WELCOME TO THE BORDERLESS WORLD OF POSSIBLITIES!

How about sharing your slants and perspectives - left, right, up above or down below!?
There was an error in this gadget

Tuesday, 12 July 2011

Pasca Bersih 2.0: Hubungan PAS-DAP-PKR Semakin Kental?


Penyokong BERSIH 2.0 tiba di Stesen KTM Kuala Lumpur sebelum memulakan perarakan.


Sesetengah penganalisis politik memberikan pandangan bahawa  hubungan tiga serangkai DAP-PKR-PAS semakin erat dan kental selepas Peristiwa Bersih 2.0, 9 Julai 2011 yang lalu. Ada jalinan kerjasama dalam kalangan pemimpin ketiga-tiga politik terbabit. Ini dapat dilihat daripada kehadiran tokoh-tokoh penting berkumpul di Hotel Hilton, KL Sentrl sejurus sebelum turun menyertai perhimpunan di KL Sentral. Kalaulah tidak kerana tindakan Polis yang menghalang pergerakan mereka menuju ke Istana Negara, mereka dikatakan sudah pasti lulus ke destinasi. 

Apapun jua seperti yang dilaporkan para bloger di lapangan dan  wartawan dari media Barat, terutama dari CNN, BBC dan Aljazeera yang melaporkan mengikut kehendak "tuan" mereka, akhirnya terjadilah peristiwa yang telah sama-sama kita dengar, baca malah alami. Berikut adalah petikan rencana wartawan Utusan Malaysia, Zulkiflee Bakar yang mengikuti Peristiwa berkenaan mengenai analisisnya terhadap PAS yang dianggapnya sebagai "setia jadi pak turut" :

Pas terus setia jadi pak turut Oleh ZULKIFLEE BAKAR um 11 julai 2011

S



DENGAN fikiran yang tenang, ingatkan kembali wajah-wajah penunjuk perasaan yang menimbulkan huru-hara dalam perhimpunan haram di Kuala Lumpur, kelmarin. Lihatlah dengan teliti satu persatu, siapakah kumpulan majoriti dalam demonstrasi itu? Apakah keturunan dan agama mereka? Apa pakaian yang mereka pakai? Serta siapa yang mereka sokong?
Kita akan mendapat satu sahaja jawapan iaitu majoritinya ialah orang Melayu, beragama Islam dan penyokong Pas. Ada antara mereka yang kononnya atas nama perjuangan sudah berhari-hari di ibu negara dan ada pula baru tiba semata-mata untuk menyertai demonstrasi berkenaan.
Mereka sanggup datang daripada jauh dan dekat, merempat di masjid dan surau, stesen bas dan kereta api, menumpang rumah saudara dan taulan hanya dengan satu matlamat iaitu menyertai perhimpunan haram!
Akibat ketaksuban yang menguasai pemikiran dan mata hati, mereka tidak sedar bahawa perjalanan jauh mereka ke ibu negara adalah semata-mata untuk menjayakan satu perhimpunan haram yang dianjurkan oleh Pengerusi Bersih, Datuk S.Ambiga.
Ambiga bukanlah ahli politik dan malahan beliau tidak pernah menyertai mana-mana pilihan raya sebagai calon, sebaliknya Ambiga lebih dikenali sebagai salah seorang penyokong Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang suatu ketika berusaha menggugat kesucian agama Islam.
Malahan penyokong Pas yang bersedia menjadi 'pak sanggup' itu juga tidak memikirkan bagaimana biadabnya Ambiga menunjukkan kedegilannya kepada pihak berkuasa yang melarang perhimpunan haram tersebut diadakan. Tetapi pemimpin dan sebahagian ahli Pas yang sudah diresapi semangat politik kebencian seperti biasa mudah lupa dan begitu senang memaafkan, biarpun individu berkenaan pernah menggugat agama mereka.
Apa yang mengecewakan sehari sebelum itu, khutbah Jumaat yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah mengingatkan mengenai siapa penganjur perhimpunan haram berkenaan.
Malahan Jakim secara tegas menyatakan, '' Mimbar ingin menyatakan bahawa mereka ini sebenarnya pernah menimbulkan kemarahan umat Islam. Mempertikaikan hak-hak orang Islam serta memperalatkan sebahagian daripada pemimpin yang beragama Islam yang dikaburi oleh keghairahan untuk mendapatkan kuasa.''
Kita bersimpati dengan penyokong-penyokong Pas berkenaan yang sanggup berkorban datang ke Kuala Lumpur semata-mata menyahut seruan Ambiga yang disampaikan melalui pemimpin-pemimpin mereka. Dalam demonstrasi haram tersebut, penyokong Pas basah kuyup bukan sahaja disirami hujan malah ada yang pedih mata akibat terkena gas pemedih mata dan semburan air kuning oleh pihak polis.
Dalam soal ini, jangan sesekali menyalahkan pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam. Ketika berkumpul pula Pas yang ada pemimpinnya begitu mudah mengatakan mereka lebih hebat dalam perjuangan Islam tidak pula mempedulikan mahram dan bukan mahram.
Semuanya bercampur gaul bersama-sama sama ada yang berserban atau berkopiah, bertudung atau berpurdah, semuanya sudah dianggap 'halal' kononnya atas nama menegakkan kebenaran dan meranapkan kebatilan. Tingkah laku mereka juga amat menyedihkan sebagai seorang penyokong kepada sebuah parti yang selama ini merasakan mereka lebih Islam daripada UMNO.
Lebih mengecewakan ialah sebahagian mereka adalah penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang sanggup mengingkari arahan kerajaan supaya jangan terlibat dalam perhimpunan tersebut semata-mata menjadi alat kepada pemimpin-pemimpin Pas.
Sebab itulah pemimpin-pemimpin Pas perlu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku ke atas penyokong-penyokong mereka termasuklah jika ada di kalangan mereka dibuang dari IPT.
Ia kerana sudah berminggu-minggu amaran telah diberikan oleh pihak berkuasa bahawa perhimpunan di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu melanggar undang-undang negara.
Tetapi sebahagian besar penyokong Pas yang hadir tidak diberi gambaran sebenar kesan buruk akibat penyertaan mereka, sebaliknya pemimpin Pas meracunkan pemikiran ahli-ahli parti itu dengan menyatakan inilah adalah satu perjuangan bagi menuntut keadilan dan meruntuhkan kezaliman kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
Maka tersenyumlah Ambiga, pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kerana mempunyai rakan sekutu seperti Pas yang cukup akur mematuhi arahan agar mengerahkan ahli-ahlinya menghadiri perhimpunan haram berkenaan.
Penyokong-penyokong Pas yang hadir juga seolah-olah tertipu apabila tidak ramai penyokong PKR apatah lagi DAP yang datang untuk berhadapan dengan pihak berkuasa.
Kesudahannya penyokong Pas yang menjadi sasaran dikejar dan ditangkap oleh pihak polis sedangkan penyokong kedua-dua parti itu hanya menonton di televisyen atau membaca di dada-dada akhbar bagaimana 'lawaknya' gelagat kawan mereka dalam Pas yang menyertai demonstrasi berkenaan.
Namun begitu tidak semua ahli Pas yang sejahil kelompok yang datang ke Kuala Lumpur, semalam, masih ada lagi sebahagian pemimpin dan ahli Pas yang mampu berfikir secara waras.
Mereka tidak menyahut seruan turun ke Kuala Lumpur biar pun Presiden Pas sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyertainya. Ia kerana mereka amat memahami kesan buruk akibat perhimpunan haram tersebut.
Beberapa pemimpin muda Pas yang dihubungi oleh penulis beberapa hari sebelum perhimpunan berkenaan memberitahu bahawa mereka tidak rela menjadi 'pak turut' bagi memenuhi agenda Ambiga, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.
Tambahan pula mereka sendiri merasakan ketiga-tiga pihak berkenaan mempunyai agenda tersirat di sebalik perhimpunan haram tersebut.
Malahan ketangkasan pihak polis membongkar pelbagai elemen yang cuba menyerap masuk semasa demonstrasi berlangsung juga turut membimbangkan pemimpin-pemimpin muda itu.
Ia kerana mereka merasakan perhimpunan haram tersebut bukan sekadar menuntut sebuah pilihan raya bebas, adil dan telus tetapi lebih daripada itu menjurus ke arah menghuru-harakan negara dan menjatuhkan kerajaan secara tidak sah. Tetapi semua ini tidak ada dalam pemikiran pemimpin-pemimpin Pas terutamanya di kalangan mereka yang menjadi penyokong kuat kepada Anwar.
Sikap mereka yang terlalu taksub berpegang kepada kerjasama dengan pakatan pembangkang membolehkan Anwar memanipulasikan kekuatan Pas untuk kepentingan politiknya.
Anwar tidak boleh bergantung kepada PKR yang semakin merudum sokongannya di kalangan rakyat. Malahan PKR tidak sehebat Pas dalam penyusunan organisasinya.
Tambahan pula Anwar tahu ahli-ahli Pas sentiasa patuh dan taat kepada arahan pemimpin-pemimpin mereka, oleh itu Anwar memanipulasikan semua itu bagi membolehkan Pas menjadi penggerak utama dalam demonstrasi yang dilancarkan.
Berdasarkan kehadiran pada perhimpunan haram, kelmarin ramai yang yakin bahawa ia tidak akan seramai mana jika penyokong-penyokong Pas tidak turun ke jalanan.
Bersih tidak ada kekuatan, begitu juga PKR manakala DAP pula tidak akan memperbodohkan diri dengan menyuruh masyarakat Cina meninggalkan masa berfaedah mereka dengan menyertai demonstrasi tersebut.
Ini berbeza dengan Pas yang pemimpin-pemimpinnya begitu ghairah untuk menunjukkan semangat setiakawan sehingga mengerahkan ahli-ahlinya menyahut seruan Ambiga, Anwar dan DAP.
'Lebih hebat' lagi ada pula di kalangan penyokong Pas yang sanggup menjadi 'penaja utama' dengan memberi elaun khas kepada penyokong parti itu yang menyertai perhimpunan haram tersebut.
Demikianlah nasib Pas, dari semasa ke semasa, parti itu terus menjadi 'pak turut' yang boleh diarah membuat itu dan ini untuk kepentingan orang lain.
Semua itu terjadi kerana Pas kini bukan lagi pejuang negara Islam, Pas tidak lagi berdiri atas prinsip menegakkan syariat Allah atau sebuah parti yang berdiri di atas kaki sendiri tetapi Pas kini adalah sebuah parti yang dahagakan kedudukan dan memburu kekuasaan sama seperti PKR dan DAP sehingga terus rela menjadi 'pak turut'!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

FAMILY BLOGS

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
With Tan Sri Dol Ramli, Ex-Director General (RTM) at his residence, Bukit Ampang, KL..

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
Sharing a light moment with Tun salleh Abbas at his residence in Kuala Lumpur.

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983
Dato' Dr. Firdaus Abdullah chairing the session, with Dr. Sulaiman Masri (extreme right) and Haji Jajuli Abd. Rahman (second from right).