WELCOME TO THE BORDERLESS WORLD OF POSSIBLITIES!

How about sharing your slants and perspectives - left, right, up above or down below!?

Wednesday 21 May 2008

PITA POLITIK (24): PENYAKIT UMNO KETIKA BERUSIA 56 TAHUN

PROGRAM BICARA INSAN PEJUANG BANGSA MELAYU, ANJURAN KERAJAAN NEGERI JOHOR DAN DISELENGGARAKAN OLEH PEJABAT KETUA PENERANGAN DAN PENYELIDIKAN KERAJAAN NEGERI JOHOR, DI HOTEL PUTERI PAN PACIFIC, JOHOR BAHRU, 10 FEBRUARI 2002.

Mei depan usia UMNO genap 56 tahun. Kalaulah UMNO seorang insan yang bekerja dengan kerajaan maka ini bermakna dia telah masuk usia bersara (mengikut peraturan persaraan baru) dan secara automatik menganggotai Senior Citizen's Club. Kemudahan yang diperoleh selain wang pencen dan rawatan percuma ialah naik keretapi dengan tiket diskaun 50% dan naik pesawat MAS domestik juga dengan tiket diskaun 50%

Dalam pada itu insan yang seusia itu ada pula yang mula sakit-sakitan. Ada yang menghidap penyakit barah, sakit buah pinggang, sakit darah tinggi dan kencing manis dan bermacam-macam lagi. Seolah-olah penyakit itu datang bersama usia pencen. Yang mujur dapat bertahan hingga ke usia 70an dan 80an dan yang kurang mujur wallah-u-aklam! Itupun kerana yang bertahan itu mengamalkan makan sihat dan bersenam joging dan berolahraga barangkali . Kalau tidak sakit sengal, ada sahaja penyakit yang mula berjinak-jinak dengannya.

Demikian pulalah halnya dengan UMNO yang masuk usia persaraan ini. Ada semacam penyakit yang telah berakar umbi sehingga mula menjadi barah yang kronik. Penyakit barah itu ialah amalan politik wang, penyakit yang paling dominan ketika ini. Keputusan Lembaga Disiplin parti yang dipengerusikan Tan Sri Tengku Ahmad Rithahudeen dan dianggap doktor mengubat penyakit tahun lalu memecat beberapa ketua bahagian UMNO dan mengambil tindakan disiplin terhadap ramai yang lain seperti mengakui wujudnya penyakit ini dalam UMNO.

Keputusan Lembaga Disiplin juga menimbulkan perbincangan hangat di kalangan bukan sahaja ahli parti tetapi juga orang ramai. Malah sewaktu taklimat tertutup Presiden Parti, Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad kepada kira-kira 800 anggota perwakilan tentang isu politik wang dan pemecatan beberapa ketua bahagian tahun lalu mempunyai kesan penting. Ahli-ahli UMNO, khususnya dan orang Melayu umumnya, tidak sukar meneka apa yang dibincangkan presiden parti. Taklimat itu adalah lanjutan daripada siri rayuannya kepada semua ahli UMNO agar "mereka menjauhkan diri daripada politik wang."

Bukan tidak mungkin presiden mahu menyampaikan mesej bahawa gejala "kotor" ini harus dipertanggungjawabkan "kepada semua anggota UMNO, tidak terkecuali ahli perwakilan yang memilih pemimpin UMNO, baik di peringkat cawangan, bahagian mahupun di peringkat pusat.” Contohnya yang memilih anggota Majlis tertinggi adalah anggota perwakilan. Jadi jika ada ahli majlis tertinggi dituduh main politik wang maka yang yurut sama dipersalahkan ialah anggota perwakilan kerana mereka yang memilih. Begitu juga halnya dengan suasana dalam mesyuarat bahagian. Yang memilih ketua bahagian dan ahli-ahli jawatankuasanya ialah ahli-ahli UMNO peringkat bahagian. Jadi mahu disalahkan siapa jika ada ketua bahagian didapati bersalah mengamalkan politik wang untuk menang.

Lalu timbul pula desakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Hishamuddin Tun Hussein supaya UMNO turut mendakwa ahli yang menerima wang daripada mereka yang telah didapti bersalah mengamalkan politik wang. Desakan Hisahamuddin ini menarik kerana implikasinya jika UMNO melaksanakannya. Contohnya ada beberapa bahagian yang ketuanya telah dilucutkan jawatan kerana bersalah mengamalkan politik wang. UMNO boleh mendapatkan kerjasama ketua bahagian yang dipecat supaya menamakan anggota-anggota yang telah menerima sogokan daripadanya.

Jika desakan Ketua Pemuda Pemuda UMNO ini diambil kira, maka masalah penyakit ini akan menjadi bertambah mudah untuk diselesaikan. Yang dipecat dapat menunjuk orang-orang yang menerima wang daripadanya. Ini memerlukan keberanian dan komitmen serta iltizam daripada pihak yang dipecat, dan lebih penting yang dipecat itu masih sayangkan UMNO." Soalnya ialah apakah ada yang sanggup mendedahkan nama-nama orang yang menerima wang.

Lembaga Disiplin tahun lalu juga membuat keputusan yang berbeza-beza sehingga menimbulkan keresahan di kalangan ahli UMNO, Sebabnya tidak banyak maklumat diperoleh mengapa timbulnya keputusan yang berbeza-beza itu. Misalnya, Naib Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak semasa mengulas keputusan yang berbeza-beza itu mencadangkan agar Lembaga Disiplin memberikan penjelasan supaya tidak timbuul sebarang salah sangka. Umumnya reaksi daripada pelbagai kalangan dan tingkat heirarki UMNO menunjukkan wujudnya suasana yang kurang "aman" dalam UMNO. Malah bagi yang kononya menjadi "mangsa" tindakan Lembaga Disiplin, ada yang berura-ura membawa kesnya ke mahkamah, dan ada pula yang menuduh Lembaga tidak adil dan membuat keputusan yang "aneh".

Inilah skenario politik UMNO pada perhimpunan ke 55nya tahun lalu. Dan kemungkinan besar dalam perhimpunan tahun ini isu yang serupa akan timbul lagi. Skenario ini saling tak tumpah tumpah seperti seorang insan berpenyakit yang menyambut uisa bersaranya. Jika sudah demikian masalahnya maka yang perlu ditanyakan sekarang ialah bagaimana dia dapat memanfaatkan usia bersaranya yang dalam keadaan berpenyakit itu itu dalam keadaan berpenyakit. Dan UMNO, bagaikan insan berpenyakit itu perlu memikirkan cara terbaik memanfaatkan usia persaraannya. Namun dalam hal ini parti politik bukan manusia dan usia tidak semestinya menjadi penghalang untuk terus maju dan berkembang. Demikian pula UMNO, yang menjadi parti tunggak perjuangan orang Melayu. Tidak semestinya pada usia 56 tahun UMNO perlu pasrah kepada keadaan. Penyakit apapun dalam tubuh badan UMNO perlu diubati sampai sembuh. Walaupun ada kalanya ia harus menelan pil pahit.

Taklimat khas presiden tahun lalu itu boleh dijadikan titik mula untuk mengubati penyakit politik wang dalam tubuh parti. Ia boleh memberi kesedaran kepada semua anggota parti dan tentang bahayanya jika penyakit barah (politik wang) ini jika tidak dibendung. Namun ada pula yang mempersoalkan apakah kesedaran itu sudah terlalu belum terlambat kerana pelbagai reaksi yang wujud selepas tindakan Lembaga Disiplin seperti menambah runcing masalah perpaduan dalam parti. Saya tanyakan ini kerana ketua bahagian yang dipecat contohnya mempunyai penyokong-penyokongnya sendiri. Dia juga adalah orang paling berpengaruh di bahagian. Apakah tidak mungkin yang dipecat itu akan menggunakan segala cara dan tindakan demi memastikan “kerjaya piolitiknya dalam UMNO” terus bertahan. Tidak kiralah sama ada tindakan yang bakal dilakakannya akan menjejaskan perpaduan parti.

Sebagai contoh, kita lihat perkembangan di Baling yang memaksa campur tangan Menteri Besar Kedah. Masihkah kita ingat ada beberapa cawangan di bahagian itu enggan bekerjasama dengan pengganti ketua bahagian yang dipecat. Di Bahagian Muar kes pemecatan kerana politik wang ini menjadi bertambah unik. Setelah Ketua Bahagiannya dipecat, calon yang kalah diangkat menjadi pengganti dan kemudian dia juga turut menjadi mangsa pemecatan. Maka diangkat pula Timbalannya menjadi ketua. Apakah tikdak mungkin nanti ada orang mendakwa Timbalan juga mengamalkan politik wang sehingga Lembaga Disiplin bertindak ke atasnya pula. Maka cerita dakwaan dan pemecatan ini akan berterusan, tanpa diketahui bila ia akan berakhir.

Dalam hal ini timbul pertanyaan. Mana ada negara dalam dunia ini yang orang politiknya tidak mengamalkan politik wang. Ia sudah menjadi tradisi, sudah mendarah daging. Di Amerika hanya yang kaya dapat berkuasa kerana mereka gunakan wang untuk mencari kuasa. Lagipun takkanlah nak jadi pemimpin cukup dengan gusi dan lidah sahaja. Dalam pemilihan Majlis Tertinggi UMNO yang terakhir, sesetengah calon yang ingin merebut tempat dalam Majlis Tertinggi terpaksa akur dengan wujudnya amalan buruk ini. Calon-calon ini tidak berdaya menentang kekuatan tradisi ini. Baginya "Bagi salah, tak bagi kalah." Akhirnya ramai yang kecundang, walaupun ada yang ketika penamaan calon dianggap popular dan favourite.

Secara tersirat pertanyaan di atas seperti menjawab sendiri bahawa UMNO tidak dapat mengelak daripada ahli-ahlinya mengamalkan politik wang. Sebabnya, membersihkan parti daripada amalan ini bermakna pemimpin parti akan berdepan dengan susana gawat yang lebih kronik. Apakah tidak mungkin nanti UMNO kehilangan banyak ahli dan pengaruh? Apakah tidak mungkin nanti apa yang berlaku kepada penyokong bekas Timbalan Presiden Datuk Seri Anuar Ibrahim akan berlaku pula kepada semua ketua bahagian dan ahli majlis tertinggi yang dipecat kerana kesalahan demikian? Tidak mustahil keadaan begini ditunggu-tunggu oleh parti lawan untuk sekali lagi "menangguk di air keruh".

Malah sudah ada cakap-cakap di kalangan ahli politik UMNO bahawa motif pertemuan Presiden PAS, Datuk Fadzil Nor bersama dua orang pemimpin PAS yang lain dengan Menteri Luar Australia tahun lalu itu dikaitkan dengan keadaan UMNO sekarang. Jika UMNO lemah kerana faktor dalaman maka PAS menjadi semakin kuat dan berusaha menampilkan diri sebagai parti Melayu terkuat untuk menggantikan UMNO.



09 Februari 2002

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

FAMILY BLOGS

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
With Tan Sri Dol Ramli, Ex-Director General (RTM) at his residence, Bukit Ampang, KL..

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
Sharing a light moment with Tun salleh Abbas at his residence in Kuala Lumpur.

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983
Dato' Dr. Firdaus Abdullah chairing the session, with Dr. Sulaiman Masri (extreme right) and Haji Jajuli Abd. Rahman (second from right).