. Hanya sekadar mengingatkan kita kepada sejarah Malaysia era moden. Dahulu pada tahun 1965, PM pertama, Tunku Abdul Rahman, yang dianggap terlalu "bertolak ansur" dalam tindakan politiknya, telah meminta Singapura keluar daripada Malaysia. Kalau mengikut istilah orang muda sekarang Tunku ketika itu dianggap "lembik" dan disamakan dengan sikap PM Ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Selembik-lembik Tunku, ada juga ketegasannya, sehingga Singapura "terpancut" dari Malaysia. Kemudian Tunku juga pernah memecat bekas PM Tun Mahathir Mohamad daripada UMNO bersama Tun Musa Hitam kerana dianggap "mngkhianati" UMNO. Hanya apabila salah sebuah parti politik bertindak memperlekeh orang Melayu akibat keputusan Pilihanraya Umum Tahun 1969, barulah Tunku "menyerah kalah". Beliau terpaksa meletak jawatan dan digantikan oleh Tun Abd. Razak sebagai PM Ke-2.

Maka timbullah masalah politik yang semakin mencemaskan hari ini. Sayangnya menteri yang mempunyai wewenang, kebijaksanaan dan dianggap perlu mempamerkan ketegasan telah digelar "Menteri Amaran" oleh banyak pihak terutama oleh golongan media baru a.k.a. bloger. Pergeseran politik yang semakin mula menampakkan tanda bahaya dan cemas sekarang ini pun masih dianggap wajar oleh menteri berkenaan. Hari ini menteri berkenaan masih juga bercakap dalam nada wajarnya dan setakat memberi amaran. Seperti katanya, Politik ada batasnya." (Lihat UM 30 Julai 2010). Malah seorang bloger, yang juga Ahli Parlimen yang baru-baru ini keluar parti menjadi Anggota Bebas di Parlimen lebih tegas dan membuat saran agar parti yang bersifat perkauman melampau diambil tindakan oleh Pendaftar Pertubuhan.

Maka di sini kita melihat ada dua pandangan yang saling bertentangan. Satu dari Menteri Amaran dengan politik ada batasannya dan satu lagi dari Anggota Parlimen Bebas yang mahu tindakan drastis diambil kepada parti pengamal perkauman melampau. Yang mana satu yang perlu diberikan keutamaan: Saran menteri amaran atau anggota parlimen bebas? Dan di mana pula dengan pandangan Perkasa ketimbang parti-parti politik hari ini? Kerana, Perkasa hanya organisasi yang NGO sifatnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

FAMILY BLOGS

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
With Tan Sri Dol Ramli, Ex-Director General (RTM) at his residence, Bukit Ampang, KL..

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
Sharing a light moment with Tun salleh Abbas at his residence in Kuala Lumpur.

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983
Dato' Dr. Firdaus Abdullah chairing the session, with Dr. Sulaiman Masri (extreme right) and Haji Jajuli Abd. Rahman (second from right).