WELCOME TO THE BORDERLESS WORLD OF POSSIBLITIES!

How about sharing your slants and perspectives - left, right, up above or down below!?
There was an error in this gadget

Monday, 9 March 2009

SUARA AKAR UMBI TENTANG PPSMI: "DENGARLAH RAYUANKU!"

Isu PPSMI ke perhimpunan

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my

KOTA BHARU 8 Mac - Isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan dibincangkan dalam usul pendidikan ketika Perhimpunan Agung UMNO pada 24 sehingga 28 Mac ini.

Menurut Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, PPSMI sebelum ini sering dibincangkan di Kabinet dan peringkat Majlis Tertinggi parti.

Sehubungan itu, katanya, semua pandangan mengenainya telah dikumpulkan oleh parti dan akan dibincangkan dalam perhimpunan berkenaan.

''Kita tidak mahu orang kata UMNO tidak memperjuangkan bahasa Melayu, sedangkan sejak dari dahulu kita sentiasa mempertahankannya,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau, pada perhimpunan itu juga para perwakilan dijangka membincangkan mengenai isu raja-raja Melayu yang pada masa ini dipertikaikan oleh pihak pembangkang.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul memberitahu, sebanyak tiga usul akan dibahaskan pada perhimpunan tersebut iaitu ucapan presiden, ekonomi dan pendidikan serta agama.

Kata Muhyiddin, draf akhir usul tersebut telah siap dan akan diserahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan sebelum dibincangkan dalam mesyuarat terakhir Majlis Tertinggi.

Katanya, ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menjadi tumpuan kerana ia merupakan amanat terakhir sebelum beliau menyerahkan kuasa kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita sedar UMNO berada dalam keadaan mencabar dan usaha penambahbaikan serta meningkatkan semula imej di khalayak orang Melayu sedang diusahakan.

''Jadi perhimpunan agung ini akan menjadi medan untuk perwakilan mencurahkan idea dan pendapat,'' katanya.

Tambahnya, perhimpunan tersebut juga akan menjadi medan untuk meningkatkan semula imej Barisan Nasional yang kini berada dalam keadaan kritikal terutama parti-parti komponen lain yang hilang keyakinan daripada kaum Cina dan India.

Sementara itu, Naib Presiden, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dalam kenyataannya berkata, UMNO akan tetap mempertahankan kedudukan bahasa Melayu.

Sehubungan itu beliau yakin, isu PPSMI akan disentuh oleh perwakilan pada perhimpunan agung UMNO hujung bulan ini.

Beliau berkata, isu PPSMI sedang ditangani oleh pihak kerajaan dan tidak perlu mana-mana pihak mengadakan demonstrasi jalanan.

"Isu ini nampaknya cuba dieksploitasi oleh pihak pembangkang dan ia patut dihentikan segera," tegasnya. (petikan utusan malaysia 9 mac 09)

Komen:
Baguslah. Tapi janganlah nanti UMNO menggunakan whip-nya pula untuk menentukan siapa yang patut bercakap dan siapa yang tak boleh. Lebih penting jangan manipulasi angka dan petunjuk dan juga hasil kajian. Yang lebih penting suara akar umbi perlu diambil kira dan dipertimbangkan masak-masak. Sebabnya telah banyak kedengaran suara rakyat yang semakin "menyampah" cara pemimpin UMNO, terutama menteri pelajarannya bercakap tentang PPSMI. Sikap degil dan angkuh seperti bermaharajalela dalam kepalanya.

Bayangkan apabila menteri itu bercakap dan bertanya setiap kali muncul di TV: "Kenapa baru sekarang isu PPSMI ini dipersoalkan? Kenapa tidak enam tahun dahulu?" Betulkah. Atau menteri itu sedang mimpi di siang hari.

Sejak enam tahun lalu isu ini telah mula dipertikaikan terutama oleh pejuang bahasa, pendidik serta cendekiawan. Ungku Aziz sudah memberikan pendapatnya betapa sains dan matematik perlu diajar dalam bahasa ibunda. Seminar dan kongres sudah diadakan. Memorandum dihantar. Keputusan dibuat. Tapi semua hasil itu sama ada ditolak ke tepi, dibakulsampahkan atau disimpan dalam laci menteri dan pegawai kanan kementerian. Lalu mereka pun cuci tangan seolah-olah tidak ada isu yang ditimbulkan. Pendek kata "Semua berjalan lancar dan baik."

Sasterawan Negara,Datuk A. Samad Said ada resipi menangani isu ini. Seperti katanya, "Kita tunggu pilihanraya umum 2012." Maksudnya Kalau kerajaan masih berdegil dan menterinya masih bersikap angkuh,kita tentukan undi kita nanti. Bukan setaat lima negeri terlepas malah seluruh negara akan melihat perubahan yang drastik.

Kalaulah menteri ini atau menteri yang lain berkata bahawa pihak pembangkang memperalatkan orang ramai, apa salah ke? Paling-paling parti ini prihatin, tidak kiralah jika ada udang di sebalik batu dalam sokongan mereka. Apa pula yang parti kerajaan lakukan? Terus nak manipulasi angka dan hasil kajian? Bak kata orang putih asyik "nak cook answer" sahaja.

Perlembagaan Persekutuan Fasal 152 tentang bahasa Melayu telah diperkutak-katik oleh parti yang memerintah kerajaan pusat sendiri melalui kerja-kerja perhubungan awamnya (public relations at work). Pandangan umum dicipta untuk konsumsi orang ramai, memanipulasi dan mencelarukan pendapat; mahu meyakinkan rakyat bahawa PPSMI adaah untuk kepentinagan masa depan anak bangsa.

Setelah bercakap dan mendapatkan pandangan banyak orang dalam perhimpunan mansuh PPSMI 7 Mac lalu di masjid negara, kebanyakannya memberikan pandangan bahawa mereka datang berkumpul bukan kerana mereka anggota PKR atau PAS, tetapi mereka datang secara individu, mewakili diri sendiri yang benar-benar prihatin dengan nasib bahasa Melayu dan sistem pendidikan negara. Kata mereka, " Kami tak menentang bahasa Inggeris, Tapi ajarilah bahasa Inggeris dan tigkatkan penggunaannya dalam mata pelajaran yang sesuai, seperti mata pelajaran bahasa Inggeris itu sendiri atau Kesusasteraan Inggeris. Perkasa bahasa Inggeris dan janganlah peralatkan mata pelajaran sains dan matematik."

"Kami faham tujuan menggunakan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kedua-dua mata pelajaran ini dianggap mata pelajaran wajib dan perlu diikuti oleh semua pelajar. Jadi lebih luas jangkauan sasarannya. Namu begitu apalah sains dan matematik boleh lakukan dengan hanya simbol dan angka."

Kadang-kadang naik pelik juga. Apabila isu PPSMI ini mula timbul beberapa blan lalu, TV banyak menyiarkan pandangan mereka yang kurang senang dengan pelaksanaannya. Ada suara cendekiawan dan bijak pandai yang meminta kerajaan timbangkan semula. Ada suara tokoh-tokoh penting seperti Prof. diraja Ungku Aziz, Datuk Dr. Hassan Ahmad, Datuk Dr. Zainal Kling, Dr.Abdullah Hassan, Prof. datuk Shahril Mat Zain, Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dan Tan Sri Ismail Hussein. Mereka memberikan pandangan secara rasional dan wajar. Mereka juga prihatin dengan masa depan anak bangsa dalam pendidikan. Ada juga suara orang ramai yang memberikan pandangan pro dan kontra. tetapi sejak akhir-akhir ini suara rasional itu hilang digantikan dengan suara-suara sepihak. Semuanya menyokong dasar PPSMI manakala suara dan pertimbangan rasional dan wajar tiba-tiba sahaja lenyap, tidak disiarkan lagi. Apa cerita? Orang ramai telah mula mengalih tontonan. Begitu juga dengan media cetak yang telah mula menyiarkan pandangan, SMS dan surat-surat yang semuanya menyokong PPSMI.

Pemimpin perlu sedar orang ramai tidak lagi mudah diperdaya. Di Amerika Syarikat suara media perdana tidak lagi menjadi penentu dalam mencipta pandangan umum. Lebih berkuasa dan berkesan ialah suara media siber. Ini diakui oleh salah seorang calon presiden Amerika, Barack Obama yang menggunakan medium ini untuk berkomunikasi kepada orang ramai. Dan ia amat ampuh. Tokoh-tokoh paling berkuasa di Washington tidak lagi mampu membendung tsunami maklumat dalam kempen pemilihan presidn Amerika yang lalu.

Yang penting matlamat sampai. Dan dalam hal ini kelihatannya lebuhraya maklumat melalui korider raya siber adalah senjata paling berkesan dan paling mudah diperalat dan dimanfaatkan. Dan inilah yang perlu diperhatikan oleh semua, tidak terkecuali oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Usah perkecil kekuatan jaringan ini. Hasilnya telah dirasakan dalam Pihanraya umum baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

FAMILY BLOGS

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
With Tan Sri Dol Ramli, Ex-Director General (RTM) at his residence, Bukit Ampang, KL..

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
Sharing a light moment with Tun salleh Abbas at his residence in Kuala Lumpur.

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983
Dato' Dr. Firdaus Abdullah chairing the session, with Dr. Sulaiman Masri (extreme right) and Haji Jajuli Abd. Rahman (second from right).