WELCOME TO THE BORDERLESS WORLD OF POSSIBLITIES!

How about sharing your slants and perspectives - left, right, up above or down below!?

Saturday 16 January 2010

SEKOLAH AGAMA TAK ADA AIR: NAK BELAJAR MACAM MANA?

Terseksa sekolah tiada air
Oleh ROSLAH OTHMAN
kota@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 15 Jan. - Masalah kelas sesak antara perkara yang sering dibangkitkan oleh ibu bapa terutama di sekolah-sekolah kawasan bandar.
Kelewatan menanganinya bukan sahaja membantutkan proses pengajaran dan pembelajaran hingga merugikan pelajar tetapi menjejaskan kualiti penyampaian pendidik.
Antara inisiatif yang diambil kerajaan termasuk menjadikan kontena atau kabin sebagai kelas sementara atau melaksanakan persekolahan dua sesi.
Namun, bagi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Tadika Al-Islamiah di Jalan Kuchai Lama di sini, lain pula masalahnya. Sekolah itu tiada bekalan air paip dan talian telefon.
Realitinya, sekolah yang dimaksudkan bukan terletak nun jauh di luar bandar, sebaliknya hanya beberapa kilometer dari pusat bandar raya dan kawasan di sekelilingnya sedang pesat membangun.
SRA dan Tadika Al-Islamiah yang mempunyai kira-kira 250 murid itu sehingga kini masih belum menerima kemudahan itu sejak dibuka hampir 13 tahun lalu.
Tinjauan Utusan Malaysia ke sekolah berkenaan mendapati, keadaan cukup menyeksakan apabila murid tahun satu hingga enam terpaksa berebut-rebut menggunakan bilik air di sebuah surau berhampiran iaitu surau Nurul Hidayah.
Sama ada hendak membuang air kecil atau besar mahupun untuk mengambil wuduk, bilik air surau berkenaan akan menjadi destinasinya.
Memandangkan sekolah berkenaan merupakan satu-satunya SRA di Kuchai Lama, ia menjadi tumpuan kepada murid yang tinggal di kawasan berhampiran, selain Jalan Klang Lama dan Cheras.
Difahamkan, bagi mengatasi masalah berkenaan, barisan kepemimpinan PIBG sebelum ini telah mengambil inisiatif melakukan penyambungan paip dari surau ke tangki sekolah berkenaan bagi memudahkan pelajar.
Namun, mungkin disebabkan berkongsi meter, tekanan air didapati agak rendah, lebih-lebih lagi apabila jumlah pelajar menggunakan air pada satu-satu masa agak ramai.
Keadaan itu cukup menyeksakan sehingga ada murid yang lebih senior disaran menggunakan kemudahan bilik air di restoran mahupun stesen minyak berhampiran sebelum ke sekolah.
Ada pihak yang menuding jari kepada kontraktor yang dikatakan gagal menyiapkan kerja-kerja pembinaan sekolah berkenaan dengan sempurna termasuk menyambung bekalan air ke sekolah.
Apa yang menimbulkan tanda tanya kalangan ibu bapa mahupun guru, jika sekolah berkenaan tidak dilengkapi kemudahan asas seperti air serta talian telefon, bagaimana ia boleh beroperasi.
Pengerusi PIBG SRA dan Tadika Al-Islamiah, Rosli Md. Desa berkata, selepas pelbagai usaha gagal, pihaknya terpaksa menyuarakan masalah tersebut kepada umum menerusi media.
Dia yang dilantik ke jawatan sekarang sejak tahun 2005 berkata, beliau sendiri kurang pasti bagaimana masalah tersebut boleh berlaku dan gagal diselesaikan sehingga ke hari ini.
"Saya tidak pasti apa yang menyebabkan perkara ini berlaku. Sebagai wakil ibu bapa dan guru yang dilantik saya berasa bertanggungjawab untuk meneruskan usaha mendapatkan apa yang sepatutnya dinikmati murid di sini,'' ujarnya ketika ditemui.
Menurut Rosli, pihak PIBG sebelum ini telah cuba membangkitkan isu itu kepada Jawatankuasa Pembangunan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), namun dimaklumkan bahawa masalah itu adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR).
Katanya, isu itu juga pernah disuarakan kepada pemimpin politik di kawasan tersebut, namun ia juga gagal diselesaikan.
"Sehingga hari ini, kami sendiri tidak pasti pihak mana yang harus dituju bagi menyelesaikan perkara tersebut,'' ujarnya.
Katanya, sekolah itu 'bernasib baik' kerana terdapat sebuah surau berhampiran dan atas rasa tanggungjawab, pihak sekolah sama-sama menanggung kos bekalan air dengan pihak surau setiap bulan.
Mengenai kemudahan telefon, katanya, sudah beberapa permohonan dibuat kepada Telekom Malaysia tetapi masih belum diluluskan.
Kata Rosli, pihak sekolah memohon lagi dan membuat bayaran sebanyak RM350 pada 7 September tahun lalu.
Namun, beliau berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa ketiadaan kabel menjadi punca talian tidak dapat disambungkan dan juga dimaklumkan yang proses pemasangan akan dilakukan.
"Bagaimanapun, sehingga hari ini tiada apa-apa yang berlaku dan dilakukan," katanya.

Hairan sekolah dibenar beroperasi
KUALA LUMPUR 15 Jan. - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Tadika Al-Islamiah di Jalan Kuchai Lama di sini merayu pihak bertanggungjawab menyelesaikan segera masalah ketiadaan bekalan air dan kemudahan talian telefon di sekolah berkenaan.

Ini demi memastikan murid-murid di sekolah berkenaan dapat mengikuti sesi persekolahan dengan lebih selesa dan tenang serta dapat menggunakan kemudahan yang sepatutnya dinikmati mereka.

Guru Besarnya, Nor Lailaarfah Md. Fadly, 35, berkata, beliau yang baru enam bulan bertukar ke sekolah berkenaan mengakui amat terkejut dengan keadaan sekolah yang masih tidak mempunyai kemudahan asas itu terutama air.

Katanya, tidak dipercayai masalah itu boleh berlaku kerana selain sekolah itu sendiri terletak di kawasan bandar, bekalan air adalah satu kemudahan sangat penting dan diperlukan.

Beliau amat berharap pihak bertanggungjawab dapat menyelesaikan masalah itu demi memastikan murid-murid di situ menikmati kemudahan asas yang sepatutnya mereka peroleh.

"Adalah sesuatu yang agak menyulitkan sekiranya kemudahan-kemudahan ini tidak disediakan. Bayangkan sukarnya kalau ketiadaan bekalan air. Bagaimana hendak bersuci dan berwuduk.

"Bagaimana pula dengan urusan pentadbiran pejabat, bilik guru dan tugas-tugas berkaitan sekolah hendak dilaksanakan jika tiada kemudahan telefon," katanya.

Bagi Ahli Jawatankuasa PIBG, Norasip Omar, 52, harapannya tiada lain selain meminta pihak berkuasa atau sesiapa sahaja dapat menyelesaikan masalah tersebut dengan segera demi kemudahan murid dan guru sekolah berkenaan.

Katanya, adalah sesuatu yang sukar diterima apabila kemudahan asas seperti bekalan air mahupun talian telefon tidak disediakan di sekolah berkenaan dan ia dibenarkan beroperasi.

"Kami bersedia memberi kerjasama bagi memastikan perkara tersebut dapat diselesaikan dengan secepat mungkin,'' ujarnya.

Beliau juga berharap pihak bertanggungjawab dapat melakukan pemeriksaan terhadap sistem pendawaian elektrik di sekolah berkenaan yang dipercayai tidak mengikuti spesifikasi yang ditetapkan.

Sementara itu, seorang murid tahun 2, Mohammad Iqbal Shamsul Anuar, 8, mengakui menghadapi kesukaran kerana ketiadaan bekalan air di sekolah berkenaan.

Dia berharap kemudahan itu dapat disediakan segera supaya dia dan rakan-rakan yang lain tidak perlu ke surau berhampiran untuk menggunakan tandas.

Seorang lagi murid, Nurul Batrisyia Abdul Jamil, 8, pula berkata, dia sering menahan daripada membuang air kerana malas untuk berulang-alik ke surau berdekatan.

Dia mengakui tidak selesa dengan keadaan itu tetapi menganggap itu sebagai terpaksa.

"Kalau bekalan air ada di sekolah ini, tidak perlulah kami ke surau itu lagi. Ia tentunya lebih mudah dan menjimatkan masa," katanya. Petikan Utusan Malaysia 16 Jan 2010.

komen:
Kedua-dua berita di atas dipetik daripada Utusan Malaysia,yang tersiar pda 16 Januari 2010. Cerita anak-anak sekolah yang terpaksa kerja keras nak belajar akibat tak cukup syarat kemudahan. Letak sekolah ini pula di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur di Jalan Kuchai Lama.

Amat menghairankan bagaimana kementerian yang bertanggungjawab (dalam hal ini kemungkinan kementerian kerja raya dan kementerian pelajaran) seperti lepas tangan sahaja. Dan yang lebih anehnya perdana menteri berpuas hati dengan pencapaian KPI dua menteri terbabit yang menerajui dua kementerian itu

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

FAMILY BLOGS

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
With Tan Sri Dol Ramli, Ex-Director General (RTM) at his residence, Bukit Ampang, KL..

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
Sharing a light moment with Tun salleh Abbas at his residence in Kuala Lumpur.

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983
Dato' Dr. Firdaus Abdullah chairing the session, with Dr. Sulaiman Masri (extreme right) and Haji Jajuli Abd. Rahman (second from right).