WELCOME TO THE BORDERLESS WORLD OF POSSIBLITIES!

How about sharing your slants and perspectives - left, right, up above or down below!?
There was an error in this gadget

Monday, 14 May 2012

UMNO 66 TAHUN KEMUDIAN...

Artikel di bwah ini ditulis menjelang 55 tahun usia UMNO, 11 tahun yang lalu. Sekadar perbandingan situasi dan lanskap politik UMNO untk tatapan anggota dan pemimpin UMNO yang menjadi tunjang memperkukuh benteng Barisan Nasional mnjelang PRU ke-13 yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Perhimpunan besar-besaran di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam 11 Mei 2012 yang lalu memperlihat kesungguhan para pemimpin UMNO mengembalikan kegemilangan UMNO. Mampukan barisan pemimpin UMNO hari ini mengulangi sejarah kegemilangannya setelah tsunami politik tahun 2008. Ikutilah artikel berikut yang ditulis pada 20 Jun 2001.

Ketika UMNO Di Usia Persaraan

 Tahun ini usia UMNO genap 55 tahun. Sidang Perwakilan tahun 2001 merupakan sidang ke 55. Kalaulah UMNO seorang insan yang bekerja  dengan kerajaan maka ia bermakna telah masuk usia bersara dan secara automatik menganggotai "Senior Citizen's Club". Kemudahan yang diperoleh selain wang pencen  dan rawatan percuma ialah naik keretapi dengan tiket diskaun 50% dan naik pesawat MAS domestik juga dengan tiket diskaun 50%

 Dalam pada itu insan yang seusia itu telah mula pula sakit-sakitan. Ada yang menghidap penyakit barah, sakit buah pinggang, sakit darah tinggi dan kencing manis. Seolah-olah penyakit itu datang bersama usia pencen. Yang mujur dapat bertahan hingga ke usia 70an dan 80an. Itupun kerana yang bertahan itu mengamalkan makan sihat dan olahraga. Kalau tidak sakit sengal, dan segala macam penyakit telah pun berjinak-jinak dengan badan pesakit.

 Demikian pulalah halnya dengan UMNO yang masuk usia 55 tahun. Ada semacam penyakit yang telah mula berakar umbi sehingga menjadi barah yang kronik. Penyakit barah itu ialah amalan politik wang, penyakit yang paling dominan ketika ini. Keputusan Lembaga Disiplin parti yang dipengerusikan Tan Sri Tengku Ahmad Rithahudeen dan dianggap doktor mengubat penyakit dalam seminggu dua ini membuat keputusan memecat beberapa ketua bahagian UMNO dan mengambil tindakan disiplin terhadap ramai yang lain. Keputusan Lembaga ini seperti mengakui wujudnya penyakit barah dalam UMNO. 

 Keputusan Lembaga Disiplin juga menimbulkan perbincangan hangat sepanjangan perhimpunan kali ini. Malah sewaktu taklimat tertutp Selasa lalu oleh Presiden Parti, Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad kepada kira-kira 800 anggota perwakilan isu politik wang dan pemecatan beberapa ketua bahagian menjadi tema penting taklimat. Para pemerhati politik, khususnya parti UMNO, tidak sukar meneka apa yang ditaklimatkan presiden parti. Taklimat itu barangkali adalah lanjutan daripada rayuannya kepada perwakilan pada mesyuarat perwakilan tahun lalu agar "ahli parti menjauhkan diri daripada politik wang."

 Bukan tidak mungkin presiden berkata bahawa gejala "kotor" ini harus dipertanggungjawabkan "kepada semua anggota perwakilan yang, terutama mereka yang memilih orang-orang yang dipertanggung jawabkkan memimpin UMNO. Yang memilih anggota Majlis tertinggi adalah anggota perwakilan. Jadi jika ada ahli majlis tertinggi dituduh main politik wang maka yang perlu dipersalahkan ialah anggota perwakilan kerana mereka yang memilih. Begitu juga halnya dengan suasana dalam mesyuarat bahagian. Yang memilih ketua bahagian dan ahli-ahli jawatankuasanya ialah ahli-ahli UMNO peringkat bahagian. Jadi mahu disalahkan siapa jika ada ketua bahagian didapati bersalah mengamalkan politik wang untuk menang.

 Lalu timbul pula desakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Hishamuddin Tun Hussein supaya UMNO turut mendakwa ahli yang menerima wang daripada mereka yang telah didapti bersalah  mengamalkan politik wang. Desakan Hisahamuddin ini menarik kerana implikasinya jika UMNO melaksanakannya. Contohnya ada beberapa bahagian yang ketuanya telah dilucutkan jawatan kerana bersalah mengamalkan politik wang. UMNO boleh mendapatkan kerjasama ketua bahagian yang dipecat supaya menamakan anggota-anggota yang telah menerima sogokan daripadanya. 

 Sepatah kata seorang pemerhati di PWTC, tempat berlangsungnya sidang perwakilan tahunan, "Masalah akan jadi tambah mudah jika yang dipecat dapat menunjuk orang-orang yang menerima wang daripadanya. Tetapi ia memerlukan keberanian dari pihak yang dipecat. Dan yang lebih penting jika yang dipecat masih sayangkan UMNO." Soalnya ialah apakah ada yang sanggup mendedahkan nama-nama orang yang menerima wang. 

 Keputusan Lembaga Disiplin juga membuat keputusan yang berbeza-beza menimbulkan keresahan di kalangan ahli kerana tidak banyak maklumat diperoleh mengapa timbulnya keputusan yang berbeza. Naib Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak mahu agar Lembaga Disiplin memberikan penjelasan supaya tidak timbuul sebarang salah sangka. Umumnya reaksi daripada pelbagai kalangan dan tingkat heirarki UMNO menunjukkan wujudnya suasana yang kurang "aman" dalam UMNO. Malah bagi yang kononya menjadi "mangsa" tindakan Lembaga Disiplin, ada yang berura-ura membawa kesnya ke mahkamah, dan ada pula yang menuduh Lembaga tidak adil dan membuat keputusan yang "aneh".

 Inilah skenario politik UMNO pada perhimpunan ke 55nya tahun ini. Satu skenario yang tidak tumpah seperti seorang insan berpenyakit yang menyambut uisa bersaranya. Masalahnya bagaimana dia dapat memanfaatkan usia bersaranya itu dalam keadaan berpenyakit. Dan UMNO, bagaikan insan berpenyakit itu perlu memikirkan cara terbaik memanfaatkan usia 55 tahunnya. Parti politik bukan manusia dan usia mestinya tidak menjadi penghalang untuk terus maju dan berkembang. Demikian pula UMNO. Tidak semestinya pada usia 55 tahun UMNO perlu pasrah kepada keadaan. Penyakit apapun dalam tubuh badan UMNO perlu diubati sampai sembuh. Walaupun ada kalanya ia harus menelan pil pahit.

 Taklimat khas presiden Selasa lalu itu  barangkali memberi kesedaran kepada anggota perwakilan tentang bahayanya jika penyakit barah (politik wang) tidak dibendung. Namun ada pula yang mempersoalkan apakah kesedaran itu masih belum terlambat kerana pelbagai reaksi yang wujud selepas tindakan Lembaga Disiplin  seperti menambah runcing masalah perpaduan dalam parti. Contohnya, ketua bahagian yang dipecat mempunyai penyokong-penyokongnya sendiri. Dia juga adalah orang paling berpengaruh di bahagian. Apakah tidak mungkin yang dipecat itu akan menggunakan segala cara dan tindakan demi keepntingan peribadi sehingga perpaduan di kalangan ahli terjejas.

 Perkembangan terbaru di Baling membenarkan andaian ini sehingga Menteri Besar Kedah terpaksa campur tangan apabila ada cawangan-cawangan di bahagian itu enggan bekerjasama dengan pengganti ketua bahagian yang dipecat. Di Muar kes pemecatan ini menjadi tambah unik. Setelah Ketua bahagiannya dipecat, calon yang kalah diangkat menjadi ketua bahagian turut menjadi mangsa pemecatan. Maka diangkat pula Timbalannya menjasi ketua. Apakah tikdak mungkin nanti ada orang mendakwa Timbalan juga mengamalkan politik wang sehingga Lembaga Disiplin bertindak ke atasnya pula. Maka cerita dakwaan dan pemecatan ini akan berterusan, tanpa diketahui  bila ia akan berakhir.

 Dalam hal ini pertanyaan seorang pemerhati dari Johor agak menarik. "Mana ada negara dalam dunia ini yang orang politiknya tidak mengamalkan politik wang. Ia sudah menjadi tradisi, sudah mendarah daging. Di Amerika hanya yang kaya dapat berkuasa kerana mereka gunakan wang untuk mencari kuasa. Lagipun takkanlah nak jadi pemimpin cukup dengan gusi dan lidah sahaja."  Dalam pemilihan UMNO terakhir ada seorang calon naib presiden terpaksa akur dengan wujudnya amalan buruk ini. Calon tidak berdaya menentang kekuatan tradisi itu sehingga dilaporkan dia mengeluarkan kata-kata, "Bagi salah, tak bagi kalah." Akhirnya dia kecundang, walaupun dia dianggap calon popular menjelang  pemilihan.

  Secara tersirat pertanyaan pemerhati itu menunjukkan bahawa UMNO tidak dapat mengelak daripada ahli-ahlinya mengamalkan politik wang. Sebabnya,  membersihkan parti daripada amalan ini bermakna pemimpin parti akan berdepan dengan susana gawat yang lebih kronik. Apakah tidak mungkin nanti UMNO kehilangan banyak ahli dan pengaruh? Apakah tidak mungkin nanti apa yang berlaku kepada penyokong bekas Timbalan Presiden Datuk Seri Anuar Ibrahim akan berlaku pula kepada semua ketua bahagian dan ahli majlis tertinggi yang dipecat kerana kesalahan demikian? Tidak mustahil inilah yang ditunggu oleh parti lawan UMNO untuk "menangguk di air keruh".

 Malah sudah ada cakap-cakap di kalangan ahli politik UMNO yang mendakwa bahawa motif pertemuan Presiden PAS, Datuk Fadzil Nor bersama dua orang pemimpin PAS yang lain dengan Menteri Luar Australia baru-baru ini dikaitkan dengan suasana dalam UMNO sekarang ini. Jika UMNO lemah kerana faktor dalaman maka PAS menjadi semakin kuat dan berusaha menampilkan diri sebagai parti Melayu terkuat untuk menggantikan UMNO.

 "Kalau pun UMNO tidak lagi berpengaruh sebagai parti Melayu tunggal yang terkuat, ia bukan disebabkan oleh kekuatan parti lawan, tetapi disebabkan kelemahan UMNO akibat perpecahan di kalangan ahli-ahlinya sendiri," kata seorang veteran UMNO. "Semua anggota UMNO bertanggungjawab memelihara perpaduan parti. Ia bukan hanya tugas seorang presiden parti. Dan dalam kes amalan politik wang siapakah ahli-ahli UMNO yang benar-benar mahu bertanggungjawab membenterasnya. Siapakah yang sanggup bertanya diri sendiri secara jujur apa tujuan dia masuk UMNO?"  Menurutnya, jika ada ahli UMNO yang jujur menjawab pertanyaan itu maka UMNO akan terus hidup seribu tahun lagi. Dan usia 55 tahun hanya akan dianggap sebagai tempoh mukadimmah dalam pembentukan dan kelangsungan hidup UMNO.

 A.F.Yassin

20 Jun 2001



 








No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

FAMILY BLOGS

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
With Tan Sri Dol Ramli, Ex-Director General (RTM) at his residence, Bukit Ampang, KL..

MALAYSIAN POLITICS

Loading...

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
Sharing a light moment with Tun salleh Abbas at his residence in Kuala Lumpur.

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983
Dato' Dr. Firdaus Abdullah chairing the session, with Dr. Sulaiman Masri (extreme right) and Haji Jajuli Abd. Rahman (second from right).