WELCOME TO THE BORDERLESS WORLD OF POSSIBLITIES!

How about sharing your slants and perspectives - left, right, up above or down below!?

Thursday 12 June 2008

PITA POLITIK(34): LAIN DAHULU LAIN SEKARANG?

Mahathir: Apa erti 'ugutan tersorok'?
Abdul Rahim Sabri | Jun 11, 08 3:55pm
dikemaskini Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad belum bersedia mengulas dakwaan beliau terlibat campur tangan dalam badan kehakiman oleh seorang hakim Mahkamah Tinggi kelmarin.

"Saya tidak akan mengulas (isu itu) sekarang dan akan berbuat demikian dalam waktu yang sesuai," katanya ringkas di blognya hari ini.

"Bagaimanapun, saya ingin tahu apakah yang dimaksudkan oleh (hakim) Ian Chin sebagai 'ugutan terselubung'."

Beliau menggesa hakim Mahkamah Tinggi Sibu, Datuk Ian HC Chin menjelaskan dengan lebih khusus dakwaan-dakwaan serius terhadapnya.

Ian Chin mendedahkan dua insiden mengenai campur tangan pemimpin kerajaan itu 11 tahun lalu.

Pendedahan tersebut dibuat di permulaan perbicaraan petisyen pilihanraya yang didengarnya kelmarin.

Beliau membabitkan Dr Mahathir dan juga bekas ketua hakim negara Tun Eusoff Chin, kedua-duanya dinamakan dalam suruhanjaya diraja siasatan klip video Lingam.

Sehubungan itu, pengerusi DAP Karpal Singh hari ini membuat satu laporan polis berhubung dakwaan ugutan Dr Mahathir di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi petang ini.

"Saya mahu laporan ini disiasat dengan terperinci oleh polis kerana dakwaan itu menunjukkan satu kesalahan bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang mana melarang halangan terhadap proses keadilan," kata Karpal, juga seorang peguam terkenal, selepas membuat laporan polis.

Seksyen 186 memperuntukkan, sesiapa secara sukarela menghalang penjawat awam menjalankan tugasnya boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Sementara itu, naib presiden Gerakan, Datuk Dr S Vijayaratnam memuji pendedahan Ian Chin berhubung campur tangan pemimpin kerajaan dalam kes di depannya - satu melibatkan petisyen pilihanraya dan satu lagi kes saman sivil - pada 1997.

"(Pendedahan) ini menjadi satu teladan untuk dicontohi hakim-hakim lain, jika keadaan memerlukannya, dan menunjukkan integriti badan kehakiman," katanya dalam satu kenyataan.

Vijayaratnam berkata, pendedahan hakim itu menjadi penggerak ketelusan, kemandirian dan kebebasan badan kehakiman.

Angkatan Muda PKR (AMK) pula memandang serius dakwaan Ian Chin yang menuduh Dr Mahathir bersedia menggunakan tribunal khas untuk menyingkirkan hakim yang membuat keputusan tidak menyebelahi kerajaaan - susulan keputusan petisyen pilihanraya kerusi Bukit Begunan yang memihak kepada calon bebas Donald Lawan pada 21 April 1997.

Hakim Mahkamah Tinggi Sarawak itu dilaporkan berkata mantan perdana menteri membuat ugutan itu di persidangan hakim pada 24 April tahun itu.

"(Pendedahan) ini membuktikan betapa amalan mencengkam kehakiman menjadi tabiat semulajadi Dr Mahathir yang mengakibatkan pelbagai bentuk ketidakadilan telah berlaku," kata ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam kenyataannya.

Beliau turut mempertikaikan kelembapan peguam negara menyiasat Dr Mahathir dan lima tokoh lain, termasuk dua bekas ketua hakim negara, susulan laporan suruhanjaya diraja siasatan klip video VK Lingam.

"Melihat kepada kes terbaru yang didedahkan oleh Ian Chin ini, tidak ada sebab peguam negara untuk terus duduk diam tanpa mengambil sebarang tindakan untuk mendakwa pihak-pihak berkenaan khususnya Dr Mahathir," tambah Shamsul Iskandar, juga seorang pengamal undang-undang.

AMK, katanya, telah membuat 15 aduan polis berhubung laporan suruhanjaya diraja itu tetapi tiada sebarang tindakan daripada peguam negara. (Petikan Malaysiakini)

Komen:
Nyatanya, satu demi satu apa yang dilakukan bekas PM Tun Mahathir Mohamad ketika tempoh pemerintahannya dahulu mulai disoroti umum. Ada sahaja yang tak kena dan "yang kena" selama dua dekad kepimpinannya.

"Itu biasa," ulas seorang pemimpin veteran UMNO di Melaka sewaktu ditemu bual baru-baru ini.

Masih teringat kata-kata mantan Timbalan Perdana Menteri , Tun Abdul Ghafar Baba dua bulan sebelum beliau meninggal dunia. Ketika berbual di kediamannya di Bangsar Tun Ghafar secara serius berkata," Yang penting bagi saya ialah survival orang Melayu, bukan UMNO."

Kurang jelas apakah sebenarnya yang tergerak dalam hatinya ketika itu. ulasannya dikaitkan dengan pendiriannya terhadap UMNO setelah beliau tidak lagi aktif dalam pertubuhan itu setelah jawatan timbalan presiden parti diambil alih oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim. Tidak pula dinyatakan pendiriannya untuk keluar parti seperti yang dilakukan Tun Mahathir. Tentunya menarik untuk mendengsr komen Allahyarham Tun Ghafar berhubung tindakan Tun Mahathir keluar parti baru-baru ini.

Begitulah, kita "mengatas-namakan rakyat" kini berdepan dengan pendekatan nostalgik yang kebanyakannya negatif dengan membuat banyak "tafsiran" tentang apa yang berlaku pada masa lampau. Lazimnya, jasa-jasa baik dan positif tidak lagi dipedulikan hanya tinggal dalam lipatan sejarah, manakala segala sesuatu yang kurang enak dan negatif akan "dipergonjengkan" dengan sinis dan gurauan paling sadis - satu konotasi jelek dalam politik.

Masihkah kita ingat apa yang diterima Perdana Menteri pertama al-Marhum Tunku Abd. Rahman Putra al-Haj setelah beliau tidak lagi berkuasa? Masihkah kita ingat bagaimana Allahyarham Tun Hussein melepaskan jawatan presiden UMNO dan kemudian jawatan Perdan Menteri? Dan kita tentunya masih belum lupa bagaimana Tun Mahathir melepaskan jawatan Perdana Menterinya kira-kira lima tahun dahulu. Kecuali allahyarham Tun Razak, Perdana Menteri Kedua, yang meninggal dunia ketika masih dalam perkhidmatan, ketiga-tiga bekas perdana menteri ini bukan sahaja telah melepaskan jawatan sebagai pemimpin kerajaan dan parti tetapi juga telah keluar daripada UMNO sendiri.

Dalam kalangan maantan timbalan perdana menteri, kecuali Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dipecat daripada UMNO, Tun Musa Hitam dan Tun Abdul Ghafar Baba tidak keluar parti. Mereka terus berada dalam UMNO.

Tetapi umumnya rata-rata maklum mengapa Tunku dan Tun Hussein keluar parti, tetapi belum ramai yang masih belum mengerti "di sebalik apakah gerangan" Tun Mahathir keluar parti. Benarkah hanya kerana faktor Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang dikatakan bertanggungjawab terhadap prestasi buruk BN dalam Piliahanraya lalu, sehingga membuatkan Tun Mahathir meninggalkan UMNO? Seperti kata ahli veteran UMNO dari Melaka tadi, "Alasan itu terlalu lemah dan terlalu amat tidak meyakinkan." Barangkali aada sesuatu yang lebih mendesak yang kita tidak pasti apa sehingga Tun Mahathir bertindak demikian. Katanya sambil meminjam kata-kata Inggeris Amerika, "I don' buy it. Mereka yang faham sejarah politik negara ini akan faham maksud saya,"

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

FAMILY BLOGS

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
With Tan Sri Dol Ramli, Ex-Director General (RTM) at his residence, Bukit Ampang, KL..

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
Sharing a light moment with Tun salleh Abbas at his residence in Kuala Lumpur.

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983
Dato' Dr. Firdaus Abdullah chairing the session, with Dr. Sulaiman Masri (extreme right) and Haji Jajuli Abd. Rahman (second from right).