WELCOME TO THE BORDERLESS WORLD OF POSSIBLITIES!

How about sharing your slants and perspectives - left, right, up above or down below!?

Sunday 8 March 2009

SELESAIKAN ISU PPSMI DENGAN SEGERA, DESAK PAK LAH.


Turut berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara ialah Dato' Seri HadiAwang, SN Dato' A. Samad Said dan Nasharuddin Mat Isa. Foto A.F.Yassin.
PM jamin ambil kira desakan rakyat

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu Kementerian Pelajaran mengambil keputusan segera berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bagi mengelakkan isu lebih besar tercetus.

Perdana Menteri berkata, kerajaan menyedari ada desakan kuat daripada rakyat, khususnya orang Melayu supaya isu PPSMI diselesaikan segera.



"Isu PPSMI ini sudah menjadi isu yang besar dan sensitif. Kerajaan mengakui desakan rakyat dan mengambil perhatian terhadapnya.

"Saya berharap Kementerian Pelajaran mengambil keputusan segera kerana jika tidak, tekanan dan tindakan NGO (badan bukan kerajaan) akan berterusan dan menjadi lebih besar lagi," katanya pada sidang media selepas melancarkan novel fantasi Dragonfire Hammer karya penulis muda berusia 14 tahun, Adam Umemoto, di sini semalam.

Petang semalam, perhimpunan membantah pelaksanaan PPSMI di ibu kota yang disertai ribuan penyokong, bertukar kecoh apabila kumpulan berkenaan berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum bantahan, walaupun Polis Kuala Lumpur sebelum ini hanya membenarkan mereka berkumpul di Masjid Negara. (Berita Minggu, 8 Mac 09)

Komen:
Apabila Perdana Menteri memberikan komentarnya berhubung ribuan yang berarak menyokong pemansuhan PPSMI (pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik di sekolah dalam bahasa Inggeris)maka yakinlah bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Bagaikan telah wujud perbalahan pendapat antara perdana menteri dan menteri pelajaran. Saya tak yakin perdana menteri bukan setakat melepaskan batuk di tangga. Dan saya yakin menteri pelajaran memiliki komimen total terhadap dasar PPSMInya.

Mesej tersiratnya daripada percanggahan pendapat ini ialah perdana menteri dan menteri pelajaran sedang menghala arah tuju masing-masing berhubung dengan agenda PPSMI. Perdana menteri ahu masalah PPSMI diselesaikan secepat mungkin manakala menteri pelajaran masih lagi mahu "slow and steady". Masih punya banyak waktu dan kalau pun diputuskan sekarang ia akan dilaksanakan tahun depan. Ertinya masih banyak waktu untuk meredakan perjuangan anti-PPSMI ini kerana biasanya "orang Melayu mudah lupa."


Keranda 152 diarak semula setelah 42 tahun diarak di pekarangan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1967. Foto oleh A.F.Yassin

Lazimnya jarang sekali kita dengar seorang menteri tidak sekata dengan perdana menteri, iaitu bosnya. Tapi kelihatannya seperti ada pengecualian dalam hal PPSMI ini. Dan jika direnungkan secara mendalam maka akan terserlah apa yang disebut keazaman politik yang berbeza antara perdana menteri dengan menteri pelajaran.

Hal ini tidaklah pelik sangat. Kita tahu perdana menteri akan melepaskan jawatannya sebagai pemimpin UMNO dan Barisan Nasional akhir bulan ini. Beliau akan diganti timbalannya, iaitu Dato' Seri Najib Tun Razak. Menteri Pelajaran tentunya telah mencongak-congak masa depan kerjayanya dalam politik. Menteri pelajaran itu akan bergantung banyak kepada bos barunya selepas Mac 2009. Barangkali menteri pelajaran ini akan mengambil iktibar daripada pengalaman masa lalu dalam kepimpinan UMNO. Masihkah kita ingat akan kerja politik dua tokoh pemimpin UMNO dan hubungan antara kedua-duanya, iaitu Tun Razak dan Tun Hussein. Orang politik tahu benar hubungan antara kedua-duanya sehingga melahirkan timbalan perdana menteri sekarang dan menteri pelajaran sekarang.


Sebahagian peserta yang berarak dari mesjid negara ke Istana Negara pukul 2.30 petang 7 Mac 09. Foto ditakam A.F.Yassin berhampiran bangunan Koperasi Polis Kuala Lumpur, menuju Jalan Syed Putra.

Maka tidak keterlaluan jika dikatakan menteri pelajaran sekarang akan bergantung harap kepada bos barunya nanti dan tidak lagi kepada bosnya yang sekarang. Cerah masa depan kot! . Bukankah daripada hubungan kekeluargaan kedua-dua tokoh ini adalah rapat. Mereka sepupu. Masakan hubungan sepupu tidak dapat salng mendukungi.

Atas dasar inilah mungkin manteri pelajaran kelihatannya boleh berkepak sekarang dan mempunyai cara berfikir yang berbeza tentang PPSMI ini. Barangkali dalam fikirannya menteri pelajaran ini berfikir siapalah "Pak Lah selepas 31 Mac 09." Sementelah pula pernah terdengar desas-desus beberapa ketika yang belum lama, perdana menteri telah memberi lampu hijau untuk menyambung kontrak seorang ketua pengarah sebuah agensi kerajaan yang bertugas dalam sebuah organisasi bahasa dan sastera yang terletak di bawah kementerian pelajaran, tiba-tiba sampai sekarang (setelah setahun kemudian)"lampu hijau" perdana menteri tidak diterjemahkan ke dalam bentuk pelaksanaan. Ertinya sambungan kontrak ketua pengarah itu tidak diuruskan. Orang baru pula yang dilantik. Demikianlah orang mengaitkan hubungan antara perdana menteri dan menteri pelajaran ini.

Maka dalam hal PPSMI ini setiap orang yang mencintai bahasa Melayu, yang menjunjungi keluhuran Perlembagaan (Fasal 152) perlulah berbuat sesuatu supaya seperti kata perdana menteri agar ia tidak terus berlanjutan. Paling mudah pelobi pejuang bahasa perlu bertindak mendekati atau memujuk para perwakilan UMNO ke persidangan tahunannya akhir Mac ini, terutama yang akan menjadi pembicara (pemidato)menghuraikan kehendak rakyat akar umbi. Bercakaplah tentang baik buruknya dasar PPSMI ini yang dianggap sesetengah persatuan mahasiswa sebagai "dasar karut."

Pastikan calon yang menyokong PPSMI tidak dipilih dalam pemilihan Ahli Majlis tertinggi atau sebarang jawatan. Berusahalah untuk mencipta pendapat umum dalam kalangan orang UMNO sehingga tokoh-tokoh yang tidak memilik semangat juang Melayu dan kebangsaan dipinggirkan. Masih ada masa untuk berbuat demikian. Ramai yang faham bahawa isu PPSMI ini telah banyak diputarbelitkan demi politik mereka sendiri.

Salah satu yang uar-uarkan oleh menteri pelajaran ialah seperti katanya, "Mengapa baru sekarang hendak dibincangkan isu ini setelah enam tahu dilaksanakan?" Padahal, tokoh bahasa, pendidik dan dan cendekiawan telah mengadakan pelbagai pendekatan seperti persidangan seminar dan mesyuarat yang tentunya dihadiri pegawai-pegawai dari kementerian pelajaran untuk mengkaji dan menganalisis baik buruknya dasar PPSMI ini. Ada yang mendakwa segala fakta yang diberikan kementerian itu hari ini adalah tidak tepat. Fakta menjurus kepada keputusan untuk mewajarkan penerusan dasar PPSMI.

Perhimpunan yang diadakan semalam jelas menunjukkan kehendak majoriti, arah tuju dan tuntutan orang ramai. Ratusan pertubuhan NGO, tidak terkecuali parti-parti politik mahukan kerajaan, khususnya kementerian pelajaran melaksanakan tuntutan empat perkara mereka, iaitu 1. Daulatkan bahasa Kebangsaan; 2. Selamatkan bahasa ibunda; 3. Tingkatkan pengajaran bahasa Inggeris di sekolah; dan 4. Mansuhkan PPSMI.

Akar umbi dalam UMNO mempunyai tugas berat sekarang. Para perwakilan ke sidang UMNO hujung Mac ini mempunyai tugas kritikal. Pastikan calon-calon yang masih berdegil untuk tidak mendengar keluhan akar umbi dipinggirkan (tersingkir). Masih ramai lagi calon yang mempunyai semangat juang untuk mendaulatkan bahasa dan sekurang-kurangnya patuh kepada Perlembagaan Persekutuan dengan tidak melanggarnya. dan oleh kerana para perwakilan bukan lagi seperti "lembu dicucuk hidung" maka ramai yang percaya sesuatu kejutan mungkin juga akan berlaku akhir Mac ini di PWTC.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

FAMILY BLOGS

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
With Tan Sri Dol Ramli, Ex-Director General (RTM) at his residence, Bukit Ampang, KL..

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
Sharing a light moment with Tun salleh Abbas at his residence in Kuala Lumpur.

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983
Dato' Dr. Firdaus Abdullah chairing the session, with Dr. Sulaiman Masri (extreme right) and Haji Jajuli Abd. Rahman (second from right).