WELCOME TO THE BORDERLESS WORLD OF POSSIBLITIES!

How about sharing your slants and perspectives - left, right, up above or down below!?

Saturday 9 October 2010

ANTARA NAJIB DAN TUN; ANTARA NAZRI DAN AWANG SELAMAT

ARKIB : 19/09/2010
Alahai Nazri...

Bisik-Bisik Mingguan

UTUSAN pernah dikritik oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz sebelum ini. Awang melihatnya sebagai perkara biasa. Perbezaan pendapat bukan suatu masalah lalu Awang memilih untuk berdiam.

Namun Awang terpanggil menjawab tindakan terbaru Nazri yang lantang mempersoalkan Utusan berhubung isu Perkasa.

Seperti biasa, melalui portal berita pro-pembangkang, Malaysian Insider, Nazri sampai ke tahap menuduh Utusan mempunyai agenda untuk membawa balik Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

‘‘Saya tidak boleh faham Utusan. Siapa ketua mereka - Najib atau Dr. Mahathir?,’’ kata beliau dalam laporan bertajuk Nazri persoal agenda Utusan perlekeh dasar Najib.

Awang hanya senyum sambil geleng kepala. Tafsiran Nazri begitu liar dan hairan mengapa seorang menteri boleh berfikir sebegitu.

Untuk pengetahuan Nazri, ingin ditegaskan bahawa Awang dan Utusan adalah penyokong Perdana Menteri. Jika hilang jawatan di Utusan sekalipun, Awang tetap akan menyokong Najib. Tiada keraguan.

Maka tidak timbul sama sekali kononnya ada agenda untuk menjadikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri. Budak sekolah pun tahu hakikat itu.

Awang boleh faham mengapa Nazri melemparkan tuduhan itu kerana beliau sememangnya anti -Dr. Mahathir. Itulah yang menjadikan beliau tidak objektif. Awang bukan seperti Nazri yang sanggup biadap dengan negarawan yang banyak berjasa. Sebab itu, Awang tidak hairan mengapa akhbar Cina ghairah memperlekehkan Dr. Mahathir. Ini kerana ada pemimpin Melayu sendiri yang membuka laluan.

Kalau suatu hari nanti, Nazri bersara, insya Allah, Awang akan menghormati beliau sebagai seorang veteran dan tokoh berjasa, walaupun jasanya tidak sebesar negarawan-negarawan kita.

Nazri juga menghentam Presiden Perkasa, Ibrahim Ali seolah-olah Ibrahim musuh UMNO. Nazri lupa, ketika UMNO diserang bertubi-tubi terutama selepas PRU12 dan pemimpin UMNO difitnah habis-habisan, siapakah pemimpin NGO yang lantang mempertahankan UMNO jika bukan Ibrahim.

Beliau berada di banyak pelosok tanah air berceramah melawan kerakusan pembangkang bagi membela UMNO dan BN. Awang tidak ingat apa yang Nazri lakukan? Apakah beliau seberani Ibrahim dalam menghadapi pembangkang?

Dengar cerita daripada beberapa pemimpin UMNO, Nazri sudah banyak berlembut dengan pembangkang yang motifnya, mungkin beliau tidak mahu dijadikan sasaran kritikan atau mahu ambil jalan selamat. Menurut cerita lagi, kerana strateginya itu, kini Nazri disenangi oleh ramai pemimpin pembangkang. Kalau benar andaian itu, Awang juga boleh bertanya siapa sebenarnya ketua Nazri. Najib atau Anwar Ibrahim atau mungkin Kit Siang?

Mengenai Perkasa, Nazri harus menerima hakikat Perkasa hanyalah sebuah NGO. Orang Melayu tahu membezakan antara parti politik dan NGO.

Awang sesungguhnya tidak berminat berhujah panjang dengan Nazri. Beliau berjawatan menteri, lagi pandai dan bijaksana. Biarlah orang ramai dan pembaca yang menilai. Awang takut menjadi orang yang riak. Jika Awang dilihat silap perhitungan dan terlanjur kata, Awang sedia menerima apa sahaja hukuman. Tiada penyesalan. (Petikan Mingguan Malaysia, 19 September 2010).

Komen:
Walaupun daripada sudut berita, cerita di atas telah dianggap basi namun ia masih menarik perhatian umum kerana kecondongan (slant) beritanya. Cerita Nazri Aziz "marah" sangat dengan Tun Mahathir apabila Nazri dilaporkan sebagai berkata, " ‘‘Saya tidak boleh faham Utusan. Siapa ketua mereka - Najib atau Dr. Mahathir?,’’ kata beliau dalam laporan bertajuk Nazri persoal agenda Utusan perlekeh dasar Najib.

Tak perlu komen banyak mengapa Nazri berkata begitu atau mengapa "Bisik-Bisik Mingguan" Awang Selamat berpandangan seperti demikian. Mungkin juga kedua-dua tokoh ini - Nazri dan Awang Selamat (siapa Awang Selamat?) betul. Secara tersirat, Nazri mahu Perdana Menteri hari ini mesti diberi fokus utama dan kedudukan tertinggi, berbanding mantan perdana menteri yang telah hampir satu dekad meninggalkan kedudukan tertingginya dalam Pentadbiran Negara. Dengan lain perkataan Tun Mahathir tidak perlulah menonjolkan diri dalam era pentadbiran Najib sekarang. Memadailah berbuat seperti apa yang dilakukan Lee Kuan Yew di Singapura jika pun masih mahu menjadi penentu dasar pentadbiran.

Maksudnya, seperti kata sesetengah kalangan lantik sahaja Tun Mahathir sebagai menteri mentor seperti halnya Lee Kuan Yew di Singapura supaya Tun Mahathir boleh memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju negara berama perdana menteri sekarang. Ini tentunya lebih munasabah. Itu pun jika Najib perlukan penasihat untuk membantunya.

Atau seperti juga halnya dengan pandangan Nazri ada juga sesetengah kalangan yang mahu Tun Mahathir tidak campur tangan terlalu sangat dalam pentadbiran rejim hari ini. Biarkan perdana menteri sekarang menerajui hala tuju negara dan bekas perdana menteri sekadar memberi nasihat di belakang tabir. Tak mahulah pula nanti akan ada yang kata Malaysia ibarat sebuah kapal yang mempunyai dua nakhoda.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

FAMILY BLOGS

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
With Tan Sri Dol Ramli, Ex-Director General (RTM) at his residence, Bukit Ampang, KL..

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
Sharing a light moment with Tun salleh Abbas at his residence in Kuala Lumpur.

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983
Dato' Dr. Firdaus Abdullah chairing the session, with Dr. Sulaiman Masri (extreme right) and Haji Jajuli Abd. Rahman (second from right).