WELCOME TO THE BORDERLESS WORLD OF POSSIBLITIES!

How about sharing your slants and perspectives - left, right, up above or down below!?

Monday 23 April 2012

INGIN JADI PENGRANG DAN PENERBIT SEKALIGUS? TIP INI MUNGKIN BERGUNA..

Empat sahabat dari kiri Maarof Saad (Allahyarham), Dr. Abd. Rahman Kaeh, Prof. dato' Dr. Hashim Awang dan Dr. Othman Puteh di dalam feri sedang menuju Pulau Semusir di tengah-tengah Danau Toba. perjalanan mengambil masa 20 minit. Hanya Maarof Saad yang berjaya menjadi penerbit di samping sebagai penyair. Buku terbitannya Kelapa Nan Sebatang (kumpulan cerpen) menjadi buku teks di peringkat SPM. Salah seorang editor yang diambil bertugas ialah Ali Majod (Allahyarham0 yang mengendalikan buku Kanak-kanak dan remaja.

CATATAN A.F.YASSIN

Perlu teliti aspek hukum kalau terbit buku

Sekarang orang tidak lagi ghairah menjadi penerbit buku atau majalah. Tidak seperti halnya pada tahun-tahun 1980an dahulu. Ketika itu penerbit muncul macam cendawan selepas hujan kerana memanfaatkan semakan semula kurikulum sekolah. Ada kurikulum baru untuk sekolah rendah dan kemudian ada pula kurikulum baru sekolah menengah. Bagaimanapun statistik ketika itu menunjukkan banyak yang mengelak daripada menerbitkan buku umum dan akademik. Oleh kerana tidak ada lagi semakan kurikulum, maka banyak penerbit “cendawan” ini telah beralih arah. Seorang teman penerbit bercerita dia telah lama meninggalkan didang itu dan kini menumpukan kerjaya dalam bidang pengangkutan awam. Seorang lagi meninggalkan dunia penerbitan dan terus kekal menjadi seorang akedamik. Kini dia seorang pensyarah di sebuah universiti di negara jiran. Maka yang tinggal hanya penerbit bukan musiman yang sememangnya telah wujud lama. Penerbit ini ditubuhkan atas dasar mahu melihat satu tradisi penerbitan yang berkekalan.

Menariknya, dalam keadaan yang serba tidak menentu dalam kerjaya sebagai penerbit ini masih ada  yang mahu menjadi penerbit. Lebih menarik lagi apabila dia menjelaskan niatnya untu  “terjun” ke dalam bidang penerbitan buku-buku sastera dan umum. Dia tidak sebut pun tentang ura-ura menerbitkan buku sekolah atau yang ada kaitannya dengan sekolah. Hal ini mungkin disebabkan minatnya bekerja sebagai wartawan sebelumnya. Setelah bersara dia menjadi penerbit dan begitu ghairah menerbitkan buku-buku yang umumnya sukar dipasarkan. Namun dia cuba mempelbagai siri terbitannya, mengikuti trend penerbit yang melihat ada “sinar cerah” dalam penerbitan buku-buku yang bertamakan misteri dan yang membawa persoalan remaja.. Penerbit ini juga bercadang mengeluarkan buku-buku yang ada kaitannya dengan wanita, seperti buku memasak. Oleh kerana minatnya dalam bidang kesusasteraan, maka penerbit ini mahu menjadikannya sebagai “flagship”nya. Dalam satu brosurnya, terdapat ungkapan “mahu memartabatkan bahasa dan sastera.” Penerbit ini baru sahaja selesai mengendalikan satu peraduan mengarang novel yang ada kaitannya dengan persoalan remaja. Pemenang telah diumumkan dan diraikan. Hanya tinggal menunggu bukiu-bukunya terbit. Dalam pada itu, penerbit ini sedang dalam proses menyiapkan sebuah antologi puisi 100 penyair.

Khabarnya sambutan begitu hangat, baik dari kalangan penyair mapan, mahupun mereka yang sedang mengasah bakat. Antologi ini bakal diterbitkan dalam sebulan dua ini. Usaha ini sememangnya baik dan terpuji, apatah lagi pada saat-saat ramai yang meminggirkan bidang ini. Seorang penulis pernah berkata bahawa penerbit ini patut diberi penghormatan kerana “Kedegilan”nya mahu terus menerbitkan buku-buku yang bagi kebanyakan penerbit lain tidak lagi memberi keutamaan. Kata penulis itu, “Saya berharap penerbit kita itu akan berjaya. Cuma saya nak tahu boleh pulang modal ke menerbitkan buku seperti ini? Kita dah dengar Dewan Bahasa sendiri pun susah nak dapat balik modalnya bila menerbitkan antologi puisi.” Tanpa menunggu jawapan kepada soalanya itu, penulis itu menambah, “Tapi seperti yang kau kata tadilah, mungkin penerbit ini betul-betul nak memartabatkan sastera dan menambah judul dalam khazanah sastera kita. Kalau itu tujuannya, memang baiklah.”

Soal pulangan satu perkara. Yang lebih diberikan perhatian bukan masalah mendapatkan bahan atau pun menerbitkan, tetapi soal peraturan menerbitkan buku antologi seperti ini. Lazimnya, jika sesuatu judul itu mengandungi karya ramai penulis, ia perlu mengambil kira perkara yang ada kaitannya dengan hukum-hakam. Misalnya, penerbit mapan akan begitu berhati-hati dan membuat persediaan rapi supaya tidak ada sebarang tindakan undang-undang boleh dikenakan setelah antologi terbit. Paling utama penerbit akan meminta komitmen dan pertanggung jawaban daripada penulis (penyumbang) karya dalam bentuk surat akuan bertulis bahawa karya yang disumbangkan itu benar-benar karyanya sendiri dan belum pernah dibukukan oleh mana-mana penerbit. Sekiranya karya itu telah dibuku dalam bentuk antologi, baik persendirian mahupun bersama, penyumbang perlu meminta izin bertulis daripada penerbit yang membukukan karyanya. Ini penting kerana hak menerbit karyanya masih di bawah pegangan penerbit itu.

Tanpa komitmen seperti ini, penerbit yang bakal menerbitkan karyanya terdedah kepada bahaya tindakan undang-undang oleh penerbit asal. Tindakan undang-undang yang membabitkan penerbitkan karya tanpa izin penerbit asalnya telah benyak berlaku. Ada penerbit yang terpaksa gulung tikar atau diiystihar muflis kerana keptusan mahkamah tidak menyebelahinya. Kemudian ada pula kes penciplakan. Penerbit perlu mempastikan setiap karya yang disumbangkan ke dalam anotologi ini bebas daripada sebarang unsur penciplakan. Komitmen penyumbang perlu jelas dalam hal ini dan mengaku bahawa karyanya adalah ciptaannya sendiri dan asli. Tanpa komitmen demikian penerbit akan berdepan dengan risiko sekali lagi kerana terdedah kepada tindakan undang-undang.

“Risiko tindakan undang-undang ini tak apa juga. Tapi bagi saya, yang lebih penting karya yang tersiar dalam antologi itu,” kata penulis tadi. “Maksudnya, daripada sederetan nama dan karya yang termuat, kita kena lihat siapa yang menulis dan apa yang ditulis.”

Penulis itu mahu melihat pemilihan karya yang akan dimuatkan mesti dibuat dengan teliti. Katanya, “Yalah, kita tak tahu perasaan orang. Aku tak pasti apakah seorang sasterawan negara, misalnya, mahu karyanya dimuatkan sama dengan karya seorang penulis yang dia tidak pernah baca karyanya dalam akhbar atau majalah. Atau katalah orang yang minat sastera tetapi belum pernah karyanya tersiar dalam akhbar. Tup-tup dia ini kirimkan sajaknya untuk diantologikan. Apa perasaan sasterawan negara itu? Bukankah haru dibuatnya. Kalau pun sajaknya baik, tapi masih timbul musykil tentang keaslian sajaknya.”

Penulis itu mencadangkan supaya penerbit mengadakan syarat kepada penyumbang jika sajak mereka mahu disenaraikan. Selain komitmen hitam putih seperti yang disebutkan penulis yang ingin menyumbang mestilah sudah teruji kemampuannya menulis. Contohnya karyanya telah disiarkan dalam media sejak sekian tahun. Setidak-nya penulis ini telah masuk ke dalam satu golongan penulis, baik apa yang dinamakan penulis generasi baru, atau penulis lama. Setidak-tidaknya juga penyelenggara antologi ini telah melihat nama dan karya penulis ini di dada akhbar atau majalah. Inilah cabaran yang dihadapi penerbit yang ingin menerbitkan buku berbetuk antologi dengan penyumbang yang ramai. Sebuah penerbit besar pernah mengakui untuk menerbitkan sebuah antologi ia memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan. Menurut penerbit itu, soal mendapatkan karya tidak sukar, tetapi yang menyulitkan ialah mempastikan setiap karya itu lengkap dengan komitmen penyumbang dan bebas daripada sebarang tindakan undang-undang dan prasangka.

Soal royalti selalunya menyusul setelah antologi diterbitkan. Barangkali ramai penyumbang yang tidak mengharapkan royalty. Mereka akan berpuas hati setelah meilhat karyanya dimuatkan dan seandainya dia diberi beberapa naskhah penghargaan itu sudah memadai. Namun, bukan tidak mungkin ada penyumbang yang mempunyai pendirian bahawa setiap sumbangan perlu diberi imbalan dalam bentuk wang. Jika demikan halnya maka penerbit sebaiknya mengusahakan satu perjanjian dengan setiap penyumbang dengan memperincikan manfaat yang dapat diterima oleh penyumbang. Dan perjanjian itu perlu juga merangkum semua butiran tentang penerbitan ini, termasuk maklumat hukum-hakamnya. Biarlah seperti kata penulis tadi, semua orang merasa mereka tidak dirugikan. Lebih-lebih lagi penerbit tidak dikenakan tindakan undang-undang ke atas sebarang perkara yang melanggar hukum. Sebaliknya penyumbang tidak merasa dirinya tertipu.

Apapun jua, keghairahan penerbit mahu menerbitkan antologi puisi seratus penyair ini sekali lagi patut dipuji dan perlu diberi rangsangan, terutama oleh penerbit besar seperti Dewan Bahasa dan Pustaka. Sekecil-kecil bantuan yang boleh disumbangkan Dewan Bahasa ialah memberi kemudahan kepada penerbit ini melancarkan antologi di bangunan Dewan Bahasa sendiri. Akan lebih bermakna sumbangan itu jika antologi itu nanti dilancarkan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa, Datuk Dr. Firdaus Abdullah, yang kebetulan dua antologi puisi kanak-kanaknya telah diterbitkan oleh penerbit terkemuka di negara ini. Kerjasama Dewan Bahasa dan hal ini akan dilihak sebagai penggalak semangat kepada penerbit ini yang  masih yakin bahawa sastera masih punya masa depan dalam industri penerbitan. (Dipetik daripada Ruangan Catatan A.F.Yassin, akhbar Utusan Melayu Mingguan dua dekad yang lalu.)  





    












1 comment:

  1. 13 penerbit buku popular di malaysia
    http://mindalabu.blogspot.com/

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

FAMILY BLOGS

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
With Tan Sri Dol Ramli, Ex-Director General (RTM) at his residence, Bukit Ampang, KL..

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
Sharing a light moment with Tun salleh Abbas at his residence in Kuala Lumpur.

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983
Dato' Dr. Firdaus Abdullah chairing the session, with Dr. Sulaiman Masri (extreme right) and Haji Jajuli Abd. Rahman (second from right).