WELCOME TO THE BORDERLESS WORLD OF POSSIBLITIES!

How about sharing your slants and perspectives - left, right, up above or down below!?

Friday 1 October 2010

SEMPENA REUNI 9 OKTOBER 2010 FIKOM UNPAD BANDUNG


PERTEMUAN ALUMNI 76 FIKOM UNPAD DI KEDIAMAN DEKAN FIKOM PROF DR. DEDDY MULYANA,30 MEI 2010.
Hanayalah sekadar nostalgik hubungan akademik antara dua universiti (UKM dan UNPAD)untuk renungan semua Alumni FIKOM yang bakal mengadakan Hari REUNI pada 9 Oktober 2010 ini.
Semoga ia memberi menfaat kepada dua bangsa serumpun yang bernama umat Melayu. Air dicincang tidak akan putus.

Catatan A.F.Yassin
Melakar Kerjasama Kebudayaan UKM-Bandung

Seramai 60 orang pensyarah dan ilmuan dari sebuah universiti di Bandung, Indonesia berkunjung ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 8-10 Oktober 2002 yang lalu untuk menghadiri Simposium Kebudayaan Malaysia-Indonesia Ke-8. Pensyarah dan ilmuan itu merupakan spesialis dalam bidangnya masing-masing yang berkait dengan kebudayaan dan ilmu sosial lainnya. Rombongan 60 orang itu diketuai oleh Rektor Universitas Padjadjaran Bandung.

Hos simposium ialah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM dan simposium dirasmikan Selasa lalu oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Dato’Aziz Shamsuddin di sebuah hotel terkemuka di Bandar Baru Bangi. Simposum tiga hari itu mengetengahkan 18 kertas kerja, merangkumi pelbagai aspek kebudayaan dan kehidupan berilmu. Semua jurusan di fakulti sains sosial dan kemanusiaan digerakkan untuk menjayakan simposium. Begitu juga halnya dengan Universiti Pajajaran yang mengirim para ilmuan kanan bergelar profesor dan gurubesar. Dekan pelbagai fakulti yang berkait dengan ilmu sosial dan kemanusiaan turut hadir dalam simposium ini, antaranya Prof. Dr Zulrizka Iskandar, Dekan Fakultas Psikologi dan Drs Soeganda Priyatna, Dekan Fakultas Ilmu Komunikasi. Antara yang memberikan ucaputama ialah Datuk Prof Dr Shamsul Amri Baharuddin dari ATMA.

Termasuk tahun ini telah lapan kali simposium diadakan secara bergilir antara UKM dan Bandung. Bagaimana hasilnya? Seorang peserta dari Bandung, Drs Solleh Soemirat, MA dari Fakultas Ilmu Komunikasi menilai simposium sebagai wadah mendekati jurang komunikasi budaya antara dua negara, terutama di kalangan para ilmuan di dua universiti – UKM dan Padjadjaran. Katanya, “Kerjasama erat dalam bidang kelilmuan dan multi-disiplin dapat diteruskan, malah simposium sering mengingatkan kita akan pentingnya kerjasama itu.”

Solleh sedikit gusar dengan arah tuju hubungan dua negara. Katanya, “Adalah membimbangkan di saat kita sedang berusaha mendekatkan jurang komunikasi di kalangan cerdik pandai di universiti, kini ada pula yang buat angkara dan karenah di peringkat orang biasa.” Solleh risau peristiwa yang kurang “enak” yang melibatkan Tenaga Kerja Indonesia tanpa izin dan dihantar pulang baru-baru ini bagaikan menjejaskan usaha para ilmuwan ini memupuk kerjasama yang lebih erat.

Matlamat simposum dan kerjasama antara UKM dan Bandung ini berubah-ubah mengikut keadaan semasa. Kalau sekarang orang bercakap tentang globalisasi, maka “kita juga harus mengutamamakan proses globalisasi itu untuk dapat dimanfaatkan oleh kedua-dua negara.” Katanya, “Malah ini juga ditekankan oleh Datuk Shamsul Amri ketika memberikan ucaputamanya selasa lalu.”

Seperti lazimnya orang bersimposium, isu yang dibincangkan di luar sidang lebih menarik perhatian. Barangkali ini terjadi kerana perbincangan tidak terikat dengan tajuk-tajuk kertas kerja yang kadang-kadang rigid dan bersifat ilmiah. Kering dan kadangkala membosankan. Isu hangat yang dibincangkan di luar sidang ialah isu pendatang tanpa izin yang dihantar pulang baru-baru ini. Selain itu ada pula isu pengiriman pelajar Malaysia ke Indonesia yang jumlahnya semakin berkurangan saat ini.

Solleh berpendapat neutral tentang isu ini. “Saya orang komunikasi dan saya perlu melihat tanpa bayangan prasangka,” katanya. “Sebagai seorang pendidik dalam bidang komunikasi, pesan penting ialah melihat sebarang isu itu atas dasar ilmu dan logika.” Maksud Solleh ialah jangan libatkan unsur emosi dan sentimen kenegaraan jika mahu “bincangkan” masalah sensitif seperti ini. Katanya lagi, “Yang penting mencari akar masalah seperti yang sering diminta Perdana Menteri Malaysia ketika mengulas ancaman Presiden Bush untuk menyerang Iraq. Mahathir benar. Kerana bagi saya punca masalah pendatang tanpa izin ini, misalnya ialah wujudnya sikap tamak dan tidak berperikemanusiaan di kalangan mereka yang mengeksport tenaga kerja Indonesia ke Malaysia.”

Beberapa orang peserta yang ketagih teh tarik membawa perbincangan tak formal ke gerai makan malam di Bangsar. Sekurang-kurangnya empat orang pesnyarah universiti Bandung berbincang serius bersama rakannya dari Malaysia. Misalnya, Didi Suyardi, Soeganda Priyatna, Zulrizka Iskandar dan Solleh Soemirat bersetuju bahawa pertukaran pelajar antara kedua negara ditingkatkan lagi. Malah Fakultas Kedoktoran sebuah universirti di Bandung menawarkan 30 tempat bagi pelajar Malaysia malanjutkan pelajarannya dalam bidang itu. Mereka mengakui suatu ketika tidak ramai lulusan dari Malaysia. Statistik menunjukkan sepanjang tahun-tahun 1970-90an hanya seorang yang lulus dari fakultas itu, padahal jumlah pelajar yang dihantar adalah lebih banyak.

Kerjasama bidang penerbitan juga dibincangkan lebih hangat di luar sidang. Rombongan dari Bandung ini mengakui kecanggihan penerbitan di Malaysia, khususnya di UKM sendiri. “kita mungkin akan mengambil waktu juga untuk sampai ke tahap yang dicapai UKM hari ini,” kata Solleh. Dalam pada itu Solleh dan rakan-rakannya bercadang untuk mengirimkan hasil penelitian ilmiahnya yang ditulis semula kepada jurnal-jurnal di Malaysia untuk diterbitkan.

Salah satu jurnal yang diperkatakan ketika “minum teh taik” di Bangsar itu ialah Pemikir terbitan Kumpulan Utusan Melayu. Selain Pemikir mereka menyebut Tenggara terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Solleh sendiri terkesan dengan kandungan “Pemikir” keluaran terbaru yang diperolehnya dari Penyelaras jurnal, Wan Hamzah Awang (Wahba). Solleh menyebut artikel “Hubungan Agama dan Negara” yang ditulis Kamaruzzaman Bustamam Ahmad.

Kamaruzzaman, asli Aceh mendapat pendidikan di Madrasah Ibtidaiyah Negeri Krueng, Aceh Utara dan Institut Agama Islam Negeri Sunan Kalijaga, Yogyakarta, Indonesia. Artikelnya membincangkan keadaan agama Islam di Indonesia dalam realiti politik negara itu. Kajian ilmiah Kamaruzzaman itu menjadi penting kerana dua perkara. Pertama walaupun Indonesia sebuah negara yang mempunyai jumlah penduduk Islam yang paling banyak, namun ia masih dianggap negara sekular. Bukan negara Islam. Dan hal ini lebih jelas diungkapkan dalam Perlembagaan negara itu yang digubal pada tahun 1945.

Kemudian Indonesia kini dianggap sebagai salah sebuah negara di Asia Tenggara yang dicap sebagai “sarang” pengganas yang dikaitkan dengan al-Qaedah. Ada beberapa pemimpinnya berada di Indoensia dan mereka dikehendaki oleh sama ada Singapura, Amerika mahupun Malaysia. Bagaimanapun artikel Kamaruzaaman tidak membincangkan tentang kedua perkara tersebut. Cuma di bahagian akhir artikel dua bahagian ini memperlihatkan kaitan Indonesia dengan keinginan beberapa rakyatnya menubuhkan sebuah negara Islam atau “daulah Islamiah”. Kebetulan istilah “Daulah Isliamiah” ini sering sahaja disebut-sebut ketika orang berbincang tentang kumpulan Jemaah Islamiah di Singapura dan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) di Malaysia. Majalah Time baru-baru ini mendakwa pemimpin kedua-dua kumpulan ini berada di Indonesia.

Bagusnya simposium kali ini ia mendapat kerjasama memberangsangkan daripada Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur. Timbalan Duta yaang juga Menteri Kedutaannya, Suherman Obon sentiasa mengambil berat tentang rombongan. Suherman kelihatan hadir dalam beberapa perbincangan. Katanya, “Simposium begini patut diteruskan. Malaysia dan Indonesia begitu dekat dan kita dari rumpun yang sama dan mengamalkan budaya yang sama.”

Menurut Herman, dia peribadi lebih senang berada di Malaysia berbanding negara-negara lain. “Saya telah ditugaskan di merata negara di dunia ini, tapi Malaysia yang amat saya senangi. Saya seperti berada di negeri saya sendiri. Makannya, minumnya, orangnya tidak ubah seperti di Indonesia juga,” katanya. Sebagai menghormati rombongan pihak kedutaan mengadakan pertemuan silaturahmi antara staf kedutaan dengan peserta rombongan Rabu malam di bangunan kedutaan di Jalan Tun Razak.

Inilah juga yang mungkin menjadi penyebab utama mengapa begitu ramai peserta rombongan Indonesia menghadiri simposium tahunan ini. Menurut seorang peserta, jumlah yang hadir tahun ini adalah yang terbesar. Tahun depan simposium akan dilanjutkan di Bandung pula, di kampus Universitas Padjadjaran. “Saya melihat persediaan untuk menjadikan simposium tahun ini cukup berhasil. Pihak UKM telah begitu berhati-hati dan hasil kertas kerja yang telah dibukukan memudahkan kami mengikuti jalannya sidang,” kata Solleh.

Solleh, salah seorang anggota jawatankuasa simposium di pihak Indonesia menganggap persediaan rapi oleh pihak UKM mencabarnya untuk mengadakan simposium yang lebih baik pada tahun depan. “Perlu saya akui bahawa pembukuan kertas kerja dan diedarkan serentak di simposium kali ini cukup bererti bagi kami. Paling-paling para peserta tidak perlu mencari-cari kertas kerja setiap kali sidang mahu dimulakan,”katanya. Kata-kata anggota jawatankuasa simposium dari Indonesia ini semestinya satu pujian tak langusng kepada jawatankuasa penyelenggara simposium UKM. Minta-minta juga hasil simposium akan dilaksanakan seberkesan penyediaan simposium. Ini barangkali permintaan pihak pentadbir kedua-dua universiti – satu di Bangi dan satu lagi di Bandung! Ends. Petikan dari suratkabar Malaysia, Utusan Zaman, 19 Oktober 2002)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

FAMILY BLOGS

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
With Tan Sri Dol Ramli, Ex-Director General (RTM) at his residence, Bukit Ampang, KL..

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
Sharing a light moment with Tun salleh Abbas at his residence in Kuala Lumpur.

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983
Dato' Dr. Firdaus Abdullah chairing the session, with Dr. Sulaiman Masri (extreme right) and Haji Jajuli Abd. Rahman (second from right).