WELCOME TO THE BORDERLESS WORLD OF POSSIBLITIES!

How about sharing your slants and perspectives - left, right, up above or down below!?

Thursday 19 March 2009

BEKAS PRESIDEN UMNO: "JANGAN LAYAN RAYUAN!"


Pada satu ketika Tun Mahathir kadang-kadang didamping Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri), salah seorang calon untuk jawatan Timbalan Presiden. Tun adalah bekas Presiden UMNO manakala Tan Sri masih Naib Presiden.

Jangan layan rayuan - Dr. M

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan MUHAMMAD DAYNE AZMIN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 18 Mac - Lembaga Disiplin UMNO perlu tegas dalam setiap keputusan yang dibuat dan tidak perlu melayan sebarang rayuan kerana ia hanya akan menjejaskan kredibiliti dan imej parti.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, segala keputusan yang telah dibuat oleh pihak lembaga semalam wajar dikekalkan sebagai bukti kesungguhan UMNO membanteras gejala politik wang.

Katanya, sebarang rayuan untuk membolehkan mereka yang dihukum bertanding semula tidak perlu dilayan.

''Memang orang bersalah ada hak untuk merayu tetapi semua pihak tahu yang dia ini bersalah. Sekiranya dengan tiba-tiba orang seperti ini diberi kelonggaran, ia akan menyebabkan kredibiliti UMNO dan jawatankuasa disiplin hancur sama sekali.

''Jangan ganggu keputusan ini. Jika Majlis Tertinggi (MT) kata lain, tidak ada gunanya wujud jawatankuasa disiplin,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai akan berlakunya beberapa kemungkinan ekoran keputusan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin semalam.

Antara keputusannya ialah melarang Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd. Ali Rustam daripada bertanding atau dipilih merebut jawatan Timbalan Presiden selepas pihak lembaga mendapati tiga ejennya didapati bersalah mengamalkan politik wang.

Pengerusi lembaga berkenaan, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail turut mengumumkan, Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin bersalah di bawah perkara yang sama tetapi dikenakan tindakan amaran.

Sementara itu Dr. Mahathir berkata, dalam apa jua keadaan terutama ketika dikenakan hukuman, seorang pemimpin seperti Mohd. Ali wajar mengutamakan kepentingan parti lebih daripada kepentingannya sendiri.

Ujar beliau, dengan kata lain inilah masanya Mohd. Ali menunjukkan kesetiaannya yang tidak berbelah bagi kepada parti.

''Jika dia betul-betul jujur dan setia kepada parti, inilah masanya dia tunjukkan kesetiaan kerana dengan dia disingkir, parti terselamat.

"Namun begitu jika dia fikir kepentingannya sahaja ini bermakna kualiti kepimpinan UMNO sudah merosot,'' katanya.

Begitu juga dengan pihak yang bersimpati dengan hukuman yang diterima oleh Mohd. Ali, Dr. Mahathir berkata, mereka merupakan golongan yang menyokong gejala rasuah.

''Jika mereka kata simpati, ini bermakna mereka sokong rasuah. Dalam kes ini bukan Lembaga Disiplin sahaja tahu malah semua orang tahu apa yang berlaku.

''Orang yang menyokong rasuah akan memburukkan lagi UMNO dan akan menyebabkan UMNO kalah dan secara tidak langsung mereka mengkhianati UMNO,'' ujarnya.

Dr. Mahathir berkata, sebagai ahli UMNO yang ikhlas dengan perjuangan, mereka sepatutnya akur dengan setiap keputusan yang telah dibuat oleh pihak lembaga.

''Jangan apabila tiba kena batang hidung sendiri tidak mahu sokong tetapi bila kena orang lain hendak sokong pula. Ahli UMNO kena akur dengan keputusan Lembaga Disiplin," katanya.

''Mereka perlu menolak gejala rasuah tidak kira siapa pun yang melakukannya sama ada kena pada pihaknya atau pihak orang lain,'' ujarnya. (Petikan Utusan Malaysia, 19 Mac 2009)

Komen:
Bekas Perdana Menteri, bekas Presiden UMNO dan bekas ahli UMNO, Tun Mahathir sekali lagi ke depan bercakap tentang UMNO, kali ini meminta Lembaga Disiplin UMNO bertegas mempertahankan keputusan lembaga itu menghalang Naib Presiden UMNO, Dato' Sei Ali Rustam daripada bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden 26 Mac ini. Tun Mahathir antara pemimpin luar UMNO yang paling awal mengulas tentang tindakan Lembaga Disiplin UMNO.

Baguslah. paling-paling Tun kita ini masih prihatin terhadap UMNO dan sentiasa peka tentang apa yang berlaku dalam UMNO hari ini. Cuma sayangnya Tun Mahathir tidak lagi menjadi ahli UMNO. Ada yang mendakwa Tun Mahathir berhasrat kembali ke pangkuan UMNO setelah keadaan mengizinkan. Kata sesetangah pengulas politik Tun Mahathir masuk UMNO selagi ada orang yang tidak disenangi beliau masih berada dalam UMNO. Tak payah sebutlah siapa orang yang dimaksudkan itu. Semua dunia sudah tahu.

Juga semua orang mash ingat sewaktu kempen pencalonan ke pelbagai jawatan UMNO dahulu, Tun Mahathir terus juga berkempen baik secara langsung mahupun secara tak langsung berperi-peri malah merayu kepada ahli-ahli UMNO supaya memilih calon-calon yang bersih dan tidak mengamalkan politik wang. Kalaulah ada bekas presiden dan tokoh besar UMNO memiliki semangat yang begitu dekat dengan UMNO dan pula ramai jumlahnya, maka saya rasa UMNO akan hidup seribu tahu lagi. Asal sahaja matlamat dan motif keprihatinannya seperti yang ditunjukkan Tun Mahathir tehadap UMNO tetap satu: kelangsungan hidup (survival) UMNO dalam apa cara sekali pun.

Hanya satu masalah timbul: Adakah tindakan Tun Mahathir ini lahir dari hati yang tulus dan ikhlas atau masih mempunyai motif tertentu yang hanya Tun sahaja yang tahu apa. Saya fikir ramai juga ahli dan pemimpin UMNO yang kurang senang dengan "keprihatinan" Tun dengan UMNO. Kalau benar-benar jujur mengapa tidak masuk semula, tanya mereka. Mengapa mesti tunggu sampai bila beliau fikirkan sesuai. Sesuai yang dimaksudkan beliau itu apa? Menunggu Dato' Seri Mohd Njib Tun Razak sah dan rasmi menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri?

Hari ini Tun Mahathir dilaporkan berkata lembaga Disiplin UMNO yang dipimpin Tan Sri Tengku Ahmad Ritahudeen Tengku Ismail mestilah tegas dalam keputusannya dan "jangan layan sebarang rayuan" daripada mereka yang didapati beresalah. Nampaknya Tun Mahathir begitu bersemangat dan bertegas sekali menyokong keputusan Lembaga Disiplin.

Harap-harap ketegasan dan semangat Tun Mahathir itu patut dijadikan contoh kepada para pemimpin dan ahli-ahli UMNO seluruhnya. Maksudnya pemimpin dan ahli UMNO patut mencontohi ketegasan dan semangat bekas presidennya, lebih-lebih lagi seorang tokoh yang bukan lagi ahli UMNO. Berutunglah calon-calon yang lain yang pada anggapan Tun Mahathir masih bersih. Dato Seri Hishamuddin yang akan melapskan jawatan Ketua Pemuda UMNO untuk bertanding jawatan Naib Presiden tentunya bersyukur kerana beliau masih dianggap bersih. Kalau tak bersih sudah tentu bekas Ketua Pemuda UMNO ini akan terkena penangan Lembaga Disiplin. Ya tak? Begitu juga dengan calon-calon yang akan menggantikannya untuk jawatan Ketua Pemuda, termasuk Dato' Mukhriz Mahathir yang bagi Dat'Seri Hishamuddin "yang banyak kali tak sebulu dan tak sealiran dengan dasar Pemuda." Begitu juga halnya dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ada waktu-waktunya berbeza pendapat dengan Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Dato' Seri Hishamuddin tak perlu bimbanglah tentang pencalonan untuk Naib Presiden kerana Tun mahathir akan merestui, jika menang. Bukankah Dato' Seri Hishamuddin penjulang obor utama dalam meneruskan dasar PPSMI yang dicipta Tun.

Dan dalam banyak hal, penasihat PKR dan ketua pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim tidaklah setegas Tun Mahathir ketika berada di dalam dan di luar UMNO.Namun dunia pun tahu apa terjadi kepada Dato' Seri Anwar apabila cuba "lawan taukeh" dalam UMNO satu waktu dahulu!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

FAMILY BLOGS

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Special Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
With Tan Sri Dol Ramli, Ex-Director General (RTM) at his residence, Bukit Ampang, KL..

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007

Interview Session with Malaysian Personalities, 2007
Sharing a light moment with Tun salleh Abbas at his residence in Kuala Lumpur.

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983

RTM MALAY LANGUAGE ACTION COMMITTEE 1983
Dato' Dr. Firdaus Abdullah chairing the session, with Dr. Sulaiman Masri (extreme right) and Haji Jajuli Abd. Rahman (second from right).