WELCOME TO THE BORDERLESS WORLD OF POSSIBLITIES!

How about sharing your slants and perspectives - left, right, up above or down below!?
There was an error in this gadget

Saturday, 16 July 2011

Dilema Orang Melayu yang Tak Kunjung Selesai. Apa Masih Adakah Jalan Keluar?


 Profesor Diraja Ungku Aziz banyak memberikan idea untuk memajukan ekonomi orang Melayu.

Yang Diperkatakan Datuk Salleh Majid, bekas Presiden Bursan Saham Kuala Lumpur di bawah ini adalah refeleksi kedudukan dan sikap orang Melayu yang dianggap berada dalam dilema. Betapa tidaknya, hak orang Melayu dalam bidng ekonomi ada dalam Perlembagaan tetapi tak boleh diungkit banyak kerana mengikut Salleh akan dianggap rasis atau perkaumnan.
Apakah masih ada ruang untuk membincangkan isu kelemahan orang Melayu dalam bidng ekonomi? Tak banyak, mungkin masih ada tapi semkin sempit. Apa yang harus dilakukan. PM sekarang sibuk dengn transformasi ekkonominya tapi perlu pula bersedia membuka ruang untuk orang bukan Melayu. Apa yang ditulis Salleh ini barangkali boleh membuka mata orang Melayu, terutama pemimpin daripad semua lapisan, tidak terkecuali dalam bidang politik. Ikutilah perbincaangan Salleh Majid yang dianggap arif dalam bidangnya ini.

Dipetik daripada artikel "Dilema Melayu Ketinggalan tetapi lalai" oleh  Datuk Salleh Majid, Utusan Malaysia, 16 julai 2011.

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).
ORANG Melayu hari ini berdepan dengan satu suasana yang menimbulkan dilema kepada mereka. Memandangkan kepesatan perubahan yang berlaku, orang Melayu ada yang cuba bersuara tetapi setiap orang Melayu bersuara terutama sekali tentang hak mereka walaupun termaktub dalam Perlembagaan, mereka akan dilabel rasis, sedangkan dia menyaksikan satu demi satu tuntutan daripada bangsa lain ditunaikan sehingga yang tidak mereka tuntut pun diberikan.
Orang Melayu difahamkan bahawa apa jua yang tersirat dalam Dasar Ekonomi Baru dulu tersurat dalam Modal Ekonomi Baru dalam bentuk tindakan afirmatif berlandaskan keperluan dan merit.
Syarat merit inilah membuatkan usahawan Melayu melepas dalam projek mega seperti MRT yang bernilai RM50 bilion. Merit inilah membuatkan usahawan sahih Melayu melepas projek ladang udang bersepadu. Merit inilah menyebabkan 300 vendor Melayu dalam Petronas akan terkapai- kapai kerana liberalisasi membenarkan orang asing menguasai perniagaan yang sama tanpa syarat, dulu mewajibkan mengambil rakan kongsi Melayu.
Kini Initiatif Perubahan Strategik yang diumumkan salah satu daripadanya ialah liberalisasi perkhidmatan untuk meningkatkan sumbangan perkhidmatan daripada 55 peratus (%) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 70 %.
Apa jua jenis perkhidmatan yang ada pada hari ini seperti pengangkutan, penjagaan kesihatan, khidmat pengurusan, kewangan dan bermacam lagi akan dibuka. Perkhidmatan profesional juga akan dibuka seperti arkitek, perakaunan, perkhidmatan sekretarial dan yang berkaitan dengan kewangan.
Pada masa ini perbankan dan pengurusan syarikat broker saham sudah dibuka kepada pemilik asing. Malangnya syarikat broker saham asing lebih gemar mengambil pelabur tempatan daripada membawa masuk pelabur asing.
Menyentuh tentang memperbaiki keadaan usahawan Melayu, salah satu inisiatif yang digariskan ialah merapatkan jurang antara syarikat kecil dan sederhana dengan yang besar. Tanggungjawab ini diserahkan kepada Tan Sri Nor Mohamed Yaacob. Apa yang diperlukan ialah apa yang dihasrat oleh Majlis Tindakan Bumiputera yang sekretariatnya Unit Peneraju Agenda bumiputera (Teraju).
Teraju difahamkan tidak mempunyai kakitangan yang mencukupi dan tidak mempunyai belanjawan yang cukup juga.Terpenting sekali Teraju tidak mempunyai kuasa dibandingkan dengan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).
Dewan Perniagaan Melayu Malaysia dalam suatu kenyataan mengulas apa yang telah dilakukan oleh Pemandu menyatakan bahawa Dewan telah hilang kepercayaan kepada Pemandu dan banyak perkara yang dilakukan oleh Pemandu tidak ambil pusing bahawa majoriti penduduk di negara ini ialah orang Melayu.
Pemandu telah mengambil alih fungsi jabatan-jabatan penting seperti Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi (ICU) dan segala-gala transformasi ditentukan oleh Pemandu.
Ia dianggotai oleh perunding-perunding asing yang dibayar mahal-mahal dan menafikan peluang orang tempatan untuk turut serta. Tidak hairan kalau perunding-perunding asing ini berkongsi maklumat dengan pihak-pihak luar yang tidak sepatutnya ada akses kepada perancangan negara kita.
Perunding tempatan tidak sebaik perunding asing. Kalau ada seorang dua pun diambil sebagai 'token'. Segala-gala pembahagian dalam proses transformasi ekonomi ini sudah ditentukan, siapa dapat apa.
Orang Melayu dilihat sebagai tidak layak dalam apa jua bidang walaupun misalnya dalam bidang binaan, 39% daripada keseluruhan syarikat binaan adalah orang Melayu.
Inilah dilema orang Melayu. Mereka membawa ke tengah pelbagai usul termasuk memperkasakan Mara supaya dapat membantu usahawan Melayu, disusun semula, diperkuatkan strukturnya, diberikan suatu bentuk baru dan dikemukakan kepada Ahli Majlis Tertinggi UMNO supaya sesuatu dilakukan, malangnya selepas dua tahun berlalu, tiada juga tindakan.
Mereka mendengar taklimat demi taklimat oleh Teraju tetapi mereka diberitahu masalah yang dihadapi oleh Teraju bukan apa yang ingin dilakukan oleh Teraju untuk mempertingkatkan kedudukan usahawan Melayu.
Teraju hanyalah sekretariat tetapi Pemandu diketuai oleh seorang menteri. Di situ boleh dilihat perbezaan kuasa yang ada.
Inilah dilema orang Melayu. Kalau mereka menyuarakan rasa tidak puas hati, mereka dilabel bersifat perkauman sedangkan mereka melihat saja orang lain "memetik buah-buahan yang ranum-ranum."
Orang Melayu juga dibuai oleh hiburan. Pelbagai usaha untuk melalaikan orang Melayu atas nama perniagaan berlaku. Pelbagai macam festival, jom heboh, festival telekom dan seribu satu macam acara lagi semuanya dihujani oleh orang Melayu.
Begitu juga di media elektronik televisyen, orang Melayu disuapkan hari-hari dengan drama-drama kurafat yang kebanyakannya menunjukkan perkara yang melanggar akidah seperti nasi kangkang, sejundai dan ilmu hitam yang tidak patut dipertontonkan.
Dalam bidang pendidikan orang Melayulah yang ketinggalan. Pelajar insitutusi awam tidak dapat menguasai komunikasi, pengetahuan am dan keyakinan diri seperti pelajar institusi pengajiran tinggi swasta. Mereka lemah dan bilangan mereka bertambah setiap tahun memenuhi angka pengangguran. Yang menerima biasiswa daripada syarikat milik kerajaan pun menganggur.
Seperkara lagi bilangan pelajar perempuan hampir lima kali ganda pelajar lelaki. Ke mana perginya pelajar lelaki. Di pusat serenti? Kita mengetepikan bahasa Inggeris kerana takutkan bahasa Melayu tergugat kedudukannya sedangkan realiti di luar, misalnya di syarikat-syarikat lebih rela mengambil graduan yang fasih berbahasa Inggeris.
Apakah terkorban kedudukan bahasa Melayu bila kita berbahasa Inggeris? Pergi sahaja mana-mana mesyuarat jabatan kerajaan dan dengarlah bahasa apa yang digunakan. Yang menjadi mangsa pelajar-pelajar kita. Sedih melihat mutu penguasaan bahasa Inggeris mereka walaupun mereka di universiti.
Dalam bidang perniagaan kita tahu bahawa rantaian bekalan dikuasai oleh bukan Melayu. Kalau dapat pun projek bahan binaannya boleh didapati daripada pembekal bukan Melayu dan harganya berbeza daripada kontraktor bukan Melayu. Rantaian bekalan patut ditembusi supaya keadaan atas belas kasihan bukan Melayu ini tidak berlarutan.
Begitu juga barang makanan. Pembekal boleh memboikot sesuatu usaha untuk memperbaiki keadaan. Misalnya penangkap ikan di laut dalam baru-baru ini boleh mogok kerana soal subsidi kepada mereka. Akhirnya kompromi terpaksa dilakukan, melemahkan pendirian kerajaan.
Begitu juga dalam soal gula dan tepung dulu. Mereka tidak mahu dilesenkan. Ini menunjukkan "kartel" ini perlu dipecahkan supaya tidak terus mencengkam kita.
Inilah dilema orang Melayu, sudahlah ketinggalan dalam pelbagai bidang terus dibuaikan dengan hiburan yang tidak berfaedah supaya terus lalai dan tidak menghiraukan masalah yang dihadapi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

FAMILY BLOGS

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
With Tan Sri Dol Ramli, Ex-Director General (RTM) at his residence, Bukit Ampang, KL..

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
Sharing a light moment with Tun salleh Abbas at his residence in Kuala Lumpur.

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983
Dato' Dr. Firdaus Abdullah chairing the session, with Dr. Sulaiman Masri (extreme right) and Haji Jajuli Abd. Rahman (second from right).