WELCOME TO THE BORDERLESS WORLD OF POSSIBLITIES!

How about sharing your slants and perspectives - left, right, up above or down below!?

Friday 24 September 2010

UNJUK RASA BENDERA DI JAKARTA APA SUDAHNYA?

Bendera oh Bendera!
DALAM tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, perkataan yang paling popular pada pengamatan saya ialah Bendera. Sepanjang bulan Ogos hinggalah pertengahan September, rakyat Malaysia saban hari digesa supaya mengibarkan Jalur Gemilang untuk memeriahkan Bulan Kemerdekaan Negara dan Hari Malaysia. Namun demikian, sambutan ternyata agak dingin barangkali kerana cerita Bendera (Benteng Demokrasi Rakyat) di Jakarta lebih panas dan sensasi.

Kelmarin, sekali lagi Bendera mendapat tempat utama di media tempatan. Kali ini mereka berarak lagi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan mendesak duta kita supaya meninggalkan Indonesia dalam tempoh dua hari. Jika tidak, mereka mengancam mengeluarkan semua barang di rumah duta dan mengarahkan rakyat Malaysia yang membeli-belah di gedung beli-belah supaya pulang ke Malaysia.

Aksi demonstrasi ini sebagai respons kepada berita seorang pembantu rumah yang mendakwa diseksa dan dirogol majikannya di Pulau Pinang. Tahniah kepada Bendera kerana cukup 'ambil pusing' terhadap kebajikan warga Indonesia khususnya yang terlibat dalam sektor pembantu rumah. Harapan kita ialah pada masa akan datang, mereka juga harus ambil pusing tentang kesadisan warga mereka yang terlibat dalam sektor 'jenayah'.

Kes penderaan fizikal dan seksual kali ini merupakan rentetan kejadian seumpamanya yang diangkat oleh media dengan tujuan supaya menjadi sempadan. Jika tidak dijadikan berita oleh media, rakyat Pulau Pinang sendiri pun mungkin tidak sedar akan kejadian itu; apatah lagi para 'anggota sambilan' Bendera di Jakarta. Kebetulan cuti Hari Lebaran sudah usai, mereka lalu kembali 'bertugas' untuk 'camar' (cari makan).

Media kedua-dua buah negara sudah beberapa kali diperingatkan supaya tidak mensensasikan kes-kes seperti itu. Hal ini bukanlah dengan niat untuk melindungi penjenayah tetapi lebih bertujuan memelihara hati dan perasaan rakyat kedua-dua negara. Sudah tiba masanya kita bertindak seperti 'menarik rambut dalam tepung; rambut tidak putus, tepung tidak berselerak'.

Jika sukar juga menahan hati daripada menghebahkannya, kes-kes jenayah dan penderitaan mangsa akibat jenayah yang dilakukan warga Indonesia juga harus disensasikan agar seimbang.

Bukan rakyat mereka sahaja menjadi mangsa, malahan rakyat kita juga terseksa di bumi sendiri! Sensasikan juga isu yang membabitkan para Romeo Lombok yang melarikan gadis-gadis Malaysia sehingga keluarga yang ditinggalkan 'makan tak kenyang, tidur tak lena'.

Hebahkan juga berita betapa pun 'kejam' segelintir rakyat Malaysia dan pasukan keselamatan yang mengawal sempadan, warga Indonesia tetap berduyun-duyun merentasi Selat Melaka secara terang dan gelap untuk 'camar' di sini.

Walaupun ada yang diberkas dan dihantar pulang dengan selesa menaiki feri, kapal atau kapal terbang, namun sebaik sahaja melintasi sempadan, mereka sanggup berdayung dan berenang untuk datang semula ke sini.

Media elektronik khususnya televisyen juga wajar menguar-uarkan saban hari 'kesenangan' warga Indonesia yang 'camar' di sini. Muatkan dalam ruangan berita, iklan, mahupun montaj. Angkat tema sedemikian melalui drama, telefilem mahupun filem-filem kita. Selitkan pengorbanan rakyat Malaysia memberi ruang 'kehidupan' kepada saudara serumpun.

Laporkan isu majikan yang trauma dan mengalami tekanan mental setiap kali meninggalkan rumah; khuatir pembantu rumah 'kabur', khuatir anak kecil terbiar, khuatir rumah diselongkar teman lelaki pembantu rumah, khuatir keracunan makanan kerana perut ikan tidak dibuang dan sayur tidak dinyahracunkan sebelum dimasak.

Semua ini berlaku hari demi hari, namun demi menjaga hati, kita tanggung sahaja sendiri-sendiri. Barangkali kerana kita tidak ada Bendera!

Selain itu, disarankan juga supaya proses pembicaraan dan penghakiman yang membabitkan kes penderaan dan penyeksaan seperti itu diberikan liputan secara langsung, telus, meluas dan disegerakan. Jadikannya kes berprofil tinggi supaya Bendera terhidu dan sedar bahawa kita amat serius menanganinya dan tidak berat sebelah. Jika boleh setiap prosiding mahkamah dijadikan berita hadapan. Sudah pasti media Malaysia akan meningkat dari segi rating pembaca atau penonton.

Lakukanlah sesuatu dengan segera sebelum 'kudis menjadi tokak' dan 'luka menjadi barah'. Walau apa pun cabaran dan cubaan untuk memisahkan, kita tetap saudara serumpun. 'Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga'. Dr. Sharifudin Lubis,
Universiti Putra Malaysia. (Petikan dari Utusan Malaysia, 24 Sept 2010).

Komen:
Beginilah yang terjadi jika kita terlalu emosional. Kedutaan Indonesia di Malaysia dilaporkan oleh media Malaysia, tidak menyetujui aksi negatif kumpulan kecil rakyat Indonesia yang unjuk rasa di Jakarta sehari dua ini. Tapi dalam pada itu pihak itu seperti mengiyakan unjuk rasa itu dengan menyenaraikan butiran penyelewengan dan kepincangan yang dilakukan majikan Malaysia yang menggajikan amah Indonesia di sini.

Apa yang ditulis oleh Dr. Sharifudin Lubis di atas memperlihatkan pula senarai yang dikumpulnya berdasarkan analisis rambang di Malaysia. Pernahkah media Indonesia, khususnya menilai kepincangan yang dilakukan segelintir amah Indonesia di Malaysia. Malah pernahkah media Indonesia menduga bentuk-bentuk kriminal yang dilakukan segelintir warga indonesia di negara ini. Atau media ini pura-pura tidak ambil tahu karena soal warga Indonesia di Malaysia itu bukan "urusan kami." Belum lagi yang datang ke sini secara tidak sah kebanyakannya.

Aneh ya, apabila kumpulan orang yang mengunjuk rasa di Senayan dilaporkan sebagai berkata bahawa "kami akan meminta orang Malaysia yang ada di pusat pertokohan itu meninggalkan Indonesia dengan baik karena kami dari bangsa yang mempunyai budi bahasa yang tinggi." Seolah-olah di Malaysia rakyatnya amat sadis dan tidak bertamadun. Begitulah agaknya yang tersirat daripada ungkapan rasa segelintir rakyat Indonesia, seperti yang dilaporkan salah sebuah akhbarnya di sana dari Bali.

Tetapi ada juga yang berpendapat kedua-dua sikap dan tindakan rakyat Malaysia dan Indonesia umumnya, seperti dua kali lima sahaja. Ibarat seekor kerbau membawa semuanya terpalit. Atau akibat nila setitik rosak susu sebelanga. Kan kita dikatakan dua bangsa serumpun.Cubit peha kiri peha kanan pun terasa juga!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

FAMILY BLOGS

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
With Tan Sri Dol Ramli, Ex-Director General (RTM) at his residence, Bukit Ampang, KL..

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
Sharing a light moment with Tun salleh Abbas at his residence in Kuala Lumpur.

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983
Dato' Dr. Firdaus Abdullah chairing the session, with Dr. Sulaiman Masri (extreme right) and Haji Jajuli Abd. Rahman (second from right).